Halaman

Ahad, Mac 18, 2012

"PUAK sana sekular, kami tidak..."


BIARLAH saya memberikan makna ‘sekularisme’ sebagaimana yang biasa diberikan orang.  Kata orang, sekularisme ialah pemisahan hidup daripada agama.  Orang yang sekular itu mempunyai agama (Islam), mendirikan solat, berpuasa dan berhari raya tetapi kehidupannya tidak berlandaskan hukum halal-haram agama.  Dikatakan orang sekular berpakaian tidak menutup aurat, melakukan pembohongan, rasuah dan pelbagai dosa kehidupan!

Yang berani menyatakan kehidupan seseorang itu amalan sekularisme hanyalah orang-orang yang yakin dirinya tidak sekular.  Dia yakin tidak memisahkan agama dengan kehidupan, malah biasa mengatakan bahawa Islam adalah satu sistem hidup manusia yang lengkap.  Dia pasti berani menyebut maksud surah al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang beriman, masuklah dalam Islam keseluruhannya…(hingga akhir ayat).” Atau ayat 3 surah al-Ma’idah: “….Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu, dan Aku reda Islam sebagai agamamu…

Orang yang didakwa hidup secara sekular tidak berani membela diri mengatakan dirinya bukanlah berfahaman sekularisme.  Dia juga pasti tidak berani pula membalikkan tuduhan sekularisme kepada penuduh yang asal sebelumnya.  Dia hanya membisu sebab dirinya sedar tidak ada sijil agama untuk bercakap hal agama, malah pakaiannya pun tidak melambangkan elemen agama seperti kopiah, serban, jubah atau tudung labuh warna gelap.

Perkataan ‘sekularisme’ kerap disebut oleh ahli politik di kampung-kampung, tidak di kota.  Orang kampung dilihat oleh ahli-ahli politik sebagai lebih mengamalkan kehidupan beragama berbanding orang kota.  Sejahil-jahil agama perempuan kampung mereka menjaga aurat kepalanya, berbanding perempuan kota yang terpelajar yang mendedahkan rambut berwarna perangnya.  Bab pakaianlah yang sering dijadikan ukuran sama ada seseorang itu sekular atau tidak.  Bukanlah sangat hendak melihat ‘syumul’nya Islam seperti penjagaan kebersihan rumah (halamannya), kesihatan (merokok?), menepati masa, sentiasa rajin, menjaga hak jiran tetangga dan sebagainya.  Mana ada penceramah agama memberikan maksud sekular kepada yang melalaikan anjuran-anjuran berkenaan.

Cuba perhatikan peribadi orang yang mengatakan puak itu dan ini sekular. Perhatikan juga orang yang ‘syok’ apabila dikatakan ‘kita tidak sekular, puak sanalah yang sekular’.  Perhatikan kebersihan rumah mereka termasuk tong sampahnya, kebersihan dalam kenderaan, gelak tawanya serta ketepatan dia terhadap masa.

Moga-moga kita memahami kesyumulan Islam tidak seperti kisah orang-orang buta mengenali gajah.  Seorang memegang badan dikata gajah seperti dinding.  Seorang lagi memegang kaki dikata gajah itu seperti tiang.

1 ulasan: