Halaman

Rabu, September 24, 2014

APA Allah kata ketika kita ketawa di Maharaja Lawak?

APABILA ziarah orang demam atau sakit, apa lagi hendak diucapkan kepadanya. Tidak lain, “harap bersabar, ini ujian daripada Allah.”  Bukan hal demam, sakit gigi atau sakit yang menyebabkan terlantar di hospital lantas kita selalu menenangkan (cuba gembirakan) dengan ayat cubaan atau ujian Allah kepada hamba-Nya. Kita ceriaan dia dengan ayat “sakit tandanya Allah sayangkan kita, Allah ingat kita”. Betul!

Namun cubaan atau ujian Allah kepada manusia bukan hanya dengan rasa gelisah, keluh-kesah, demam, sakit, ditimpa mala petaka atau apa juga yang dirasakan merugikan diri, malah semua saat kehidupan termasuk dalam gembira tawa ria adalah ujian atau cubaan Allah kepada semua hamba-Nya.

Maksud ayat 35 surah al-Anbiya’: "Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali."

Maksud ayat 7 dan 8 surah al-Kahfi: "Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya."

Begitulah sebenarnya kehidupan di sisi Allah, semua adalah ujian sebagai penilaian apakah kedudukan sedih, sakit dan rugi itulah ujian Allah.  Walhal kebaikan, kegembiraan, kemewahan, kesenangan hidup atau seribu kenikmatan adalah ujian Allah.

Sebenarnya dalam kehidupan, lebih banyak kita menikmati rasa senang, suka, seronok, sihat dan keuntungan berbanding sakit, sesal, sedih, sakit atau menderita. Banyak orang sihat dan senang hidupnya puluhan tahun, hanya sekali dua masuk hospital. Biasa kita mendengar orang yang sihat puluhan tahun dan sakit dalam seminggu atau sebulan kemudian meninggal dunia. Jarang kita mendengar orang menderita demam atau sakit yang memerlukan jagaan rapi selama 40 atau 50 tahun kemudian sihat dalam sebulan, kemudian sakit setika baru meninggal dunia.

Oleh itu, dalam perjalanan hidup ujian kesusahan yang diterima seseorang sangat sedikit berbanding banyaknya masa hidup menerima ujian berbentuk kesenangan dan tawa ria.  Namun kebanyakan kita hanya menyedari Allah sedang mengujinya tatkala menerima sakit atau kepayahan dalam hidup. Ketika bergembira dan bermewah-mewah jarang merasakan Allah juga sedang mengujinya.

Maksud Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu." (HR Al-Bukhari)

Apa tujuan Allah menjadikan sepanjang hidup sebagai ujian?

Maksud firman Allah dalam ayat 2-3 surah Al-Ankabut: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?"

Adakah kita menjaga halal-haram ketika di hospital atau setelah separuh tubuh diserang penyakit sedangkan sewaktu di pentas hiburan, pesta di pantai dan majlis kenduri tidak lagi dihiraukan halal-haramnya?  Begitulah Allah menjadikan setiap saat kehidupan sebagai ujian iman kepada-Nya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan