Halaman

Selasa, Ogos 05, 2014

KITA faham mencemarkan alam bukan dosa

BERITA-berita komuniti daerah dalam akhbar Sinar Harian 5 Ogos 2014 memaparkan sampah-sarap yang tidak diurus dengan baik, termasuk di Sabak Bernam.  Masalah kebejatan alam sekitar. Ini berita-berita yang tidak pernah beres. Ada lagi hal berkaitan alam sekitar di daerah Sabak Bernam yang tidak beres sebab tidak difikirkan bagaimana hendak membereskan masalah berkenaan.

Di Sabak Bernam

Umum tahu antara ekonomi di daerah ini ialah penanaman padi. Setiap musim panen petani terpaksa melupuskan jerami padi dengan membakarnya.  Pada saat petani riang dengan hasil panen ribuan ringgit, asap akibat pembakaran jerami padi di sawah-sawah ditanggung oleh semua penduduk yang ada, termasuk pengguna-pengguna jalan raya yang melewati daerah ini dari pekan Sekinchan sehingga Sabak.

Tidak banyak mauduk dakwah di sini memberi tumpuan mengenai melakukan pembakaran terbuka yang mencemarkan udara berminggu-minggu sebagai aktiviti mungkar yang di sisi Allah. Tazkirah atau ceramah agama lebih tertumpu kepada membanteras pendedahan aurat perempuan.  Tidak ada fokus dalam khutbah Jumaat mendedahkan kemungkaran-kemungkaran sekitar sekitar sebagai satu dosa yang pelakunya perlu bertaubat. Kalau mendedahkan aurat disaran bertaubat, diajar solat sunat taubat. Tidak ada guru agama yang mengajarkan masyarakat bertaubat disebabkan mencemarkan alam.

Begitulah pemahaman masyarakat kita mengenai contoh mungkar dan dosa. Tidak ada papan tanda mengatakan penyebaran sampah dan pembakaran terbuka sebagai dosa. Namun ada yang mengenai penutupan aurat. Papan tanda begitu bukan saja di kawasan masjid, malah pernah digantung kain rentang di kawasan perumahan sebagai tanda amaran kepada wanita yang mendedahkan aurat.

Kita jangan suka-suka berkata tentang sekularisme, pemisahan antara agama dengan dunia.  Mungkin kita yang berkopiah putih antara pengamal pemisahan agama dan dunia.  Sekurang-kurangnya lihatlah contoh di atas!

sawah yang sudah dibakar jeraminya
jerebu asap tempatan, bukan import
pembakaran jerami di sawah-sawah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan