Halaman

Khamis, Ogos 14, 2014

ISU MB Selangor mungkin lubuk dosa umpat dan dusta

GILA-gila jawatan Menteri Besat Selangor menyebabkan antara kita sebagai muslim mewah dengan cerita, seperti membesar-besarkan kebaikan atau membuka habis keburukan seseorang.  Insan berwibawa dalam agama seperti kehilangan suara atau sunyi daripada menasihati umah, walhal jelas di sana ada larangan daripada Allah dan rasul-Nya berkenaan umpat dan dusta.

foto hiasan

Maksud firman Allah ayat 12 surah Al-Hujuraat: “Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka (buruk sangka), sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu menngumpat (menggunjing) sebagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.  Dan bertaqwalah kepada Allah.  Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Menurut Ibnu Juraij r.a. ayat di atas diturunkan berkenaan orang ramai yang suka memperkatakan tabiat sahabat Nabi s.a.w. iaitu Salman al-Farisi yang suka tidur selepas makan. (Hadis Riwayat Ibn Munzir)

Secara sendirian boleh juga mengumpat orang dengan menolog, ulasannya sendiri terhadap seseorang yang diperhatikannya.  Berdua-duaan juga boleh mengumpat dengan berbicara hal orang lain sama ada baik atau keburukannya.  Dalam berkumpulan pun boleh mengumpat, dan tentulah bertambah cerita yang dapat dikongsikan. Dalam majlis ceramah besar-besar juga boleh menjadi majlis umpatan apabila sang penceramah memburuk-burukkan peribadi insan lain.  Selalunya dalam ceramah politik yang mendapat sorakan besar apabila penceramah sangat gencar bercerita kebejatan tokoh lain agar semua khalayak pendengar membenci tokoh berkenaan.  Tidakkah itu majlis dosa?

Maksud sabda Rasulullah s.a.w. “Jauhilah prasangka kerna prasangka adalah perkataan paling dusta. Janganlah kalian saling memata-matai (mencuri-curi), janganlah kalian mencuri informasi.  Janganlah bersaing (dengan tidak jujur).  Janganlah saling mendengki, jangan saling membenci dan jangan saling membelakangi.  Tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Malik, al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Antara kita kadang sadar perbuatan menggunjing sebagai dosa, lantas mengatakan, “saya hanya menceritakan yang benar”.  Maka berceritalah dan didangar oranglah.

Mungkin hadis ini dapat memberi pemahaman kepada kita. Bahawa Nabi s.a.w melarang ‘ghibah’. Lalu baginda Nabi s.a.w. menjelaskan sebagai berikut: “Pembicaraan atau percakapanmu terhadap saudaramu yang  saudaramu tidak sukai’.  Lalu sahabat bertanya, ‘Bagaimana jika yang dibicarakan itu hal yang benar?’  Maka Nabi s.a.w. menjawab, ‘Jika yang kamu bicarakan itu ada padanya bererti kamu telah mengumpatnya dan jika yang dibicarkan itu tidak ada padanya, maka kamu berdusta.’ (Hadis Riwayat at-Tirmizi)


Memang suatu yang sukar apabila dalam masyarakat sudah terjebak dalam cerita-cerita orang. Tambahan pula semua media memberikan cerita untuk disambut oleh pemerhatinya.  Namun itu semua bukan berarti bahawa peringatan Allah dan rasul-Nya sudah lupus melainkan tetap menjadi sempadan antara orang yang mahu menjaga  atau menipiskan iman.  Sungguh Allah tidak lalai daripada perkara paling kecil yang kita lakukan. Semua ada balasan baik dan buruk di sisi-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan