Halaman

Isnin, Mac 12, 2012

KUASA ampun bunuh oleh Ketua Negara, tidakkah melanggar hak asasi mansusia?


ANTARA pemikiran yang dikatakan sejagat dan sedang melanda sebagian rakyat Malaysia ialah ‘hak asasi manusia’.  Hak-hak seseorang manusia itu pula dikutip sepenuhnya dari dunia Barat (baca juga pemikiran ateis dan sekular), maka selalu apa yang dinamakan hak asasi manusia juga berlawanan dengan seruan Allah dalam al-Quran.


Di Barat memang sudah merebak pemikiran menentang hukuman mati kepada pesalah bunuh, walhal di Baratlah segala contoh hukuman mati dan kekejaman berlaku.  Lihatlah dalam Revolusi Perancis abad ke-18, mereka membuat alat memancung kepala bernama Gilotin atau kekejaman bunuh tentera Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.  Barat jugalah yang mengajar atau menetapkan hukuman bunuh di negara kita dengan cara menggantung pesalah di dalam kamar, bukan di lapangan terbuka.  Barat jugalah yang menentang hukuman mati di tempat terbuka (sebagaimana yang dilakukan di Arab Saudi) atas alasan berlawanan dengan hak asasi manusia.  Hari ini wakil-wakil pemikiran bobrok Barat sudah bersuara agar hukuman mati di negara kita dimansuhkan.

Mereka berfikir pembunuh tidak boleh dibunuh kerana membunuh pembunuh adalah berlawanan dengan hak asasi manusia.  Mereka gagal menjawab soalan: Adakah penjenayah yang membunuh orang adalah haknya sebagai hak asasi manusia?

Hukuman bunuh terhadap pesalah bunuh adalah sebagai balasan kekejaman bunuh penjenayah.  Hukuman ini adalah satu pendidikan juga kepada masyarakat lain, sebab itulah hukuman itu wajib diperhatikan oleh orang ramai sebagai satu pengajaran.  Lihat saja betapa ngerinya pemandangan masyarakat terhadap hukuman pancung kepala di negara Arab Saudi sehingga saksi-saksi pun kaget sampai pengsan.  Apakah tidak ada pendidikan dalam situasi seperti itu?

Masalahnya undang-undang pencegahan jenayah di Malaysia adalah dari Barat, maka hukuman matinya gagal memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.  Apabila sebilangan orang (yang mindanya bobrok) berfikir hukuman gantung sampai mati gagal meredakan jenayah berat, maka anak didiknya di negara ini juga berteriak sama.

Kepada muslim jangan lupa bahawa jenayah bunuh adalah jenayah berat yang Allah pandang sangat keji. Sebab itulah secara dasar si pembunuh wajib dihukum bunuh.  Namun begitu, hak mengampun atau mengurangkan hukuman terhadap pesalah terletak di bahu waris mangsa bunuh.  Tidakkah pejuang hak asasi manusia melihat ini sebagai hak asasi manusia?  Tidakkah mereka melihat hak mengampun pesalah yang selama ini ada pada Yang Dipertuan Agong sebagai melanggar hak asasi manusia?

Maksud surah al-Baqarah ayat 178-179: “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu (melaksanakan) qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh. Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba sahaya dengan hamba sahaya, perempuan dengan perempuan.  Tetapi sesiapa memperoleh maaf daripada saudaranya, hendaklah dia mengikutinya dengan baik, dan membayar diat (tebusan) kepadanya dengan baik.  Yang demikian itu adalah keringanan dan rahmat dari Tuhanmu.  Sesiapa melampaui batas sesudah itu maka dia akan mendapat azab yang pedih.  Dan dalam qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berakal, agar kamu bertakwa.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan