CATATAN ini dibuat pada pagi 12 Rabi’ul Awal, pada saat sebagian muslim
sedang merayakan Maulidur Rasul, sambutan hari lahir Nabi Muhammad s.a.w. Setiap adanya Maulidur Rasul kita disaran
untuk kasih atau cinta Nabi s.a.w. Cara
mengasihi baginda Nabi s.a.w. pula dengan mengamalkan ajaran atau
sunahnya. Maka hari ini saya catat
perihal penyembelihan haiwan atau binatang untuk dimakan. Hari-hari entah berapa puluh ribu haiwan
disembelih untuk dijadikan makanan manusia.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa semua muslim pernah menyaksikan
proses penyembelihan haiwan. Haiwan
berkenaan akan dijerat kakinya, ditarik depan dan belakang untuk merobohkannya,
barulah diikat kedua-dua kakinya.
Setelah itu haiwan berkenaan akan dijagal termasuk ditindih sebelum
lehernya dihiris dengan sebilah parang yang tajam! Itulah teknik ‘melunakkan’ haiwan sebelum
disembelih sama ada di kota besar yang banyak dihuni ahli ilmu atau di desa
yang dikata tempat tinggal orang kurang ilmunya.
Bagus dipaparkan hadis Nabi s.a.w. “Apabila kamu membunuh,
hendaklah baik-baik membunuh itu dan apabila kamu menyembelih, hendaklah
baik-baik menyembelih itu, hendaklah kamu menajamkan pisaunya dan menyenangkan
penyembelihannya.” (HSR Imam Ahmad dan Muslim)
Kematian memang menyakitkan, termasuk penyembelihan haiwan. Oleh itu Islam tetap menjaga adab atau aturan
penyembelihan haiwan sebagai sangat menghormati haiwan yang juga hamba
Allah. Sebab itulah Nabi s.a.w. berpesan
agar melayan haiwan dengan baik sekalipun dalam proses membunuhnya.
Tafsir al-Azhar (1990) merakamkan kisah Prof. Dr Syeikh Abdurrahman
Taj, mantan Rektor Al-Azhar yang melanjutkan pelajarannya ke Sarbone University
di Perancis. Beliau sengaja membuat
lawatan ke atas rumah penyembilihan haiwan di negara yang banyak umat Kristian
itu. Pemerhatiannya ialah: Sebelum
haiwan disembelih (dihiris lehernya), haiwan terlebih dahulu dipingsankan
supaya mudah tukang sembelih melaksanakan tugasnya. Juga untuk mengelak haiwan berkenaan
‘melakukan tindakbalas kasar’ akibat kesakitan nyawa akan terlepas keluar. Dengan melihat cara penyembelihan haiwan
seperti itu, dia pun berani memakan daging yang disaji oleh tukang masak
beragama Kristian di Perancis.
Pengalaman penulis tafsir al-Azhar juga hampir sama. Tahun 1952, beliau ke Amerika Syarikat dan
melawat pusat penyembelihan haiwan di An Arbord. Beliau mencatat, “Di sana
orang menyembelih binatang ternak sebanyak 14,000 ekor dalam satu hari. Yang
kelak dikirim ke kota-kota sekeliling dan setengahnya dikalengkan. Penulis menyaksikan bagaimana cara
menyembelih sapi. Berpuluh ekor sapi
yang akan disembelih dimasukkan dahulu ke dalam satu lori lalu didorongkan
melalui satu ruangan yang ada gas.
Sebelum masuk sapi-sapi itu masih tegak, tetapi setelah keluar dari
ruangan itu, mereka telah tertidur semuanya, tetapi tidak mati.
Satu demi satu dipotong leher sapi itu oleh tukang potong. Geretangnya tidak banyak lagi, darahnya
memancut keluar, lalu digantung dan dikuliti. (Tafsir al-Azhar muka surat 1628)
Antara cara orang Melayu Nusantara yang menjagal haiwan seperti catatan
di atas dengan cara memingsankan terdahulu haiwan cara orang Amerika Kristian,
beliau bertanya: “Mana yang lebih mendekati kehendak Rasulullah?”
Zaman sudah berubah dengan kian banyak orang belajar agama juga orang
yang mendapat pengetahuan sains, tetapi teknik penyembelihan yang difahami
daripada hadis Nabi itu hanya “…menajamkan pisau.”
Pemandangan yang ‘kurang perikemanusiaan’ terhadap haiwan sebelum
disembelih mudah disaksikan pada hari-hari penyembelihan haiwan korban Iduladha
saban tahun. Mengapa orang-orang berilmu
di Jabatan Haiwan dan Jabatan Agama Islam Negeri tidak berusaha berfikir dan
bertindak ke arah kebaikan? Orang Barat yang
dikatakan syirik kepada Allah dan tidak beriman kepada Rasulullah s.a.w. boleh
pula lebih ‘berperikemanusiaan’ berbanding kita yang telah beriman dengan
kerasulan Muhammad s.a.w.
Manakah pemahaman bahawa Islam itu sejahtera dan Nabi itu membawa
rahmat bagi sekalian alam?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan