Halaman

Rabu, Disember 11, 2013

SEBUAH masjid bernama Masjid Muhammad Abdul Wahab

SEPATUTNYA sekarang sudah ada sebuah masjid yang dinamakan Masjid Muhammad Abdul Wahab.  Jika tidak ada negeri yang sanggup menamakan salah satu masjid yang bakal dibina, sepatutnya negeri Perlis mengambil inisiatif berkenaan.  Kalau masjid bereka bentuk tradisi Cina untuk membuka minda kaum Cina terhadap Islam, maka nama masjid Muhammad Abdul Wahab juga untuk membuka minda Melayu terhadap tokoh yang dimusuhi tanpa sebab-musabab!
Soalan: (17 Jun 2012)
Saya hendak bertanya tentang isu wahabi.
Jawapan Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Isu wahabi ini seperti cerita hantu “Jangan Pandang Belakang”. Tidak ada apa pun di belakang tetapi berasa sahaja seperti ada sesuatu. Ia sebenarnya ibarat satu hantu yang cuba ditakut-takutkan orang dengannya. Perkataan wahabi itu disandarkan pada nama Asy-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi rhm.
Asy-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi rhm ini apa sejarah dan apa ceritanya? Beliau boleh dikatakan sebagai bapa kemerdekaan Saudi di mana hasil kerjasama beliau dengan Su’ud telah berjaya membentuk negara Saudi dengan menjadikan mazhab Hanbali sebagai mazhab utama dalam negara tersebut. Mazhab Hanbali ialah sandaran kepada Imam Ahmad bin Hanbal.
Setelah berjaya membentuk sebuah negara Saudi maka diletakkanlah mazhab Hanbali sebagai mazhab dalam negara Saudi sehingga ke hari ini. Muhammad bin Abdul Wahhab banyak menulis dan tulisan-tulisannya adalah tentang akidah, anti-syirik, anti-sihir, anti-tangkal, dan perkara-perkara yang mencacatkan akidah paling banyak yang ditulis. Antara tulisannya yang terkenal luas tersebar seperti Kitabut Tauhid, dan Ushulus Tsalatsah (Tiga dasar agama) yang dipetik daripada hadis Abdullah ibn Mas’ud RA,
من رضي بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد نبيا وجبت له الجنة                                                                                
Maksudnya: “Barangsiapa yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Nabi, maka layaklah baginya Syurga.”(riwayat Imam Muslim)
Daripada itu beliau mengarang kitab Ushulus Tsalatsah (Tiga Landasan Utama) yang membahaskan bagaimana mengenal Allah, Rasul, dan Islam. Beliau juga menulis Kasyfu Asy-Syubuhat (Pembongkaran Syubhat-syubhat) yang membongkar kristianisasi dan triniti, tentang hak-hak wanita, memfokus juga pada isu-isu dalaman akidah dan sebagainya.
Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab ikon perpaduan di Arab Saudi
Beliau memiliki ramai musuh kerana apabila dibentuk negara Saudi sudah pasti berlaku banyak pertembungan dan peperangan, termasuk juga peperangan di antara ahli mazhab. Beliau bermazhab Hanbali, ada yang lain bermazhab Syafi’i, Hanafi dan Maliki. Di empat penjuru ka’bah mereka berpecah kepada 4 jamaah solat mengikut mazhab masing-masing. Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab melihat semua jemaah ini perlu disatukan dan menetapkan mazhab Hanbali sebagai mazhab rasmi negara. Sama seperti kita di Malaysia bermazhab Syafi’i.
Antara projek utama beliau ialah merobohkan kubur yang dibina lebih tinggi daripada yang asas, bukan membongkar kubur. Asas dalam hadis Nabi SAW, tinggi kubur hanya sejengkal daripada tanah dan diletakkan pada kepala kubur itu seketul batu sahaja sebagai tanda. Tetapi pada zaman itu kubur-kubur dihias. Sedangkan Nabi SAW telah mengutuskan Ali bin Abi Thalib RA dan Ali bin Abi Thalib mengutus Abul Hayyaj Al-Asadi untuk merobohkan mana-mana kubur yang tingginya melebihi sejengkal.
Maka Muhammad bin Abdul Wahab yang memahami hadis ini merobohkan kubur yang lebih tinggi. Orang yang tidak berpuas hati seperti golongan penyembah dan pemuja kubur menuduh beliau sebagai merobohkan kubur, walhal beliau bukan membongkar kubur ikut suka.
Beliau juga menyeru kepada mentaati pemerintah Islam yang sah, kerana itu beliau mempertahankan kerajaan Su’ud. Jadi disebabkan hal ini orang menjadi takut. Mereka menghentam dan mengeluarkan kata-kata yang keji dan dusta terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab adalah juga kerana isu politik, selain daripada isu akidah.
Isu akidah adalah satu isu serius. Khususnya berlaku pertembungan antara golongan sufi dan Muhammad bin Abdul Wahab. Golongan sufi berpegang kuat dengan amalan seperti tahlil, nisfu sya’ban, Maulidurrasul, dan sebagainya. Muhammad bin Abdul Wahab tidak memperjuangkan isu-isu ini kerana penulisan beliau banyak menyentuh isu akidah. Namun pendekatan kerajaan Saudi pada hari ini mengambil langkah membahaskan isu bid’ah, isu hukum beramal dengan hadis lemah.
Memahami definisi bid’ah 
Sekarang kita bertengkar banyak isu-isu kecil berpunca daripada tidak selesainya takrifan apa itu bid’ah dan isu berhukum dengan hadis lemah adakah dibolehkan atau tidak. Jika diselesaikan dua isu ini, banyak isu lain akan selesai. Masalahnya sekarang takrif bid’ah hendak ikut takrif siapa?
Ada yang mengatakan hendak mengambil takrifan Imam Syafi’i. Baik, apa takrifan Imam Syafi’i tentang isu bid’ah?
“Bid’ah itu ada dua, apa yang bertepatan dengan as-sunnah itulah bid’ah yang terpuji, apa yang bercanggah dengan sunnah itulah bid’ah yang tercela.”
Ada yang mengatakan ingin mengambil takrifan bid’ah Imam Asy-Syathibi. Apa kata Imam Asy-Syathibi?
طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه
“Bid’ah itu adalah jalan yang direka cipta di dalam agama, penciptanya menganggap apa yang diciptanya itu sesuai dengan syariat, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
Ada yang berkata mahu mengambil takrifan Imam Al-Izz Abdis Salam yang mengkategorikan bid’ah kepadalima; wajib, sunat, makruh, haram, harus. Ada yang berkata hendak mengambil takrif Imam Nawawi, Ibnu Hajar, As-Suyuthi, dan lain-lain. Selagi isu ini tidak selesai nescaya banyak isu lain yang juga tidak akan selesai.
Walaupun kita berselisih, berbeza pendapat dan pandangan, janganlah sampai membawa kepada perpecahan. Perselisihan hendaklah diluruskan dengan etika dan adab, hormat menghormati antara satu dengan yang lain, barulah boleh hidup dalam harmoni. Perselisihan adalah perkara fitrah, Nabi sudah menyebutnya di dalam hadis, maksudnya:
“Barangsiapa yang hidup selepas kewafatanku akan melihat perselisihan yang banyak.” (riwayat Imam Abu Daud)
Kita berselisih dalam berpakaian, makanan, pilihan kasut, kenderaan, pilihan isteri, suami, begitu juga dalam agama ada juga yang kita berselisih. Ia tidak dapat dielakkan. Cuma hendaklah kita menggunakan kaedah yang betul agar dapat mengelakkan perpecahan, sebab semua perpecahan bermula daripada perselisihan, tetapi bukan semua perselisihan membawa kepada perpecahan.
Mengurus perselisihan agar tidak menjadi perpecahan
Bagaimana kita hendak menguruskan perselisihan antaranya adalah dengan cara hormat menghormati. Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah merobohkan kubur di Pulau Besar. Adakah JAIM wahabi kerana merobohkan kubur? Muhammad bin Abdul Wahab juga membuat perkara yang sama.
JAIS pernah menangkap Syiah. Gerakan Muhammad bin Abdul Wahab, gerakan Saudi yang dikatakan wahabi pada hari ini mereka melawan syiah habis-habisan. Syiah sangat membenci wahabi. Jadi adakah JAIS wahabi? Oleh itu janganlah kita mudah memberi label apabila melihat pihak lain menyamai tindakan di dalam beberapa perkara, melabelkan wahabi dan sebagainya. Ini semua cerita-cerita hantu.
Seperti yang saya katakan tadi, perselisihan adalah perselisihan. Bagaimana kita hendak meluruskan agar tidak membawa kepada perpecahan kerana perpecahan adalah suatu yang dibenci.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan