Halaman

Khamis, Jun 21, 2012

ARAB jahiliyah lebih faham tauhid banding kita?


ABU Talib bin Abdul Mutalib, adalah paman Rasulullah yang tidak memeluk Islam sekalipun sebagian besar hidupnya digunakan untuk mendewasakan dan mempertahankan segala aktiviti anak saudaranya.  Kepada kita yang hidup dalam lingkungan semua keluarga muslim mungkin masih tertanya-tanya apakah sebabnya seorang yang sangat mengetahui peribadi Rasulullah tidak mahu menyatakan keimanan sebagaimana orang arab yang lain.


Dalam kehidupan kita, sejahat-jahat seseorang pun jika lahir daripada keluarga muslim dia tidak segan silu mengakui seorang muslim dan berani melafazkan ‘laa ilaaha illallaah’.  Bukan sahaja tahu melafazkan kalimah berkenaan, malah dapat memberikan maksudnya dalam bahasa Melayu ‘Tidak ada Tuhan selain Allah’.

Nabi s.a.w. telah mendakwahkan kepada orang-orang Arab Makkah (maksudnya), “Katakanlah tidak ada ilah (tuhan) yang berhak diibadahi selain Allah, nescaya kalian akan beruntung.” (Riwayat Imam Ahmad) Jawaban daripada mereka seperti yang dirakan dalam al-Quran surah As-Syad ayat 5 (maksudnya), “Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah yang satu sahaja?  Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.”

Nabi s.a.w. juga telah berpesan kepada  Abu Talib saat ajal maut hampir kepada pamannya itu, “Wahai pamanku, katakanlah ‘ Tidak ada ilah yang berhak diibadahi (disembah) selain Allah, satu kalimat yang dengannya aku dapat berhujah (membela) untukmu di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun teman-teman Abu Talib yang duduk di sisi lelaki berpengaruh dalam Bani Hashim itu berkata, “Apakah kamu sudah tidak menyukai lagi agama Abdul Mutalib?”  Maka Abu Talib tidak jadi hendak mengucapkan kalimah yang dapat dijadikan pembelaan di akhirat kelak.

Bagi kita zaman ini, mudah berfikir….’apalah yang memberatkan untuk orang Arab itu melafazkan ‘Laa ilaaha illallaah’ sekalipun pada saat akhir dalam hidup, walhal mereka tahu bahawa yang mengajarkan kalimah itu adalah lelaki yang mereka sendiri amat percayai, seorang yang sentiasa berkata benar.

Kata penulis kitab ‘At-Tanbihat al-Mukhtasar Syarh al-Wajibat al-Mutahatimat al-Ma’rifah ‘alaa kulli muslim wa muslimat’ (Hal-hal yang wajib diketahui setiap muslim), Syeikh Ibrahim bin Asy-Syeikh Syalih bin Ahmad al-Khuraisyi  ‘ketika bahasa Arab fush-ha (baku) sudah tidak banyak diketahui dan tidak diketahui lagi maknanya, orang-orang pun mengucapkan kalimat itu tanpa mengetahui maknanya sehingga mereka akan terjerumus dalam hal yang bertentangan dengannya  sehingga dia sendiri tidak mengetahuinya.’

Hal ini bermakna   orang-orang Arab seperti Abu Talib sangat mengetahui makna ‘Laa ilaaha illalaah’.  Oleh itu mereka tidak sanggup melafazkannya kerna tuntutan seseorang yang melafazkannya bererti mesti membuang segala pengabdian dan tujuan hidup kecuali hanya kepada Allah swt. Yang itu sangat berlawanan dengan pemahaman tauhid jahiliyah mereka.

Nampaknya, orang-orang Arab jahiliyah itu lebih faham tuntutan sebenar kalimat tauhid itu berbanding bangsa Arab dan Melayu zaman sekarang.  Kita paling mudah melafazkan kalimah tauhid itu sehingga tatkala kaget kerna sesuatu hal, akan terlepas ayat ‘Laa ilaaha illallaah’.  Malah para imam sering membimbing orang melafazkan kalimah berkenaan ratusan kali setiap habis solat atau sewaktu kenduri tahlil.

Sekalipun kita mudah melafazkan ratusan kali tahlil itu dalam sehari, namun sikap, peribadi dan tingkah laku kita tidak banyak bedanya dengan kumpulan manusia yang tidak mahu mengakui ‘Tiada ilah yang diibadahi (disembah) melainkan Allah’.  Hal ini sebagai penjelasan bahawa kita tidak begitu memahami maksud yang sepatutnya apabila berikrar bahawa ‘Tiada ilah yang disembah melainkan Allah’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan