Halaman

Sabtu, Februari 15, 2014

BERWUDUK tanpa membuka stokin atau khuf

PENGEMBARA yang sampai ke negara Arab dan Eropah akan biasa melihat muslim bersolat dengan  memakai kasut.  Maksudnya, solat  berkasut itu di atas jalan atau padang terbuka, bukan dalam masjid yang tersedia lantai berlapik bersih seperti di kamar tidur! Selalunya mereka memang bekerja dengan memakai kasut yang mengambil masa untuk ditanggalkan atau pada musim sejuk.  Di negara kita, yang memakai kasut tinggi kebanyakannya pasukan keselamatan seperti tentera dan polis.  Pasukan bomba juga memakai kasut yang tinggi, iaitu ikatan talinya yang panjang. Memang ada masalah untuk segera membuka  hanya untuk berwuduk dan kemudian memakainya semula.  Namun kerna di Malaysia tidak ada budaya orang solat (termasuk berjamaah) di jalan, padang atau di kaki lima kedai, maka sesusah mana pun kasut itu ditanggalkan juga untuk berwuduk.

khuf daripada kulit

Sebenarnya Islam membenarkan orang berwuduk tanpa membuka kasut atau stokinnya.  Ini sebagian daripada keringanan kepada muslim berwuduk, untuk semua jantina, golongan umur atau di mana mereka tinggal.  Dengan ini sangat diharap muslim tidak memberi alasan ‘leceh’ atau malas untuk menanggalkan kasut (stokin) dan memakainya semula sedangkan ini mengambil masa.

Maka di Malaysia, boleh saja orang tidak menanggalkan stokinnya ketika berwuduk, cukup pada bahagian membasuk kakinya, dia menyapu bahagian atas stokinnya sekali saja untuk kedua-dua belahnya.  Orang yang sudah biasa membuka stoking untuk berwuduk tiada masalah apa-apa, namun ada perlunya disapu saja atas stokin sebagai satu pendidikan kepada orang lain dan memperlihatkan imej ibadah dalam Islam yang ada keringanan.  Ketika berdakwah kepada bukan muslim, sangat perlu keringanan ‘menyapu kasut atau stokin’ sebagai ganti membasuh kaki.  Umum tahu bahawa masyarakat bukan Islam tidak semua membudayakan dengan pembasuhan kaki. Malah ada yang masuk ke bilik tidur pun berkasut!

Antara kelebihan kita menyapu stokin ketika wuduk ialah:

Pertama, kita mudah saja berwuduk di mana-mana ada punca air tanpa perlu bersusah payah membuka kasut.
 
Kedua, kita dapat menjimatkan masa yang selama ini diguna untuk membuka dan memakai stokin.

Ketiga, kita dapat mengurangkan kadar kebasahan pada lantai masjid atau musolla. Masalah musolla basah ini besar di tempat solat yang kecil seperti di pasar raya atau R&R.

Dalil daripada sunah berkenaan menyapu kasut atau stokin.

Daripada Mughirah bin Syu’bah, “aku bermusafir bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan. Lalu aku ingin membuka menanggalkan khuf Baginda. Kemudian baginda bersabda: Biarkan kedua-duanya. Ini kerana, aku memakainya dalam keadaan kedua-duanya suci. Lalu baginda menyapu di atas kedua-dua khufnya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

Ada ulama yang mengatakan asalkan kedua-dua kakinya bersih daripada kotoran, ada pula yang mengatakan mesti berwuduk seperti biasa dulu sebelum memakai kasut atau stokin. Imam an-Nawwi rahimahullah memilih wajibnya berwuduk dahulu sebelum memakai kasut atau khuf untuk menyapunya apabila berwuduk pada waktu berkenaan. “...bahawa tidak boleh menyapu khuf kecuali memakainya selepas menyempurnakan wudhuk.” (Rujuk syarh sahih Muslim, jil. 3. 170)

Dalil bolehnya stokin yang tembus air disapu sebagaimana kasut kulit tebal.

Berkata Azraq bin Qais, “Aku melihat Anas bin Malik telah berhadas (batal wuduk). Maka beliau telah membasuh muka dan tangannya, dan telah menyapu ke atas kedua stokinnya  (yang diperbuat) daripada benang bulu biri-biri, lantas aku berkata, “Adakah kamu menyapu ke atas kedua-duanya?” Anas bin Malik pun berkata, “Sesungguhnya kedua-duanya adalah khuf, tetapi kedua-duanya daripada benang bulu biri-biri.” (Riwayat Ad-Dulabi, no. 1/181)

Tempoh masa dibenarkan

Berdasarkan hadis berikut. Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. menetapkan (tempoh menyapu khuf) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim.” (Riwayat Muslim)

Wallahu aklam


Tiada ulasan:

Catat Ulasan