Halaman

Sabtu, Disember 27, 2014

ORANG Malaysia gerem banget di Bandung


KOTA Bandung di Jawa Barat menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia. Apa yang mereka cari di sana? Sudah berkali-kali difahamkan tidak ada menu mi bandung dan air bandung sebagaimana popularnya makanan itu di Malaysia.  Air bandung sebagaimana di Malaysia disebut es campur di kota Bandung.  Es campur di Malaysia kan ABC! Berbeda sama sekali.

Bandung adalah kota orang kreatif, tetapi pelancong Malaysia hanya melihat produk kreativiti berkaitan pakaian.  Saya tanyakan sahabat-sahabat adakah mereka mahu menikmati persembahan orkestra angklung di Saung Angklung Udjo di Bandung Timur. Di sana ada pusat pembuatan angklung sampailah kepada persembahan angklung untuk umum.  Meraka tertawa, tidak mahu. Musik berasaskan buluh atau bambu bukanlah satu tradisi kami di Sabak Bernam. Seingat saya hanya pada tahun 1976 sebuah sekolah rendah di Tebuk Pulai, Sabak Bernam mempunyai pasukan lengkap memainkan angklung sehingga menjadi sebagian program bersama Jamal Mohamad dalam rancangan popular di RTM “Rancangan Kanak-kanak”.



Oleh itu pelancong Malaysia bersedia untuk mengunjungi Pasar Baru yang menjual pelbagai jenis pakaian.  Selain itu mereka mesti ke Jalan Cibaduyut untuk membeli barangan kulit seperti tali pinggang, tas tangan, dompet, kasut dan jaket.  Boleh lagi ke Chempalas untuk menambah pembelian dan koleksi pakaian.  Kemudian satu yang mesti dikunjungi ialah Toko Tiga, pusat jualan pakaian jeans.

Mengapa pelancong Malaysia siap berbelanja hal-hal pakaian di Bandung? Jawabnya, harganya memang lebih murah dibandingkan di mana-mana kota di Malaysia. Orang Sabak Bernam, Selangor jika mahu berbelanja pakaian batik dan songket  akan ke negeri Kelantan dan Terengganu. Namun, pasar-pasar di Kelantan dan Terengganu pun tidak dapat menandingi harga rendah di Bandung.  Maksudnya, setiap pelancong Malaysia mesti cekap atau pantas membuat perbandingan harga pakaian di Bandung dengan mana-mana kedai atau toko di Malaysia.

Ya memang harga seluar jeans tulen lebih rendah di Toko Tiga berbanding di Malaysia. RM100 lebih murah untuk seluar dan jaket!  Penggemar jeans memang geram banget di Bandung!  Mudah kata, semua jenis pakaian memang jauh lebih murah di Bandung berbanding di Pasar Siti Khadijah (Kelantan) dan Pasar Payang (Terengganu) pun.

Bahasa juga memainkan peranan penting dalam soal tawar menawar.  Untungnya saya mudah berbahasa Jawa walaupun kebanyakan orang Bandung adalah Sunda.  Mereka tidak tahu berbahasa Jawa, tetapi dengan saya memulakan bicara dan menyulami kata dengan istilah Jawa, satu kelebihan mendapatkan harga istimewa. Ini diakui sendiri oleh teman saya. Dengan ngomong jawa, saya berjaya membeli sebungkus jajan berharga Rp10,000 dan dia terpaksa menerima harga Rp15,000 (dia tak membelinya).

Oh ya ada yang lebih murah selain di pasar-pasar dalam kota Bandung. Namun ada risiko atau pilihan terhad.  Misalnya kaos oblong  atau T-Shirt leher bulat dibeli pada harga Rp30,000 hingga Rp35,000 di dalam kota, tetapi pada hari akhir pelancong hendak pulang, penjual jalanan di hadapan hotel bersedia menjual kaos oblong itu Rp20,000 sehelai. Barangan seperti dompet dan tali pinggang pun harganya ditawarkan lebih murah pada saat akhir, apa lagi apabila bas sudah dihidupkan enjinnya. Hebatkan!

Tempat lawatan yang tidak berasaskan shopping dan sudi dikunjungi ialah Tangkuban Parahu yang tingginya lebih 1800 meter dari aras laut.  Namun sekarang kos ke gunung itu agak mahal berbanding sebelum ini.  Tangkuban Parahu dilawati hanya berasaskan lagenda cinta Sang Kuriang kepada ibunya Dayang Sumbi. Cinta mahu kahwin!

Kos seorang ke Tangkuban Parahu termasuk  kenderaan van turun-naik ke bahagian bawah berhampiran kawah ialah Rp300,000. Bukan ada apa sangat pun di Tangkuban Parahu, hanya kawah gunung berapi yang masih mengeluarkan asap.  Bau belerang di sana, dan pelancong dinasihatkan menyediakan penutup hidung seperti waktu jerebu!

Ada yang kapok atau tak mahu lagi ke Tangkuban Parahu. Pemandangan memang indah dan lebih dingin berbanding di dalam kota. Namun aksi penjual cenderamata di Tangkuban Parahu memang agak ekstrim (maaf ya warga mukim Bandung). Turun saja dari van pelancong pasti akan ditemani seorang yang sudi untuk bercerita tentang Tangkuban Parahu termasuk mengambilkan foto-foto anda dengan menggunakan kamera anda sendiri.  Ke mana pelancong pergi dia pasti diekori sehingga barang yang mahu dijualnya dibeli.  Jika pelancong mahu ‘bebas’ belilah barangan dia walaupun agak mahal. Selepas itu pelancong hanya ditawar secara biasa-biasa oleh mana-mana penjual cenderamata. Ingat tu….!


Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan. Berjalanlah di muka bumi melihat anugerah Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.




1 ulasan: