Halaman

Rabu, Mei 09, 2012

AHLI Sunah dituduh literalis


Oleh: Fathul Bari Mat Jahaya

LABEL dan gelaran buruk merupakan satu dari senjata ampuh yang digunakan oleh Barat dan medianya kepada ajaran Islam. Justeru saban waktu, saban zaman muncul bermacam-macam sandaran buruk dilekatkan kepada ajaran Islam yang murni. Ada yang disebutkan sebagai militan ekstremis, konservatif, radikal dan sebagainya.  Jika sesebuah tindakan itu dilihat sebagai memihak kepada pihak Barat, maka disandang istilah yang sedikit lunak seperti progresif (Greg Barton), pragmatik, dan sederhana. Namun belum pernah sekalipun kita terdengar media khususnya dari Barat menyebutkan bahawa inilah ajaran Islam yang sebenar!


Selain menjadi senjata yang paling ampuh, label juga adalah sebuah pertahanan yang amat mapan. Selalunya dek kerana sudah kering hujah atau mati akal, maka dengan gegabah mereka memetik sandaran itu dan ini, lalu memberikan label-label buruk kepada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya. Hal ini tidak sahaja berlaku di kalangan media, sebaliknya juga wujud di kalangan segelintir golongan yang menyandang gelar ahli akademik mahupun ilmuwan agama. Mutakhir ini seperti muncul konfrontasi dingin di kalangan agamawan baik yang bergelar ustaz hinggalah kepada mereka yang menyarung jubah doktor dan professor.

Ada yang menuduh si polan sesat, ada yang didakwa Islam liberal, juga ada yang ditohmah membawa ajaran plural (persamaan agama). Salah satu dari tuduhan yang sering di dengungkan kepada golongan yang mahu berpegang teguh hadis Nabi, khususnya dalam bab interaksi dengan pemerintah ialah tuduhan sebagai literalis. Atau dalam istilah klasiknya disebut sebagai zahiri, merujuk kepada golongan yang memahami nas al-Quran dan sunah secara zahir.

Situasi sulit yang timbul ialah apabila ada kelompok-kelompok manusia yang mendahulukan akal dan rasional lebih dari dalil ketika berhujah. Mereka menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai sokongan, manakala akal dan rasional dijadikan dasar.  Ini sikap yang bertentangan dengan akidah ahlus sunnah wal jamaah, yang menjadikan al-Quran dan sunah sebagai dasar, manakala akal dan rasional sebagai sokongan. Kita perlu menyesuaikan rasional dan pemahaman mengikut al-Quran dan sunah, bukan sebaliknya.

Golongan seperti ini seringkali berhujah dengan realiti. Asal sahaja berhujah, dalil mereka realiti, begitulah seterusnya. Walhal mereka sering tertipu dengan realiti.  Tuduhan literalis sangat berkait-rapat dengan teks dan konteks sesuatu dalil. Golongan yang dituduh literalis sering dikatakan hanya memahami teks tanpa mendalami konteksnya. Ironi lagi memeningkan ialah apabila golongan yang menuduh ini menggunakan dalil salah teks apatah lagi konteksnya, sebagai contoh hadis jiran digunakan untuk interaksi dengan pemerintah. Juga menggunakan alasan ijtihad Khalifah Umar al-Khattab untuk tidak melaksanakan perintah al-Quran membahagi harta rampasan perang kepada tentera.

Sekali lagi mereka beralaskan teks dan kontekstual. Walhal golongan ini yang salah konteks. Khalifah Umar al-Khattab bertindak atas kefahamannya menyeluruh terhadap nas Kitab dan sunah. Bahkan beliau termasuk khalifah yang diberi petunjuk khulafa ar-rasyidin. Dan siapakah pula empunya gerangan berasa dirinya setanding Umar al-Faruq, walaupun Umar tidak menyandang gelar professor mahupun visiting scholar!  Dan jangan kita lupa, Umar al-Khattab antara sahabat Nabi yang sangat tegas, teguh berpegang dengan sunah Nabi. Perkataan beliau yang sangat masyhur dirakamkan ketika mencium Hajarul Aswad,
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”
Nah bukankah ucapan dan tindakan ini sangat berbau literalis dan tekstual.

Berdalilkan kontekstual untuk meninggalkan teks

Sebilangan tentera Islam pada Perang Uhud meninggalkan perintah Nabi untuk tetap bertahan atas Bukit Uhud, atas alasan konteksnya sudah berubah; yakni tentera Islam sudah menang. Kita lihat apa yang diriwayatkan oleh sahabat Barra bin Azib yang terdapat dalam Sahih Bukhari disebutkan:  Ketika kami menghadapi kafir Quraisy, mereka melarikan diri, sehingga aku melihat kaum wanita mereka melarikan diri dan meninggalkan bukit sambil mengangkat betis sehingga ternampak gelang-gelang kaki mereka. Dalam keadaan itu, tentera Islam terus mengejar musuh yang lari lintang pukang yang meninggalkan begitu banyak harta perang. Menyaksikan musuh mula meninggalkan medan perang dan tiada lagi ancaman serangan terhadap tentera Islam telah mengubah keadaan.

Pasukan memanah di Bukit Uhud yang diamanahkan oleh Rasulullah supaya tetap di situ sama ada dalam keadaan menang atau kalah, mula lupa arahan itu. Mereka mula bangun dan meninggalkan kedudukan masing-masing sebagai pemanah tepat. Kesan dari meninggalkan perintah Nabi kerana melihat konteksnya sudah berubah, akhirnya Allah memberi peringatan dan pengajaran memberi kekalahan kepada tentera Islam ketika itu.

Demikian halnya juga ada kelompok yang cuba menafikan dalil atau membenamkan kefahaman asal terhadap sesuatu dalil atas alasan mencari kemudahan, kelapangan dan juga mengelakkan dikatakan sebagai sulit, sempit dan jumud.

Syaikh Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan, seorang ulama senior lagi disegani di Tanah Arab ketika mengomentari hadis perselisihan umat menjelaskan, maka tidak boleh bagi kita untuk mengambil pendapat-pendapat yang kita inginkan atau sesuai dengan keinginan dan nafsu kita. Atau mengatakan, “Ini lebih lapang dan lebih mudah bagi manusia, dan sikap lunak adalah diperintahkan.’  Ini adalah perkataan batil, seperti diucapkan oleh para penulis pada waktu sekarang ini dan pengikut hawa nafsu.

Jelas beliau lagi, sekarang semua tulisan bersuara untuk mengambil pendapat-pendapat dan sikap yang lunak terhadap manusia. Jika mereka dikembalikan kepada dalil, mereka akan mengatakan ia sulit, sempit dan jumud.  Perkataan ini adalah kufur; kerana orang yang mengucapkannya berpandangan bahawa mengambil dalil adalah sulit! Orang yang berkata seperti ini adalah kafir. Mengambil dalil adalah suatu kelapangan bukan kesempitan. Dan itu adalah jalan mudah yang diberikan oleh Allah. (lihat: Syarah Manzhumah Ha‘iah fi Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, oleh Syaikh Dr Soleh bin Fauzan al-Fauzan, ms. 263, Pustaka Salafiyah, Jakarta, (2008)

Mereka menjolok ahlul hadith dengan gelaran tersebut hanya kerana ahlul hadith berpegang teguh kepada hadis-hadis Rasulullah.  Mereka mengira bahawa hadis-hadis itu terpisah daripada ilmu dan ilmu itu adalah apa yang dijelmakan oleh syaitan kepadanya berupa hasil-hasil pemikiran mereka yang rosak, was-was daripada dada-dada mereka yang gelap, bisikan-bisikan hati mereka yang kosong daripada kebaikan. Sebenarnya ucapan-ucapan, hujah-hujah, dan syubhat-syubhat mereka semuanya kosong, tidak ilmiah, dan batil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan