Halaman

Selasa, Oktober 21, 2014

BOLEH peluk anjing, peluk al-Qurr'an masih tak boleh!

WALAUPUN agama dan adat itu tidak sama, namun kedua-duanya sangat besar pengaruhnya dalam hidup. Orang Melayu beragama Islam beradat resam Melayu. Budaya hidup bangsa Melayu telah beradat dan beragama yang tidak boleh dipisahkan sejak zaman beragama Hindu-Buddha lagi.  Anjing dan babi ada hukum tertentu dalam agama, tetapi yang menambah tidak selesanya bangsa Melayu terhadap kedua-dua jenis haiwan itu ialah adat Melayu.

ruyung telah dipacahkan

Orang Kristen di Eropah boleh memegang al-Quran

Maka apabila ada majlis menyentuh anjing di Petaling Jaya tentulah menjadi isu satu Malaya. Bukan saja tangan menyentuh anjing, malah memeluknya sebagai gambaran ‘melepaskan rindu’ ratusan tahun yang tertangguh. Itulah, dari sudut agama tidak berdosa, adatnya memanglah salah.  Mungkin para pendakwah telah membuat kajian, bahawa dengan pecahnya halangan terhadap anjing maka peratusan yang akan masuk Islam bersama anjing-anjingnya meningkat hingga 50 peratus! Jika tidak ada kajian, untuk apa program yang mencabar institusi agama dan adat, yang dinaungi Raja-raja Melayu.

Di balik isu dan minda Melayu yang sedang dipecahkan terhadap anjing, ada lagi halangan yang perlu juga dirobohkan. Tanpa wuduk, orang Melayu tidak boleh menyentuh mushaf al-Quran.  Kepada orang Melayu, tanpa wuduk dengan menyentuh al-Quran adalah haram dan berdosa, sedangkan mereka juga sedar menyentuh anjing tidaklah difahami berdosa! Nampak sangat janggalnya bangsa kita terlajak meletakkan hukum.  Al-Quran wahyu Allah dan diyakini sebagai panduan hidup manusia (manusia ertinya termasuk yang bukan beragama Islam) tidak boleh disentuh, dipegang atau ditatap jika dalam hadas. Sentuh juga, berdosalah kamu! Aduhai……

Keutamaan sekarang ialah mengajak Melayu membaca al-Quran pada banyak masa, bukan hanya di atas sejadah atau masih bertelekung.  Bawa dan bacalah al-Quran semasa berkelah, berkelana, ke  stadium atau ke mana-mana asalkan tidak ke dalam jamban.  Tidak ada dalil yang melarang muslim (Melayu juga) memegang dan membaca al-Quran sekalipun hanya dalam hadas kecil.  Kalau ada mereka berpegang dalil ialah ayat 79 surah al-Waqi’ah. Malangnya ayat itu tidak ada kena-mengena dengan hukum berwuduk untuk memegang mushaf al-Quran. Tidak ada kaitan pun dengan al-Quran yang di atas muka bumi ini.

40 tahun dahulu sukar menemui al-Quran yang ada terjemahan sekalipun orang Melayu bukanlah tahu dan faham Bahasa Arab.  Hari ini banyak al-Quran yang ada terjemahannya, yang boleh dibaca dan difahami maknanya. Bukan semua ayat al-Quran perlu dirujuk kepada ustaz atau ulama untuk diketahui maknanya. Makna yang zahir, yang boleh dijadikan panduan pun banyak.


Maka tidak perlu dinyatakan 1001 alasan mengapa al-Quran masih hendak dipisahkan daripada diri dan jiwa orang Melayu yang tegas mempertahankan agamanya.  Jika anjing pun boleh dipeluk dengan gembira tanda melepaskan rindu ratusan tahun, tidakkah kita gembira sentiasa ditemani al-Quran dalam poket baju atas tas tangan.  Fikirlah yang positif. Kalau berfikir yang negatif, jumudlah untuk 1000 tahun lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan