Halaman

Khamis, September 18, 2014

PATUH peraturan adalah perintah Allah

KECENDERUNGAN berparti politik kerap mempengaruhi pemahaman beragama. Ada orang berilmu agama pula  tidak mahu tampil di sisi pemerintah menggalas amanah melakukan pembaikan, sebaliknya berada di sudut yang asing dengan kritik-kritik terhadap pemerintah. Kritik yang berpanjangan menyebabkan ada ahli masyarakat yang tidak menghormati pemerintah, walhal al-Quran memerintahkan masyarakat muslim patuh atau hormat terhadap sesiapa yang berkuasa.

foto hiasan
Biasa pula kedengaran orang berkata, “sedangkan undang-undang Allah pun dilanggar inikan pula undang-undang manusia”.  Sebenarnya ucapan-ucapan orang awam seperti ini merupakan hasil didikan oleh sebagian ‘ahli agama’.  Ucapan seperti itu juga sebagai mesej mereka memahami bahawa undang-undang yang dikanunkan oleh lembaga undang-undang sebagai undang-undang dunia yang tidak ada nilai di sisi Allah.  Jika ada orang yang tidak mematuhi peraturan sekolah atau jalan raya, alasannya ialah: Tidak mengapa peraturan itu dilanggar sebab undang-undang Allah pun orang tidak patuh.  Kadang-kadang ucapan itu sebagai sindiran kepada pemerintah yang mengkanunkan undang-undang supaya dipatuhi masyarakat, walhal si pemerintah tidak pun mematuhi perintah-perintah Allah.  Kesimpulan daripada itu, langgar saja undang-undang yang dibuat oleh pemerintah!

Jika begitulah ajaran Islam yang mesti diamalkan oleh penganut-penganutnya, alangkah ruginya kehidupan yang sudah dimulai dengan kesaksian Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.  Walhal dalam prinsip beragama terhadap Allah dan rasul-Nya, apa-apa pun daripada kedua-dua itu: Dengar dan taat tanpa banyak soal.

Apabila kita diserukan kepada Islam, diberikan hujah bahawa Islam adalah sistem hidup. Apabila kita diajak kembali kepada ajaran al-Quran, dikatakan kitab itu sempurna untuk kehidupan manusia sepanjang zaman.  Jika kita tidak memahami prinsip khusus dan umum dalam al-Quran, pasti kita akan keciwa dan mungkin boleh berkata, “Dalam al-Quran mana ada undang-undang perakaunan, sewa beli, kontrak dan banyak lagi sedangkan dunia begitu rumit dengan tingkah laku manusia?”

Eloklah difahami pentingnya ayat 59 surah An-Nisa: Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Mungkin benar banyak pemerintah tidak melaksanakan undang-undang syariah yang dilaksanakan pada zaman Nabi s.a.w. dan pemerintahan para Sahabat, tetapi adakah umat Islam tidak wajib pula mematuhi undang-undang yang dikanunkan oleh pemerintah-pemerintah muslim di banyak negara.  Pemerintah yang tidak melaksanakan sepenuhnya undang-undang syariah, itu urusan mereka dengan Allah.  Umah mempunyai kewajiban mentaati perintah-perintah yang sudah dikanunkan menjadi akta atau enakmen.  Dewan-dewan parlimen (pihak pemerintah) telah menggubal pelbagai akta untuk mengatur urusan keduniaan secara rinci.  Al-Quran menyebut prinsip keadilan, kesaksamaan, ketelusan dan lain-lain, namun perinciannya sebagai fasal, seksyen dan ceraian telah diperincikan dalam mana-mana akta yang didakwa keduniaan semata-mata!  Apakah wujudnya Kanun Tanah Negara, Akta Perkongsian, Akta Syarikat, Akta Pengangkutan Jalan, Akta Akauntan, Akta Jual-beli dan pelbagai pula enakmen peringkat negeri tidak ada nilai di sisi Allah?  Sehingga ada yang mendakwa berilmu agama menghasut dengan ayat, “sedangkan undang-undang Allah mereka langgar, inikan pula undang-undang dunia”.

Sebenarnya Allah memberi wewenang kepada pemerintah atau kerajaan negara dan negeri untuk memberi arahan kepada rakyatnya.  Sebab itulah ayat 59 surah An-Nisa dicatatkan bahawa ketaatan ketiga ialah kepada pemerintah (pihak berkuasa). Di situlah Allah memberi hak dan pengiktirafan kepada yang berkuasa mengatur peraturan untuk memudahkan urusan hidup manusia. Dan sangat jelas pula Allah menerangkan orang yang mentaati perintah-perintah (tentulah yang baik, ada hadis maksudnya “ketaatan itu hanya dalam perkara baik” – Al-Bukhari dan Muslim) dan sanggup bermuzakarah jika berselisih, sebagai tanda orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Mengapa hendak merugikan diri di sisi Allah dengan cabul mulut menghasut orang supaya melanggar perintah-perintah yang diizinkan Allah?  Mengapa mesti melalaikan diri daripada mematuhi undang-undang atau peraturan sedangkan ketaatan berkenaan merupakan sebagian dalam rukun hidup sebagai muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Apakah orang yang dikatakan beriman kepada Allah dan hari akhirat hanya yang melakukan ibadah solat, puasa, haji dan zakat?  Jika begitu yang difahami, alangkah ruginya kehidupan muslim.

Sekalipun antara kita mengambil sikap kritikal terhadap pemerintah, namun dalam hal-hal yang jelas diwajibkan kita mentaati undang-undang, peraturan yang besar dan kecil, maka tidak boleh kita mengingkarinya.  Ketaatan-ketaatan (kepatuhan) ini merupakan ibadah kepada Allah sebab Allah menyatakan mereka sebagai orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.


Wallahu aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan