Halaman

Isnin, Ogos 18, 2014

KEDAI elektrik milik jutawan Melayu

SAYA mungkin perkauman apabila resah melihat kurangnya premis perniagaan Melayu/Islam di kota-kota.  Dan apabila berada di Bandar Jengka yang hampir semua premis perniagaan di sana dimiliki oleh Melayu/Islam saya berasa syukur dan senang. Maafkanlah jika tuan-tuan tidak menyukai sikap saya.

Dahulu pada awal tahun 1990-an terdapat seorang anak muda dari Jengka yang mendapat ‘duit terpijak’ sebanyak satu juta ringgit melalui satu rancangan di TV. Tidak tahulah wang itu digunakan untuk membeli apa, namun khabarnya dia membuka perniagaan. Hari ini dia bersama saudaranya telah lama memiliki kedai barangan elektrik.  Tahniahlah, sebab mereka tidak mensia-siakan peluang perniagaan di sebuah bandar yang dikhaskan untuk anak-anak Melayu/Islam.


 Namun saya masih keciwa apabila melihat kedai elektriknya jika dibandingkan dengan kedai-kedai elektrik milik kaum Tionghua di mana-mana pun.  Bukanlah pertama kali ini saya membeli barangan elektrik di kedainya sekalipun sejak beberapa tahun dahulu saya sudah sedar mengenai ‘tidak syoknya’ kedai itu.  Tapi itulah, mungkin saya perkauman menyebabkan saya masih membayar kepadanya untuk mendapatkan jenis-jenis barangan elektrik.


Beberapa perkara yang pada pandangan saya sangat menyakitkan hati dan mata yang memandang. Pertama, susun atur barangan dalam kedai.  Di situlah barangan utama dipamerkan, disitulah kotak-kotak barangan stok dan kotak yang telah dibuka diletakkan.  Malah komponen barangan yang dibaiki juga diletakkan di mana ada ruang bahagian utama kedai.


Kedua, barangan utama yang dijual seperti TV, mesin basuh, kipas dan lain-lain memang berdebu.  Faham sajalah, jika susun atur barangan tidak tentu hala, bab debu tidak dihiraukannya.

Ketiga, tauke dan pembantu kedainya tidak kemaskini pengetahuan mengenai barangan yang dijual.  Mereka masih menggunakan sistem Astro lama yang menunjukkan gambar kabur apabila dipadankan dengan peralatan TV yang terkini.  Pembantunya pula seperti tidak mahir memulakan sistem TV yang saya pesan (saya membeli TV di sana).  Malah saya terpaksa ‘campur tangan’ meminta dia menukar beberapa set supaya mudah saya menggunakannya apabila dibawa pulang. Jangan haraplah dia menjadi pemudah cara kepada saya mengenai barangan baru dari kedainya.  Saya berkata sendiri, ‘tak mengapalah, saya boleh membetulkan settingnya nanti.’ Begitulah tebalnya ‘perkauman’ saya sehingga masih bertolak ansur di sana.



Catatan ini sepatutya dibaca sebagai satu teguran kepada peniaga Melayu/Islam agar berani bersaing dan kreatif untuk memajukan perniagaannya. Janganlah berfikir semua pelanggannya adalah berjiwa ‘perkauman’ Melayu/Islam seperti saya.  Satu masa mungkin saya akan berubah juga…, ke kedai Melayu/Islam lain yang mesra pelanggan dan ceria!

1 ulasan:

  1. setuju...sikap ini perlu diubah. sangat banyak berlaku..!!!

    BalasPadam