Halaman

Ahad, Disember 28, 2014

JIKA Sabak Bernam dilanda banjir

BANJIR besar di Malaya! Inna lillahi raa ji'uun. Mendengar jerit payahnya saudara mara di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Perlis dan Johor pada hujung Disember 2014 ini, saya hanya mampu berdoa semoga Allah memberi kekuatan iman dan semangat kepada semua pihak yang terlibat.  Sepanjang berbelas tahun saya tinggal di Pekan dan Kuantan Pahang dahulu, dua kali saya berpengalaman merasai jerit-payah kerna banjir. 


sabak bernam di utara Selangor

jika begini....

Kata paman saya, Bukit Rangin di Kuantan bukan kawasan banjir. Di situlah saya menetap. Tahun 2001 tempat itu dilanda banjir. Kebetulan saya pindah ke Sabak Bernam tahun 2009. Dan tahun 2013 perumahan yang sama dilanda banjir lebih besar. Kini sekeliling Bukit Rangin sudah dibanjiri air.

Di Pekan Pahang terdahulu, saya disengat ikan keli sampai saya mendapat rawatan di hospital. Gara-gara banjir juga.

Hari ini sekalipun di Sabak Bernam tidak dalam wilayah banjir, kebimbangan tetap ada.  Telah menjadi bahan berfikir sekarang dalam kalangan saudara-mara dan teman-teman, jika Sabak Bernam dilanda banjir seperti di Pekan, Kuantan dan Kota Bharu..... ke mana penduduk hendak dipindahkan. Sabak Bernam yang terletak di utara Selangor adalah kawasan tanah pamah tanpa satu bukit pun. Jika orang datang dari arah Kelang atau Kuala Lumpur, mereka hanya melihat satu bukit di Kuala Selangor: Bukit Malawati.  Kawasan yang dikatakan lebih tinggi berhampiran Sabak Bernam ialah di Hulu Selangor (misalnya Felda Gedangsa) dan Ijok. 

Jarak antara pekan Sabak-Gedangsa sudah lebih 70km. Antara Sabak-Ijok lebh 90km. Tidak munasabah langsung. Katakan pilihan untuk mengungsi atau berpindah ke Gedangsa, juga bukan pilihan sebab selama ini jalan di Sungai Panjang untuk ke sana kerap dinaiki air banjir sekalipun bukan dalam musim banjir seperti ini. Jalan ini kerap ditutup. Jika berlaku banjir di Sabak Bernam, logiknya jalan ke Gedangsa juga pasti tutup!

Ya Tuhan.... ini hanya fikiran manusia lemah. Semoga Allah tidak menguji hamba-hamba-Nya yang tidak tahan dengan ujian.

Kepada yang sekarang ini dalam kepayahan akibat banjir, semoga semua menjadi pahala dan pembasuh dosa di sisi-Nya.

Ya ALlah, ampuni kami semua. Pasti ada mesej daripada-Mu. Semoga kami mengerti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan