Halaman

Jumaat, Mei 02, 2014

BERSYUKUR tidak terjebak dengan militan

TIDAK kaget dengan berita militan di Malaysia ditahan. Akhbar menyiarkan foto mantan penyanyi rock yang sedang menggalas senjata atas nama jihad di Syria. Pemikiran dan aksi militan atas nama Islam bukan perkara baru pun.



Saya ceritakan kisah benar sendiri berkaitan pemikiran yang boleh dianggap militan. Sewaktu saya masih bersekolah rendah, saya mendengar penuh minat perbualan dua orang dewasa di desa. Seorang digelar orang agama menyatakan marah dan kesalnya kerna surau di desa digunakan untuk belajar  orang dewasa. “Dia mengajar agama bukan ikhlas, mengajar sebab dapat elaun.”  Dan ayat lain yang saya minat ialah, “buang saja kentung di surau.”  Maksudnya kentung atau ketuk-ketuk yang dipukul untuk memanggil orang datang belajar di surau.  Setelah itu, jika saya ke surau tumpuan saya ialah kentung yang tergantung.  Kalaulah kentung  itu ringan, tentulah saya yang akan membuangnya kerana percaya perbuatan itu bermakna mencegah kerja fasik agama, kerja tidak ikhlas. Kalau bukan atas nama agama, saya tak tergoda hendak memikirkan hal kentung itu.

Dalam ceramah agama, biasa saja penceramah bercakap hal jihad dan kelebihan mati syahid.  Jika memberi contoh tahap pengorbanan tertinggi terhadap Islam ialah kesanggupan mati – mati syahid.  Dahulu biasa penceramah menyebut, “hendak berjihad melawan tentera kafir bukan di Malaysia, di Afghanistan sana.”  Waktu itu negara Afghanistan dikuasai tentera komunis Soviet Union bermula tahun 1980.  Penentang tentera Soviet di negara berkenaan disebut ‘Mujahidin’.  Siapa yang dapat menafikan peperangan itu antara muslim dan kafir!  Tidak hairan ada rakyat Malaysia yang telah menjadi sebagian ‘mujahidin’ melawan tentera soviet.  Berita-berita pelik yang memihak kepada mujahidin di sana mudah tersebar dan dipercayai, menambah keyakinan bahawa perjuangan di Afghanstan adalah ‘perang sabil’ kata orang desa.

Semasa saya mengikuti pengajian agama di sebuah madrasah di Negeri Sembilan (tahun 1980-an), terdapat anasir dari Indonesia yang secara jelas berpemikiran militan (seperti yang didakwa oleh kerajaan). Mereka mendakwa lari daripada rejim Soeharto yang sangat membenci usaha-usaha ke arah negara Islam di sana. Saya mendengar orang menyebut mereka puak ‘Islam Jamaah’.  Tidak pasti apakah mereka yang dikatakan ‘Jamaah Islamiyah’ yang sisertai juga oleh dua lelaki rakyat Malaysia iaitu Azahari dan Nordin yang akhirnya terbunuh di Jawa.  Ada seorang yang namanya ‘Saiful’ menjadi penjual buku-buku agama berkata, “apa gunanya negara dalam keadaan aman sedangkan hukum Allah tidak ditegakkan.  Keadaan kacau lebih baik jika hukum Allah ditegakkan.”

Ada seorang yang namanya ‘Solihin’ berbadan kurus datang ke madrasah.  Biasanya dia duduk beriktikaf, kemudian akan berbual-bual dengan murid-murid di sana.  Satu masa saya lihat mudir madrasah berbual dengan Solihin di musola sampai larut malam.  Tak lama selepas itu Hari Raya Haji dan mudir berkhutbah. Nada khutbahnya berbeda, agak keras dengan memberikan pengertian sunah nabi bukan hanya soal solat berjamaah dan menghindari bid’ah.  Mudir menyeru jamaah berjiwa jihad dengan semangat juang yang tinggi, sampai sanggup mati syahid.  Lepas khutbah, saya dengan Solihin berkata, “ustaz sudah berubah”.  Tetapi saya tidak melihat apa-apa perubahan di madrasah, seperti biasa juga.

Saya bukan penuntut tetap di madrasah, tetapi datang ke sana secara berkala. Suatu masa saya datang, kawan-kawan beritahu ‘Abdul Nasir’, salah seorang murid di sana  sudah pergi Afghanistan. Berita begitu bukan mengkagetkan sebab hal-hal jihad dan mati syahid bukan saja diajarkan di madrasah malah penceramah boleh menyebutnya di semua masjid atau surah dalam mana-mana kuliah agama!  Cuma kalau ada yang benar-benar sampai ke Afghanistan, tentulah ada organisasi yang mengurusnya.  Cerita Abdul Nasir yang terakhir ialah enam tahun dulu saya membacanya dalam akhbar Utusan.  Dia dalam tahanan di Indonesia dan menyeru mereka yang selama ini berjuang bersama Jamaah Islamiyah sepertinya agar bertaubat dan kembali kepada kehidupan biasa seorang muslim.  Sejak itu pun tidak ada berita apa-apa dalam media berkenaan Abdul Nasir yang berasal dari Johor.

Secara peribadi, sangat bersyukur kerana tidak terjebak dengan ayat-ayat agama si Solihin. Allah yang menyelamatkan saya dengan cara saya tidak mengepos surat kepadanya walaupun surat itu sudah bersetem.  Syukur juga mudir madrasah (almarhum Hashim Ghani) tidak bertindak jauh menuruti kata-kata si Solihin.


Kedudukan puak Islam Jamaah di madrasah itu pun tidak lama, khabarnya mereka terpencar jauh akibat menghidu pergerakan pihak berkuasa (SB) di madrasah berkenaan.  Waktu itu kawan-kawan kata si Solihin sudah di Qatar membawa dua orang isterinya.  Entah betul entah tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan