Halaman

Selasa, April 29, 2014

HUDUD, rasionalnya wartawan Utusan

SAYA berkongsi pendapat dan pemikiran dengan wartawan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain yang menulis berkenaan pandangan buruk mengenai hukum hudud. Kepada sebagian aktivis dan penyokong Pas, wartawan Utusan merupakan penulis ‘berjiwa kotor’ dengan akhbar Utusan sendiri digambarkan sebagai penyebar fitnah.  Namun saya yakin tulisan wartawan berkenaan merupakan pemikiran majoriti ahli ilmu dalam negara berkaitan dengan isu hudud.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
27 April 2014
Adakah hukum hudud itu hanya memotong tangan dan bukan undang-undang yang jauh lebih adil dan perikemanusiaan berbanding undang-undang sivil yang diguna pakai sekarang?

Persoalan ini timbul kerana Pas yang merintis gagasan hukum hudud tidak membentangkan bahawa undang-undang Islam membimbing manusia ke arah kebaikan, menyuburkan kemanusiaan dan keadilan.

Apabila hudud disinonimkan dengan potong tangan, jadi tidak salah kalau golongan bukan Islam merujuk kepada beberapa penyelewengan di luar negara yang melakukan kekejaman di atas nama Islam. Taliban misalnya melakukan kekejaman dan penindasan terhadap wanita atas nama Islam dan merujuk itulah hudud. Ini mesti diperbetulkan.

Saya sangat percaya potong tangan, dirotan 100 kali atau direjam sampai mati adalah persepsi yang ditonjolkan oleh musuh-musuh Islam. Tujuannya supaya hudud dilihat sebagai sistem perundangan yang kejam, tidak bertamadun dan tidak adil. Padahal hudud lebih kepada usaha membanteras daripada menghukum. Ia membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat dan melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti tinggi. Tetapi sangat malang apabila konotasi negatif yang ditimbulkan seolah-olah apabila negara ini melaksanakan hukum hudud, banyak orang yang akan kudung tangan.

Inilah kerja musuh-musuh Islam dan sekarang usaha mereka telah berjaya apabila Pas sendiri lebih banyak bercakap tentang potong tangan berbanding sekian banyak kebaikan kepada Islam dan bukan Islam di bawah hudud.

Hudud kembali menjadi polemik kitar semula dan modal politik dalam kalangan yang bersetuju atau menentang hukum ini. Hudud mempunyai nilai yang tinggi di pasaran politik untuk memperlihatkan lebih Islam dan kurang Islam. Entah berapa kali polemik ini dipanaskan kemudian sejuk dan dipanaskan lagi hinggalah yang terbaru ini.

Baru-baru ini saya terbaca kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Mohd. Amar Nik Abdullah tentang isu potong tangan. Kenyataan beliau menyebut kerajaan Pas Kelantan merancang menggunakan khidmat pakar bedah untuk memotong tangan penjenayah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Saya membacanya berulang kali dan semacam tidak percaya kenyataan ini boleh dikeluarkan seorang pemimpin kanan Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan. Maka saya pun tertanya-tanya adakah yang penting kepada Pas dalam hudud hanya potong tangan? Kalau tidak penting kenapa isu potong tangan ditonjolkan? Bukankah hudud ada peringkat demi peringkat hingga tidak ada teraniaya sebelum sampai kepada potong tangan?

Kenyataan Mohd Amar tidak salah tetapi tidak kena dalam suasana di mana banyak pihak masih keliru dengan hudud dan agenda musuh-musuh Islam untuk memperlihatkan Islam dan hudud sebagai tidak bertamadun dan kejam. Mohd Amar seorang ulama tentu faham bahawa untuk sampai kepada hukuman itu, prosesnya bukan mudah.

Proses yang diistilahkan sebagai bukan mudah ini adalah nilai-nilai keadilan yang sangat diutamakan dalam perundangan Islam. Misalnya dalam undang-undang sivil yang diamalkan sekarang, mencuri sebuku coklat di pasar raya hukumannya sama dengan penjenayah kolar putih yang mencuri berjuta-juta ringgit Malaysia.

Sebab itulah ada pihak yang sinikal berkata, kalau hendak mencuri, curilah banyak-banyak kerana sedikit pun hukumannya sama juga. Ini merujuk undang-undang sivil yang tidak semuanya adil. Tetapi ini tidak berlaku dalam hudud.

Seorang ulama yang tidak mahu nama disebut (yang pasti bukan pelawak) memberitahu saya, sekiranya hukum hudud dilaksanakan di negara ini, mungkin tidak ada orang yang dipotong tangannya kerana mencuri.

Saya tanya, adakah tidak ada kecurian? Beliau berkata, jumlah kes mungkin berkurangan tetapi untuk sampai ke peringkat di mana pesalah kes mencuri dipotong tangan adalah sangat kecil malah mungkin tidak ada. Hukuman diganti dengan yang lebih rendah kerana hudud itu adil bukan zalim atau kejam.

"Apa hang pikiaq senang ka nak kerat tangan orang?" katanya dengan loghat utara pekat. Moral ceritanya tahap hukum hudud berperingkat-peringkat yang adil kepada pesalah. Kata ulama ini, kalau membicarakan tentang hudud, tidak usahlah membina persepsi buruk kepada hukum Islam dengan membesar-besarkan konotasi yang membawa maksud kezaliman atau kekejaman. Hudud lebih kepada membanteras berbanding menghukum. Hudud itu keadilan bukan penganiayaan. Penyelewengan ini telah banyak dilakukan di luar negara dan Islam mendapat imej buruk.

Musuh-musuh Islam tidak menonjolkan sisi putih hukum hudud, maka menjadi tanggungjawab golongan bijak pandai Islam untuk menunjukkan hudud satu sistem yang adil. Kalau bijak pandai Islam pun semangkuk dengan musuh-musuh Islam, kita kalah dan mereka akan menang.
Saya sangat setuju dengan pendirian kerajaan yang tidak menolak hudud tetapi tidak dilaksanakan pada masa ini kerana terdapat banyak kekangan. Saya percaya Pas juga setuju dengan pendirian ini kerana kerangka sistem yang tidak mantap akan merencatkan pelaksanaan hudud.

Apabila pelaksanaan hudud terencat dan banyak kelemahan, ketika inilah musuh-musuh Islam menjadikannya alasan untuk mempersenda hudud. Tidak ada gunanya sekadar melaksanakan hudud tetapi terdapat banyak kelemahan yang mengundang persepsi buruk kepada hukum Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan