Halaman

Sabtu, Julai 05, 2014

SUTRAH menghindari dosa dalam masjid

MALAM-malam pada bulan Ramadan di masjid dan surau memang banyak orang melakukan ibadah, terutamanya solat malam atau tarawih. Maka menjadi kebiasaan juga banyak orang melakukan solat sunat selain solat berjamaah di masjid.  Barapa orang sangatlah yang memastikan solatnya menghadap sutrah. Dan berapa orang sangatlah yang tidak berjalan di hadapan orang yang sedang solat itu.

sutrah di hadapan orang solat

Sutrah ialah penghadang di hadapan orang bersolat.  Misalnya ada orang solat menghadap dan mendekat ke arah tiang masjid.  Sebenarnya dia menjadikan tiang sebagai sutrah.  Ada pandangan lain misalnya seseorang bersolat yang ada rehal di hadapannya. Rehal itulah sutrah atau penghadang dia solat.  Selain benda mati seperti tiang dan rehal, orang yang duduk atau sedang solat juga boleh dijadikan sebagai sutrah.

Apa pentingnya sutrah?

Pertama, meletakkan sutrah adalah sunah Nabi s.a.w..  Oleh kerna baginda Nabi s.a.w. memerintahkan supaya kita meniru cara baginda melakukan solat maka meletakkan sutrah atau mendekati sutrah adalah sebagian cara solat Nabi s.a.w.

Maksud sabda Nabi s.a.w., “Janganlah engkau solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Solat menghadap sutrah sebenarnya menyelamatkan orang lain daripada berdosa berjalan di hadapannya.  Mungkin kerna jahil bab ini maka banyak orang berjalan di hadapan orang solat. Namun jika kita yang ada sedikit ilmu solat meletakkan sutrah maka orang yang melintasi di balik sutrah itu pasti tidak menanggung dosa.

Maksud sabda Nabi s.a.w. , “Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang shalat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun hadis tidak menjelaskan maksud 40 itu, namun para ulama faham bahawa ada ancaman dosa di sana.

Adakah garisan saf di masjid merupakan sutrah?  Sebenarnya contoh daripada hadis memberitahu bahawa sutrah adalah benda yang meninggi, bukannya satu gambar sama rata dengan tanah atau lantai.

Dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim ada menceritakan tentang fizikal sutrah.  hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Apabila Baginda solat di padang pasir dan tidak ada suatu pun yang boleh dijadikan sutrah, Baginda memacakkan tombak di hadapannya. Lalu Baginda solat menghadap tombak tersebut dan para sahabat bermakmum di belakang Baginda.”

Apabila kita bersolat, hendaklah mendekati sutrah. Maksudnya, apabila bersujud, dekatlah kepala kita dengan sutrah itu.  Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya, “Jika seseorang dari kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya.” (Sahih. Abu Dawud)


Semoga diamalkan salah satu sunah Nabi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan