Halaman

Sabtu, Jun 07, 2014

HAKIKATNYA China kuasa besar dunia

Catatan orang kecil di kota Beijing.

Sewaktu berkunjung di Madinah dahulu, saya mahu ketawa apabila saya bebas berkomunikasi dengan peniaga-peniaga Arab sekitar  Masjid Nabi dalam  Bahasa Melayu. Malah saya kerap bertutur Melayu langgam Arab seperti bicara P Ramlee dalam filem Ahmad Albab.  Sebab itu saya mahu ketawa. Artinya, di sebuah kota yang jauh dari dunia Melayu Nusantara, saya tidak perlu menggunakan bahasa asing untuk hidup.  Bagaimana di Beijing?

ketemu Pak Jokowi, orang Tionghua dari Surabaya
Propaganda China bahawa bangsanya sangat hebat

Dua hari di kota tua Beijing, saya melihat banyak wajah Nusantara di kawasan-kawasan pelancongan.  Malah saya disapa oleh seorang lelaki wajah Cina dari Surabaya. Lalu, bukan lagi saya berbicara dengan lelaki yang bernama Jokowi dalam bahasa Melayu, malah Bahasa Jawa.  Oleh kerna agak banyak orang dari Nusantara ke Beijing, kerajaan China pasti tidak mahu membuat orang Nusantara bingung seperti ayam memasuki dunia itik.

Sebelum ini saya juga mendapat maklumat bahawa peniaga-peniaga Cina yang fasih bertutur Bahasa Arab semata-mata untuk memudahkan perniagaan mereka dengan bangsa Arab.  Maka fahamlah saya mengapa ketika di Madinah dan Makkah, begitu banyak barang buatan China di sana.  Jangan fikir kopiah, sejadah, biji tasbih, jubah dan semacam barangan berimej Arab Saudi di Makkah adalah buatan bangsa Arab, tidak!  Semuanya diimport dari China, dan muslim yang ke Makkah dan Madinah menjadikan barangan itu sebagai ole-oleh dari dua kota suci.

Pertama: Semua pengunjung Nusantara dilayan oleh pembawa pelancong dalam Bahasa Melayu-Indonesia.  Saya katakan lebih kepada bahasa yang digunakan di Indonesia.  Oh, saya teringat tulisan guru saya Prof Awang Sariyan (sekarang Pengarah DBP) mengenai tersebar luasnya pengajaran Bahasa Indonesia di serata university seluruh dunia, bukannya Bahasa Melayu kita atau Bahasa Malaysia. Sebagiannya adalah di Beijing.  Untuk rekod, sebelum menjadi Pengarah DBP, Prof Awang Sariyan bertugas sebagai profesor Bahasa Melayu untuk Kursi Pengajian Melayu di Universiti Beijing (maaf jika tersilap nama universiti).

Di mana-mana pun yang ada penerangan sangat mendalam mengenai imej China, akan diterangkan dalam Bahasa Melayu Indonesia.  Ini bermakna China telah menyediakan banyak pegawai atau petugas melayan pengunjung asing menuruti bahasa pengunjung.  Konsep ini berbeda dengan di negara kita yang lebih menggunakan bahasa Inggeris untuk semua pengunjung luar.  Hal ini bermakna, Bahasa Mandarin dikukuhkan tanpa gangguan Bahasa Inggeris, tetapi semua pengunjung dari luar masih tetap mendapat maklumat lengkap dan benar daripada bahasa pengunjung. Tentulah ada lagi pegawai penerangan yang fasih berbahasa Jerman, Arab, Perancis, Inggeris, Jepun, Korea dan sebagainya.  Ini semua demi kepentingan ekonomi China dan penerimaan semua penduduk dunia terhadap bangsa dan budaya China.

Kedua: Semua pengunjung akan disajikan dengan imej China yang hebat.  Mereka dibawa digedung ubat tradisional Cina.  China pasti menekankan sejarah perubatan dan pengubatan bangsa Cina ribuan tahun. Pegawai-pegawainya  pasti memberitahu semua sumber ubat itu berasal dari mana-mana wilayah China dan memberitahu semua ubat modern Barat membawa keburukan kesihatan kerna bahan-bahan kimianya.

Semua pengunjung juga dibawa ke pusat pembuatan barang hiasan bangsa Cina. Batu jade dan Kristal China pasti dikatakan terbaik, malah pemakainya akan mendapat kebaikan kesihatan.  Dan batu-batu berkenaan cukup di serata negara China. Mana ada pemakai barangan emas (baca produk Barat) diberitahu kebaikan mengenai kesihatan?  Sama ada pemakai jade menjadi lebih sihat atau tidak, saya yakin kempen ini lebih kepada propaganda menaikkan imej China kepada masyarakat dunia.  Pengunjung juga dipaksa menonton seni akrobatik China sebagai memantapkan lagi propaganda bangsa Cina sangat hebat. Ya, semua pengunjung luar bertepuk tangan setelah setiap aksi hebat anak-anak muda Cina.  Pasti tidak ada program akrobatik di Malaysia dan Indonesia. Maka gambarannya ialah kehebatan bangsa Cina di mata semua pengunjung luar termasuk dari Barat.

Mereka menjual sejarah China yang lama dan hebat, pastinya tinggalan dinasti kuno seperti Tembok Besar dan Istana Larangan itu. Untuk apa, kalau bukan memberi tahu masyarakat dunia bahawa China sudah ribuan tahun membangun dan menjadi kuasa dunia.  Pastinya pengunjung tidak menemukan kehebatan ribuan tahun dahulu di negara kuasa besar sekarang, Amerika Syarikat.  Ini mudah difahami. Walaupun China membenci semua amalan feudal kuno itu, tetapi membanggakannya sebagai warisan bangsa. Semua warisan ribuan tahun itu akan dijadikan warisan dunia. Warisan dunia berarti menjadi warisan seluruh warga dunia.  Jika banyak benda atau kota menjadi warisan masyarakat dunia, ‘apa barang’ kalau China tidak menjadi satu kuasa terbesar dunia?  Ya, China mahu menjadi nenek moyang kepada seluruh manusia di dunia termasuk rakyat Barat di Amerika dan Eropah. Dan sejarahnya, fosil manusia Peking itu sebagai antara manusia terawal menurut kajian sainstifik.  Tentulah ini sebagai hujah kuat China bahawa semua manusia di dunia ini bermula dari Peking atau Beijing.

Amerika ada warisan dunia apa?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan