Halaman

Isnin, Mac 10, 2014

'BOLEH membuat ibadah baru sebab baik dan tujuannya baik'

KEPADA  yang berpegang prinsip ‘boleh melakukan bentuk ibadah baru disebabkan baik dan  tujuannya pun baik’ di bawah ada hadis sebagai panduan bagaimana para Sahabat Rasulullah s.a.w. bertindak demi menjaga ketulenan agama yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w.

hanya hiasan

Menurut Abu Salamah: (maksudnya) Kami sedang duduk di hadapan pintu rumah Abdullah bin Mas’ud sebelum solat Subuh.  Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid.

     Kemudian datang kepada kami Abu Musa al-Asy’ari lalu bertanya, “Adakah Abu Abdul Rahman (gelaran kepada Abdullah bin Mas’ud) telah keluar.”

     Kami menjawab, “tidak.”

     Maka dia pun duduk bersama kami sehingga Abdullah bin Mas’ud keluar.

     Apabila dia (Abdullah bin Mas’ud) keluar, kami semua bangun menuju kepadanya. Abu Musa al-Asy’ari bertanya kepadanya, “Wahai Abu Abdul Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku menganggapnya, alhamdulullah,  melainkan baik.”

     Dia (Abdullah bin Mas’ud) bertanya, “apakah perkara tersebut?”

     Kata Abu Musa al-Asy’ari, “jika panjang umurmu, engkau akan melihatnya.  Aku melihat satu puak duduk dalam satu halaqah (bulatan) menunggu waktu solat.  Setiap halaqah diketuai seorang lelaki, di tangan mereka ada anak-anak batu.  Apabila lelaki itu berkata ‘bertakbir (Allahu akbar) 100 kali’ maka mereka pun bertakbir 100 kali.  Apabila dia berkata ‘bertahlil’ (Laa ilaha illallaah) 100 kali’ maka mereka pun bertahlil 100 kali.  Apabila dia berkata ‘bertasbih (Subhanallah) 100 kali’ maka mereka pun bertasbih 100 kali.”

     Abdullah bin Mas’ud bertanya, “Apa yang engkau katakana kepada mereka?”

     Jawab Abu Musa al-Asy’ari, “Aku tidak berkata kepada mereka apa-apa kerna menunggu pandangan dan perintahmu.”

     Maka kata Abdullah bin Mas’ud, “mengapa engkau tidak perintahkan mereka menghitung dosa dan engkau memberi jaminan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun.”

     Kemudian beliau (Abdullah bin Mas’ud) berjalan dan kami pun berjalan bersamanya. Kami bergerak sehingga tiba di salah satu halaqah berkenaan.  Lantas Abdullah bin Mas’ud berkata, “Apa yang sedang kamu lakukan?”

     Mereka (dalam halaqah itu) menjawab, “Wahai Abu Abdul Rahman, anak-anak batu ini kami gunakan untuk menghitung takbir, tahlil dan tasbih.”

     Abdullah bin Mas’ud menjawab, “hitunglah dosa-dosa kamu, aku menjamin pahala-pahala kamu tidak akan hilang sedikit pun.  Celaki kamu wahai umat Muhammad, alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih ramai (yang hidup), baju baginda pun belum lusuh dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah.  Demi Allah, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”

     Mereka menjawab, “Demi Allah wahai Abu Abdul Rahman, kami hanya bertujuan baik.”

     Abdullah bin Mas’ud menjawab, “Betapa banyak yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.”

 (Hadis Riwayat Al-Darimi)

Pengajaran kisah pada zaman para Sahabat ialah tidak dibenarkan membuat cara menghitung zikir dengan mengira anak-anak batu, walhal Rasulullah telah mengajarkan menghitung dengan jari-jemari. Cara menghitung zikirnya dengan menggunakan anak-anak batu telah ditegur dengan keras oleh Abdullah bin Mas’ud.

Sebagian antara kita mungkin berfikir, ‘aduhai…, itu hanya cara menghitung zikir.’  Namun begitulah para Sahabat menjaga ketulenan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.  Kalaulah tidak kerna ketegasan-ketegasan sebagaimana Abdullah bin Mas’ud, tentulah merebak pembuat amalan agama hanya bersandarkan ‘amalan baik dan tujuannya baik’.

Di manakah kedudukan kita hari ini: Seperti Abdullah bin Mas’ud yang menjaga sunah nabi iaitu ketulenan agama atau seperti mereka yang ditegur oleh Abdullah bin Mas’ud.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan