Halaman

Ahad, April 07, 2013

PRU: Memilih seorang yang paling tidak rosak


SEPATUTNYA, calon-calon yang berlawan mencari sokongan rakyat dalam pilihan raya tidak memburuk-burukkan lawannya.  Itulah yang sepatutnya terjadi atas nama manusia bertamadun.  Pilihan raya dikata sebagai cara paling bertamadun cara memilih ketua yang memerintah, berbanding zaman dahulu yang ditentukan melalui perlawanan hidup mati di gelanggang atau melalui peperangan!  Tetapi, yang dikehendaki atas nama bertamadun tidak berlaku.  Maka hari-hari ada saja cerita buruk dan busuk orang yang terlibat dalam politik: Pemimpin, calon-calon yang akan bertanding, termasuk juga sesiapa yang menjadi penyokong.

Memang tidak ada pembunuhan, yang hilang nyawa sebab mahu menjadi ketua rakyat.  Namun memburuk-burukkan peribadi atau membongkar rahsia lawan tentulah bermaksud membunuh peribadi lawan.  Berapa banyak manusia sanggup mati daripada dimalukan di depan khalayak!  Orang perempuan misalnya, merasa lebih baik mati daripada hidup setelah dirogol. Malunya bukan kepalang! 

Jika budaya mendedahkan keburukan peribadi atau sengaja membuat cerita agar peribadi seseorang tokoh itu hancur, apa istimewanya demokrasi dengan pilihan raya?  Misalnya, dua calon, A dan B berlawan untuk mendapat sokongan majoriti rakyat.  Namun A dan B saling memburuk-burukkan antara satu sama lain. Rahsia peribadi dipertontonkan di depan khalayak.  Masalah peribadi kedua-duanya dijadikan cerita panjang setiap ceramah di depan orang.  Jadi kedua-duanya sudah terdedah segala rahsianya.  Kedua-duanya memang tidak bersih dan begitu buruk akhlaknya.  Maka, sama ada A atau B yang menang, dia bukanlah seorang pemimpin yang berwibawa.  Dia menjadi bahan ketawa di mana-mana, walhal secara undang-undang dia disahkan sebagai pemimpin.

Dari sudut psikologi, orang yang mendedahkan keburukan pihak lain sebenarnya dia tidak mempunyai kelebihan apa-apa.  Dia tidak ada idea, karisma, pengaruh atau kesanggupan bekerja dengan betul.  Dia manusia lekeh tetapi mahu disanjung.  Oleh itu modalnya hanya mencari keburukan lawannya.  Malangnya, rakyat seakan dipaksa memilih orang begitu.

Mengapa dalam ceramah atau tulisan politik yang disukai ialah cerita keburukan dan skandal?  Jawabnya, rakyat memang berfikiran lekeh!  Rakyat hanya suka perkara-perkara mainan, lucu dan lucah.  Rakyat, sekalipun banyak yang sekolah tinggi ada diploma dan ijazah, tetapi dalam mindanya tetap subur perkara-perkara lekeh, remeh, lucu dan lucah.  Itulah yang menyebabkan mereka tidak membaca agenda atau idea murni seseorang yang menawarkan diri sebagai pemimpin.  Mereka seperti biawak yang cepat menghidu bangkai, di situlah mereka berkerumun dan ketawa terbahak-bahak. 

Malangnya, saya sebut lagi malangnya…, ada antara mereka yang menampakkan wajah Islam juga sebagian daripada watak-watak bobrok dalam pilihan raya.  Mereka ada ijazah agama tetapi melayan nafsu lekeh, leceh, remeh, lucu dan lucah penyokong-penyokongnya. Sudahlah, jangan beriman sangat dengan demokrasi, sebaliknya betul-betul kembali kepada ajaran Islam yang asas, al-Quran dan sunah nabi. Boleh melalui jalan demokrasi, tetapi keutamaannya ialah al-Quran dan sunnah.  Tinggalkan mana-mana bab demokrasi yang berlawanan dengan al-Quran dan Sunah nabi s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan