CERITA pihak yang menang dan kalah. Kehidupan memang persaingan malah permusuhan
yang membawa satu pihak menang dan kalah.
Yang menang akan mendapat segala-galanya, dan yang kalah hilang tuntas
semua yang ada. Harga diri pun hilang
sama ada terpaksa atau direlakan.
Kata seorang ahli sosiologi Islam zaman dahlu, Ibnu
Khaldun dalam kitab ‘Mukadimah’: “Orang yang kalah selalu meniru orang yang
menang, baik dalam lambangnya, atau dalam cara berpakaian, atau kebiasaannya
dan sekalian gerak-geri dalam adat-istiadatnya.
Sebabnya ialah kerna jiwa itu selalu percaya bahawa kesempurnaan hanya
ada pada orang yang telah mengalahkannya itu, lalu dia menjadi penurut
peniru. Baik oleh kerna telah sangat
tertanam rasa pemujaan, atau kerna kesalahan berfikir, bahawa keputusan bukanlah
kerna kekalahan yang wajar, melainkan kerna tekanan rasa rendah diri dan yang
menang selalu benar.”
Cuba perhatikan keadaan kita untuk melihat adakah
kita menang atau kalah. Kita membina sekolah kebangsaan untuk membina satu
bangsaa satu negara. Di samping itu dibenarkan juga sekolah jenis kebangsaan
Cina. Jika bangsa Melayu menang, semakin
lama sekolah kebangsaan Cina semakin
hilang pengaruhnya, maka sepatutnya kian beransur ditutup setelah 50
tahun. Namun sebaliknya berlaku, 31396
murid Melayu (tahun 2012) dihantar ke sekolah berkenaan kerna percaya di sana
ada kekuatan yang tidak diperoleh di sekolah kebangsaan sebagai sekolah satu
bangsa satu negara! Siapa yang kalah dan
menang?
Lihat juga orang-orang yang dikatakan berkuasa, berharta
dan kuat ekonominya, bahasa apakah yang menjadi pilhan mereka? Jika mereka menjadi bangga dengan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka menanglah bangsa peribumi yang bahasanya
dipentaskan untuk satu negara. Jika
mereka tidak lagi menggunakan bahasa Melayu, maka kalahlah bangsa peribumi
sebagai teras negara bangsa Malaysia.
Dalam bersiasah juga kita boleh mengesan siapa yang
menang dan kalah. Semua pihak atau
partai mempunyai ideologi, citra dan prinsip tersendiri. Partai yang menang,
segala yang dimiliki akan menjadi ikutan kepada pihak yang dikalahkan. Sebaliknya, pihak yang kalah akan senantiasa
merelakan prinsipnya dihilangkan tanpa apa-apa tukaran yang menguntungkan.
Teringat dan terkesan dengan kata-kata yang dikeluarkan
oleh Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi dalam satu bicara, “Jika orang Melayu yang
beragama Islam ini berjaya dalam ekonomi sebagaimana kejayaan orang Cina, saya
yakin orang bukan Islam (bukan Melayu) akan masuk Islam kerna melihat contoh
kejayaan orang Melayu.”
Bangsa yang kalah perlukan berisan pemimpin yang
percaya bangsa tidak selamanya kalah dan ada putarannya, menang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan