Halaman

Isnin, Disember 16, 2013

BAGAIMANA imam solat sampai lima rakaat?

IMAM solat bisa saja tersilap.  Jika dalam solat Isyak, imam tersilap dan menamatkan solatnya pada rakaat ketiga, makmum mudah faham dan menambah satu rakaat lagi. Bagaimana jika imam tersilap sehingga menambah rakaat menjadi lima rakaat? Keadaan ini berlaku walaupun tidak selalu. Namun apabila berlaku makmum akan menjadi tiga golongan.


Pertama: Makmum menamatkan solatnya, bermakna keluar daripada berjamaah sebab imam masih dalam solat.

Kedua: Makmum terus duduk dalam tahiyat akhir sementara menunggu imam menghabiskan satu rakaat  dan dua sujud sahwinya.  Apabila imam memberi salam penamat solat, maka makmum golongan ini juga memberi salam menamatkan solatnya.

Ketiga: Makmum terus mengikuti imam membuat rakaat kelima.  Makmum golongan ini juga menuruti imam membuat dua sujud sahwi. Mereka mengikuti seratus peratus pergerakan imam sehingga tamat.

Daripada kes itu jelas tampat wujud tiga pendapat. Apa pun, hukum solat mereka tetap sah.  Sah, sama ada sebagai solat sendiri atau sah dalam solat berjamaah (bersama imam).  Cuma yang bisa dibicarakan ialah manakah yang sepatutnya diambil.

Saya cenderung memilih kaedah ketiga, iaitu mengikuti imam menghabiskan satu rakaatnya yang disangka rakaat keempat (sedangkan itu rakaat kelima).

Solat berjamaah ialah solat mengikuti imam. Dalam satu hadis Baginda Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Maka jika dia bertakbir, maka bertakbirlah kamu. Dan jika dia ruku’, maka ruku’lah kamu. Dan jika dia sujud, maka sujudlah kamu. Dan jika dia solat dengan berdiri, maka solatlah dengan berdiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ada satu lagi sabda Baginda Nabi yang diakhiri dengan, “Jika imam solat berdiri maka solatlah berdiri, dan jika imam solat secara duduk maka solatlah kamu semua secara duduk.” (Riwayat Al-Bukhari).

Dua hadis itu menjelaskan kewajiban makmum mengikuti apa saja pergerakan imam dalam solat.  Misal kata tiba-tiba imam cedera dan dia terpaksa duduk untuk sebagian solatnya (yang sepatutnya ada berdiri), maka makmum wajiblah mengikuti imam dengan duduk juga dalam semua bagian rakaat berkenaan.

Begitu juga bagi golongan yang berpendapat doa qunut dalam solat subuh itu tidak ada dalam sunah. Namun apabila imam membaca doa qunut dengan mengangkat tangan, maka makmum berkenaan wajib juga mengangkat tangan untuk doa qunutnya.  Semua ini tidak lain kerna menuruti hadis ‘makmum wajib menuruti imam’.

Ada satu lagi hadis nabi yang bisa diguna untuk menguatkan hujah bahawa makmum diminta mengikuti imam. Misalnya solat tarawih. Banyak juga orang berpendirian bahawa solat malam atau tarawih (Ramadan) itu maksimumnya 11 rakaat. Namun apabila mereka menjadi makmum kepada imam yang melakukan 23 rakaat, sangat bagus mengikuti imam sampai 23 rakaat.

Baginda Nabi s.a.w. mengatakan (maksudnya): “Siapa yang solat bersama imam sampai ia (imam) selesai, maka ditulis untuknya pahala qiyam satu malam penuh.” (Riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi, Syeikh al-Albani dalam al-Irwa’ hadis no 447 mengatakan bahawa hadis ini sahih).

Mungkin pihak lain mempunyai hujah untuk menolak kaedah ketiga (sentiasa menuruti imam).  Terpulanglah pada pendirian dan pemikiran masing-masing, yang utama ialah kita kena faham bahawa setiap amal ibadah mestilah diketahui dalil atau hujahnya. Pilihlah mana dalil atau hujah yang kuat, iaitu yang paling menghampiri al-Qur’an dan Sunah Nabi s.a.w.


w.a.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan