Halaman

Rabu, Januari 07, 2015

MAULIDUR-Rasul: Apa khabar antihadis?

ADA beberapa golongan dalam kalangan umat Islam memberi maklum-balas berkaitan  hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. sebagai sumber kedua hukum atau syariat Islam.

Pihak pertama, ialah yang mengambil hadis-hadis yang sahih atau tepat sebagai ucapan atau pengesahan daripada Nabi s.a.w. Selain ucapan baginda, hadis juga berkenaan para sahabat yang menceritakan hal-hal Nabi s.a.w.  Pihak ini meneliti status sesuatu hadis sebelum mengambil hadis berkenaan sebagai sumber hukum kedua.  Hadis-hadis yang dikategori sebagai palsu atau daif dipinggirkan atau tidak dijadikan sumber hukum.


Pihak kedua ialah menerima apa saja hadis Nabi s.a.w. sebagai sumber hukum kedua selepas al-Quran.  Pihak ini kurang membuat penelitian status sesuatu hadis atas sebab tiada yang pakar.  Mereka juga tidak mahu ada kekeliruan dalam masyarakat apabila sesuatu amalan atau hukum yang telah mantap diamalkan ditolak kerana bersumberkan hadis daif atau palsu. Pihak ini boleh mengambil mana-mana hadis sebagai panduan tanpa mengira statusnya.

Pihak ketiga ialah yang menolak sepenuhnya hadis sebagai sumber hukum dalam syariat Islam.  Mereka hanya menerima al-Quran sebagai hukum dalam Islam.  Bagi mereka hadis merupakan cerita rekaan yang disabitkan kepada Nabi s.a.w. dan punca perpecahan umat Islam hari ini.

Sumber pertama hukum iaitu al-Quran ada menjelaskan kedudukan Rasulullah atau Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penjelas hukum-hukum dalam al-Quran. Malah Allah telah memberi jaminan bahawa penjelasan hukum baginda Nabi s.a.w. bukanlah atas kehendak peribadi Nabi s.a.w. sebagai manusia biasa, malah keabsahan daripada Allah.

Maksud ayat 65 surah an-Nisa’: Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang engkau berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.

Maksud ayat 80 surah an-Nisa’:  Sesiapa yang mentaai Rasul (Muhammad) maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah.  Dan sesiapa berpaling (daripada ketaatan itu) maka (ketahuilah) Kami tidak mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi pemelihara mereka.

Maksud ayat 20 surah al-Anfal: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, padahal kamu mendengar (perintah-perintah-Nya).

Maksud ayat 51 surah Al-Nuur, Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan sunah Rasul-Nya sebagai hakim  memutuskan perselisihan antara mereka, mereka berkata ‘kami dengar dan taat’.  Mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan.

Hadis-hadis adalah sebagai penerang kepada hukum dalam al-Quran. Beberapa ayat al-Quran menyatakan solat, namun tiada penjelasan kaedah solat itu dilakukan.  Oleh itu Nabi s.a.w. telah mengajarkan kepada umatnya cara-cara melakukan solat.  Sangat masyhur ucapan baginda berkenaan solat (maksudnya), “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (Riwayat al-Bukhari).  Daripada itu ditemukan hadis-hadis sahih bagaimana bermulanya baginda melakukan solat hingga akhirnya, termasuk bacaan-bacaan pada setiap kedudukan diri dalam solat.

Oleh itu penerimaan hadis sahih menjadi satu kewajiban kepada umat Islam sebagai sumber hukum dalam agama.  Daripada hadis-hadis sahih inilah disimpulkan sebagai sunah Nabi s.a.w. atau perjalanan hidup nabi. 

Menjadi satu kemestian pula wujud kalangan cerdik-pandai Islam menyaring kedudukan hadis-hadis yang banyak. Kerja ini untuk memastikan hanya hadis yang sahih menjadi panduan umat, manakala hadis palsu dan daif diasingkan ke tempat lain.  Penyaringan ini mesti dilakukan kerna besar dan panjangnya sejarah umat Islam sejak kewafatan baginda Nabi s.a.w., yang menyaksikan wujud golongan sengaja mencipta ayat pilihan untuk kepentingannya, tetapi disandarkan sebagai kata-kata baginda Nabi s.a.w.

Kesimpulannya, hadis sahih adalah sumber kedua hukum selepas al-Quran. Umat Islam mestilah hanya menerima hadis yang sahih untuk mengekalkan ketulenan dan kesegaran ajaran Islam.


w.a.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan