Halaman

Jumaat, Mac 21, 2014

MENCINTAI Nabi wajib pula membenci bid'ah!

MAJLIS-majlis memperingati Nabi s.a.w. memang banyak.  Yang agung ialah Maulidur rasul. Maka pelbagai pula pengisiannya,  tetapi matlamatnya tetap satu: Mencintai Rasulullah s.a.w. nabi akhir zaman. Mencintai Nabi dan kemudian menuruti ajaran baginda telah jelas dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih.

benar mencintai sunah nabi dan menolak bid'ah?

Bahawa Nabi s.a.w. merupakan tauladan terbaik kepada manusia yang mahu beriman kepada Tuhan yang satu. Ayat 21 surah al-Ahzab (maksudnya), “Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah adalah contoh ikutan yang baik untuk orang yang sentiasa mengharap (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat, dan dia banyak menyebut serta mengingati Allah (setiap saat senang atau sukar).”  Mencontohi baginda Nabi s.a.w. adalah dalam hal keagamaan. Hal keduniaan yang senantiasa berubah itu,  asas-asas ajaran baginda Nabi s.a.w. tetap menjadi panduan atau ikutan.  Miisalnya dalam soal kepemimpinan, maka kejujuran atau amanah yang ditunjukkan oleh baginda Nabi s.a.w. menjadi ikutan orang yang mahu mendapat keredaan Allah.

Kemudian, orang yang mencintai baginda Nabi s.a.w. tidak ada hak untuk memilih beberapa bab ajaran baginda Nabi s.a.w. dan melupakan pula bab-bab yang tidak bersesuaian dengan kehendaknya. Kalau memang sudah mahu mendapat reda Allah, maka sikapnya ‘dengar dan patuh’. Maksud ayat 51 surah Al-Nuur, “Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan sunah Rasul-Nya sebagai hakim  memutuskan perselisihan antara mereka, mereka berkata ‘kami dengar dan taat’.  Mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan.”

‘Dengar dan taat’ berarti menyerah diri tanpa soal.  Menyerah dan menerima  dengan melupakan kepentingan diri, sejarah, adat budaya atau kekeluargaan. Maksudnya, jika beberapa hal itu berselisih dengan aturan Allah dan rasul-Nya, maka atas sifat ‘dengar dan taat’ mereka lebih mengutamakan aturan Allah dan rasul-Nya.

Hal dengar dan taat ini telah berlaku juga pada zaman hidup baginda Nabi s.a.w.  Ada seorang yang mahu pendapatnya diiktiraf berbanding orang lain, lalu meminta pengiktirafan daripada baginda Nabi s.a.w.  Namun Baginda Nabi s.a.w. tidak mengiktiraf pendapatnya.  Maksudnya pendapatnya menyalahi keputusan Nabi s.a.w. yang mendapat bimbingan wahyu Allah.  Lalu orang itu menemui sahabat Nabi iaitu Abu Bakr, namun Abu Bakr bersikap seperti baginda Nabi s.a.w. Lalu orang itu menemui pula sahabat Nabi yang lain, Umar al-Khattab.  Bagi Umar mudah saja, jika tidak mahu menuruti keputusan baginda Nabi s.a.w., artinya tidak akur kehendak Allah juga. Jawabnya, mati lebih baik!  Dengan keputusan Umar yang membunuh orang berkenaan, tindakan Umar itu diiktiraf pula oleh Allah dengan menurunkan ayat 65 surah An-Nisa’ “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau sebagai hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka.  Kemudian mereka tidak keberatan dalam hati daripada apa yang engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”

Mencintai baginda Nabi bermakna mengamalkan sunah baginda.  Menjaga sunah baginda Nabi bermakna membenci apa yang menyalahi sunah baginda iaitu rekaan-rekaan baru dalam beragama.  Bagaimana mungkin seseorang menyatakan cinta kepada Nabi namun rela hati terhadap rekaan beragama yang sangat jelas mencabar keabsahan ajaran baginda Nabi s.a.w.

Antara cabaran dalam usaha mencintai sunah baginda Nabi s.a.w. ialah menerangkan kepada masyarakat adanya rekaan beragama, yang menjadikan agama bercampur aduk antara yang tulen daripada baginda Nabi dengan yang direka-reka oleh pencinta bid’ah hasanah. Sebenarnya campur-aduk agama yang tulen dengan yang palsu (rekaan atau bid’ah) telah berlaku kepada hampir semua ajaran para nabi Allah.  Amalan Haji yang diajarkan oleh Nabi Ibrahim juga ditokok tambah oleh manusia selepas kewafatan nabi itu.  Akidah triniti dalam agama Nasrani juga merupakan rekaan baru atau bid’ah dibandingkan dengan ketulenan ajaran Nabi Isa a.s.


Rekaan-rekaan agama atau bid’ah dikatakan bertujuan baik, iaitu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.  Itulah jawaban pendukung akidah triniti dalam agama Nasrani.  Begitu jugalah jawaban pengamal bid’ah dalam Islam: Perkara baru yang baik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Namun itulah yang ditolak demi menjaga sunah Nabi dan sebagai bukti mencintai Nabi s.a.w. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan