Halaman

Jumaat, Jun 29, 2012

WAHABI atau ulama sultan yang bencikan Khilafah Turki Usmaniyyah?


Di negara ini istilah ‘wahabi’ telah berjaya dijadikan satu momokan atau memberi gambaran buruk dalam hal agama.  Jika seseorang itu tidak disukai pemahaman agamanya, jalan paling mudah untuk menjauhkan masyarakat kepadanya ialah memberi label atau gelaran ‘dia wahabi’.  Di samping memberi gelaran ‘wahabi’, orang itu akan memberi apa saja maksud mereka yang dilabel wahabi.  Maka tidak hairan jika sudah banyak orang membuat kesimpulan Kejatuhan Khilafah Turki Usmaniyyah adalah disebabkan pemberontakan kaum ‘wahabi’ di semenanjung Hijaz.  Tidak ada sekolah yang mengajarkan sejarah Turki Usmaniyyah secara lengkap menyebabkan apa saja yang dikhabarkan mengenai kerajaan Islam itu diterima bulat-bulat, tambahan pula jika yang mengatakan hal khilafah Turki Usmaniyyah itu orang yang berwatak agama atau ‘lebai’.


Di sekolah anak-anak hanya didedahkan mengenai perkembangan Khilafah Turki Usmaniyyah dan sumbangannya.  Kalaulah anak-anak dapat berfikir apabila mendapati wilayah pemerintahan khilafah Turki itu meliputi utara benua Afrika, Mesir, pesisir timur jazirah Arab, lembangan sungai Diljah dan Furat serta wilayah Balkan di Eropah, nescaya pecahlah pembohongan sesetengah ‘lebai’ bahawa keluasan wilayah itu hancur hanya disebabkan oleh satu puak di padang pasir jazirah Arab atau Hijaz!

Pembohongan bahawa ‘wahabi’ yang meruntuhkan Khilafah Turki Usmaniyyah telah dijawab dengan tuntas dan ilmiah oleh Ibnu Ahmadain al-Barlisi dalam bukunya ‘Kejatuhan KERAJAAN Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisa Ke Atas Peranan Gerakan “Wahhabiyyah” terbitan Jahabesra (2011) Johor Bahru.  Penulis telah mendedahkan peristiwa sebenar pergolakan di Hijaz yang mungkin dijadikan hujah bahawa itulah faktor besar kejatuhan Khilafah Turki Usmaniyyah.  Namun penulis juga telah mendedahkan bukti-bukti ketaatan kaum’wahabi’ (atau Muwahidun) terhadap Sultan Turki di Istanbul.

Suka saya memaparkan hasil kajian penulis yang selama ini disorokkan oleh pembenci ‘wahabi’ demi meracun pemikiran orang yang bersih mencari kebenaran agama.  Misalnya gerakan wakil Sultan Turki di Mesir, Muhammad Ali Pasya jauh lebih dahsyat sebagai pemberontak sebenar terhadap Turki Usmaniyyah.  Kuasa Muhammad Ali Pasya sangat kuat di Mesir sehingga beliau bersama anaknya Ibrahim Pasya menyerang  wilayah Syam pada tahun 1831. Setelah itu Muhammad Ali Pasya meneruskan penaklukannya (dalam wilayah Turki Usmaniyyah) hingga ke Anatolia!  Sultan Mahmud II (1808-1839) terpaksa mengemis bantuan kuasa-kuasa Eropah untuk menyelamatkan kuasanya di Istanbul (muka surat 153).  Mengapa pemberontakan Muhammad Ali Pasya tidak diceritakan kepada orang ramai sebagai satu sebab besar yang menjadikan Khilafah Turki terpaksa sujud kepada kuasa Eropah? Keturunan Muhammad Ali Pasya inilah yang menjadi raja di Mesir sehingga zaman Raja Farouk digilingkan oleh Gamal Abdul Nasser.

Fakta Turki Usmaniyyah memihak kepada Jerman dan Austria dalam Perang Dunia Pertama (1914-1919) memang diajar di sekolah menengah.  Jelas dalam sejarah bahawa persekutuan Turki-Jerman-Austria kalah tersungkur kepada kuasa Eropah yang lain.  Dari situ cukup menjadi bukti bahawa yang mencincang Khilafah Turki Usmaniyah adalah kuasa British dan Perancis, bukannya puak ‘wahabi’ di Hijaz!  Namun orang lebih percaya bicara orang berkopiah walaupun pembohong!

Ibnu Ahmadain al-Barlisi mendedahkan pula pakatan Muhammad Ali Pasya dengan Perancis dalam penaklukan Perancis ke atas Algeria, walhal Algeria adalah wilayah kekuasaan Khilafah Turki Usmaniyyah.  Pelik tapi benar bahawa wizurai Khilafah Turki Usmaniyyah di Mesir iaitu Muhammad Ali Pasya membiarkan saja Perancis menakluk Algeria (muka surat 149).

Penulis juga mendedahkan perkara yang tidak banyak diketahui orang mengenai sikap sullan-sultan Melayu serta para ulama yang bernaung di bawah istana, khasnya ulama-ulama pondok yang menyerang pemikiran dan idea ‘kaum muda’ di Tanah Melayu.  Pada masa Perang Dunia Pertama, British berkuasa penuh di Tanah Melayu.  British juga sedang berperang dengan kerajaan khilafah Turki Usmaniyyah di Eropah. Jadi apakah sikap pemimpin agama di Tanah Melayu, sokong Turki atau British?

Bukan sahaja Sultan Kelantan telah menulis surat kepada alim ulamanya supaya menyebelahi kerajaan British, malah melarang rakyat menunjukkan perasaan cinta kepada Turki Usmaniyyah.  Tidak boleh menolong kerajaan Turki Usmaniyyah juga. Sahibus Samahah Mufti Kelantan sewaktu Perang Dunia Pertama juga memihak kepada British yang menghancurkan Khilafah Turki Usmaniyyah (muka surat 245).  Majalah Pengasuh yang menjadi suara ulama  menyerang ‘kaum muda’ juga mencatat “bahwa berbahagialah negeri Kelantan ini mendapat penaungan di bawah panji-panji Great Britain, dan semenjak ia duduk di bawah bayangan perintahnya terlebih aman dan limpah makmur keadaannya” (muka surat 247).

Sewaktu British berperang dengan Turki Usmaniyyah itulah Sembilan raja-raja Melayu telah menghadiahkan sebuah kapal perang (HMS Malaya) bernilai $22,000.000.00 kepada kerajaan British (muka surat 247).  Untuk apa? Untuk berperang dalam PD1 termasuk memusnahkan Turki Usmaniyyah.  Pemikir Melayu Za’aba pun menyindir perbuatan berkenaan. 

Eloklah buku ini dibaca oleh anak-anak muda di sekolah dan universiti sebagai memberi maklumat yang ilmiah dan adil terhadap ayat-ayat retorik yang tujuannya memesongkan pemikiran umah.  Sila membaca buku ini kepada yang berani menerima maklumat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan