Halaman

Selasa, Oktober 14, 2014

DONGENG Melayu dikagumi bangsa lain: dulu dan kini

PROF DR HAMKA dalam bukunya Dari Perbendaharaan Lama menulis beberapa bab berjudul Dongeng Kaum Sufi Mendewakan Raja. Maksud beliau ialah para jurutulis d iistana telah secara sengaja menulis cerita-cerita luar biasa atau pelik sebagai cara menggambarkan raja-raja alam Melayu sangat  hebat. Misalnya asal-usul keturunan raja Melaka bukan sahaja dari raja agung Iskandar Zulkarnain malah telah melalui zaman nenek moyangnya yang hidup di dua alam: Alam muka bumi dan lautan. Dari dasar laut muncullah putera-putera raja yang menjadi nenek moyang pula kepada raja-raja Melayu.

dari filem Laksamana Bentan

Dalam buku Sejarah Melayu misalnya penulis telah menggambarkan kehebatan Raja Melaka berbanding Raja China. Raja China diberitakan mendapat sakit gatal seluruh badan dan tidak ada satu tabib yang berjaya mengubatinya, sehinggalah ditemukan ubatnya iaitu air basuh kaki Raja Melaka. Maknanya sehebat-hebat Raja China, ubatnya ialah air basuh kaki seorang Raja Melayu. Raja Melayu Melaka jauh lebih hebat berbanding raja negara China yang dikatakan punya empayar besar dan penduduknya sudah puluhan juta orang.

Dalam filem Laksamana Bentan yang merupakan filem sejarah digambarkan mengenai tulah atau bencana yang menimpa sesiapa saja yang menderhaka kepada raja Melayu.  Laksamana Bentan (asalnya dari pulau Bentan) telah menikam Sultan Mahmud kerana menuntut bela atas hukuman bunuh yang diterima isterinya.  Sultan Mahmud yang parah tidak perlu menyuruh pengawal membunuh Laksamana yang menderhaka, cukuplah dengan menyumpah “mulai hari ini anak Bentan yang menjejak kaki di bumi Johor akan muntah darah!” Dan Laksamana itu pun muntah darah lalu mati sebagai penderhaka yang hina kepada masyarakat Melayu zaman itu.

Mitos atau hujah dongeng sebati kepada raja-raja Melayu dan bangsa Melayu.  Rakyat Melayu percaya raja Melayu ada ‘daulat’ dan sesiapa yang ingkar atau berkhianat kepada baginda akan mendapat nasib seperti Laksamana Bentan itu.

Dengan dongeng perasan ada daulat itulah anak-anak raja Melayu zaman dahulu telah bekerjasama (istilah Arabnya Tahaluf Siyasi) dengan bangsa Inggeris atau Belanda untuk mendapatkan kuasa. Anak-anak raja ini tahu kekuatan fizikal bangsa Eropah berbanding ilmu kepahlawanan bangsa Melayu, tetapi tetap percaya banga Eropah pasti akan tunduk hormat dan menerima apa saja arahan raja Melayu yang berdaulat, yang bertakhta di negerinya.  Itu yang berlaku kepada Raja Abdullah secara mudah menerima perjanjian Pangkor 1874 walaupun dengan terang British menarik sebagian besar kuasanya sebagai raja. Baginda memerintah seperti raja-raja zaman dahulu yang percaya dirinya penuh kehebatan di mata orang asing. Baginya tentu Andrew Clark dan Kapten Speedy akan tertunduk dan duduk bersimpuh kalau pun tidak muntah darah!

Malangnya semua kekebalan, kehebatan dan kesaktian yang menyebabkan semua bangsa asing akan melutut kepada baginda hanya dongeng atau khayalan. Maka selepas negeri Perak, satu persatu negeri Melayu dikuasai British dengan cara yang cukup licik tanpa sedikit pun menggunakan cara Si Laksamana Bentan di neger Johor.  Dan jelas setelah semua kuasa raja tinggal sejemput tidak ada tulah atau bencana yang terkena kepada pegawai-pegawai British atau Eropah yang berkhianat kepada baginda.

Setelah raja-raja tidak lagi di pentas politik, tinggallah bangsa Melayu sendiri yang berpolitik menentukan kuasa pemerintahan.  Rupanya ahli-ahli politik Melayu zaman internet ini pun masih percaya mitos atau dongeng kehebatan bangsa Melayu dalam kalangan bangsa-bangsa lain di muka bumi.  Sekurang-kurangnya, mereka sangat percaya bahawa tidak kira apa yang berlaku, kuasa pemerintahan negara sentiasa kekal di tangan bangsa Melayu. Maknanya, sehebat mana kepandaian dan penguasaan ekonomi oleh orang Cina dan India, mereka tidak akan mengambil alih kuasa pemerintahan negara.  Ketua-ketua kaum berkenaan pasti akan sentiasa meminta ketua-ketua orang Melayu menjadi Perdana Menteri dan menteri-menteri utama. Agaknya dipercayai mana-mana ketua kaum bukan Melayu yang berniat menjadi PM, MB atau kedudukan yang tinggi akan muntah darah!

Jadi pemimpin Melayu dalam Umno pun boleh berbuat apa saja dengan kuasanya. Pemimpin Melayu dalam Pas dan PKR pun boleh berpakat dengan sesiapa saja (seperti Raja Abdullah berpakat dengan Andrew Clarke) untuk merebut kuasa pemerintahan. Seperti Raja Abdullah yang percaya British hanya mahu membantu baginda menjadi raja, pemimpin-pemimpin Melayu dalam Pas dan PKR pun percaya keikhlasan pemimpin bukan Melayu yang menjadi rakan Tahaluf Siayasinya.

Begitu hebatnya kuasa mitos dan dongeng bangsa Melayu sejak dahulu lagi. Mitos ini telah membentuk jiwa dan pemikiran satu bangsa. Rasional dan pengajaran masa lalu tidak berguna pun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan