Halaman

Selasa, Jun 10, 2014

LONGKANG di Teluk Intan

BAGI saya perjalanan dan pemandangan di bandar Teluk Intan adalah perkara biasa. Catatan ini tiada kaitan langsung dengan ba'da atau pasca PRK di bandar berkenaan. Yang mahu dikongsikan di sini ialah kekotoran sebagian longkang yang sepatutnya bersih!



Dua foto di atas merupakan keadaan di bahagian hadapan dan belakang sebuah bangunan utama di bandar itu. Tidaklah jauh dari mercu tanda Bangunan Condong. Di bangunan itu terdapat restoran, sebuah bank dan dua buah kedai kamera!  Bukanlah bangunan usang atau terpencil di pinggir Sungai Perak.

Imej longkang begitu membawa beberapa tafsiran.

Pertama: Minda para pentadbir bandar yang menganggap kebersihan longkang bukan keutamaan. Barangkali ini masalah satu negara. Saya pernah singgah di pekan Kuala Muda di Kedah (2010) dan sangat tidak tahan dengan bau busuknya.  Beberapa tahun dahulu di belakang pasar terkenal di Kelantan juga berkeadaan sama.  Walhal berapa banyak orang yang pernah pergi ke Jepun, Australia dan Korea memberitahu kita yang bandar-bandar di sana sangat bersih dan menyamankan kehidupan manusia. Ironisnya, kita sering berkata 'Islam, Islam, Islam!'.

Kedua: Masyarakat kita memang masyarakat pengotor.  Sikap pengotor lahir sebagai terjemahan daripada minda yang kotor.  Bagi orang kita sama ada yang Islam (mendakwa agama Islam sangat mendidikan umatnya menjaga kebersihan dengan berwuduk lima kali sehari) atau bukan Islam (yang berpegang kepada nilai-nilai murni), sampah merupakan sebagian ciri kehidupan.  Di mana-mana kita boleh melihat gerai makan atau kedai kopi di tepi jalan yang berdebu dengan longkangnya berbau busuk.  Kita boleh melihat peniaga dan pengguna melonggokkan sampah di bawah pokok yang akhirnya terburai menjadi lapangan sampah. Apa lagi yang masyarakat kita mahu tentang menjaga kebersihan?

Ketiga: Malaysia bukan tiada undang-undang.  Masalahnya ialah penguatkuasaan undang-undang.  Bukan soal tidak cukup kakitangan sebagai penguatkuasa, masalahnya ialah 'budi bicara' penguatkuasa.  Budi bicara yang dimaksudkan ini bukan rasuah, tetapi 'bermalu-alah' kepada ahli masyarakatnya.  Yang mahu dikenakan tindakan bukan orang lain, ahli masyarakat atau sanak saudaranya juga. Penguatkuasa juga ada pertimbangan lain, tidak mahu mencari musuh!  Maka itulah jadinya.

Kesimpulannya, soal sampah dan kotor-mengotor di banyak tempat sebagai sempurnanya satu sistem mengekalkan kekotoran. Bermula daripada pemikiran pentadbir, budaya masyarakat dan ketidaksanggupan penguatkuasa bekerja dengan betul.  Kepada yang ada idealisme senang saja. Allah tidak mengabaikan setiap pekerjaan walaupun sebesar 'zarah', maka sesiapa (muslim) yang beriman tidak akan menjadi salah satu ejen kotor-mengotor ini.  Allah pasti membalas amal sebesar zarah itu. Maka yang percaya balasan Allah itu, secebis sampah pun tidak akan dicampakkan di mana-mana sesuka hati.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan