Halaman

Selasa, November 08, 2011

PANAS dan hujan: mati dan hidup semula


SEPERTI biasa, bulan November dan Disember merupakan musim hujan.  Jika hujan berlebihan, maka boleh berlaku banjir.  Dalam al-Quran, Allah menyebut juga hal hujan sebagai bahan berfikir kepada manusia.  Manusia diminta berfikir mengenai hujan yang menyirami bumi dan seterusnya menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.  Yang menarik, sebenarnya Allah mahu manusia berfikir bagaimana Allah membiarkan bumi kering tandus sehingga tumbuhan mati, kemudian Allah menurunkan hujan lalu Dia menumbuhkan pelbagai jenis tumbuhan. Begitulah kuasa Allah mematikan makhluk dan menghidupkan semula sebagaimana asalnya!


Maksud surah al-Haj: 63 “Tidakkah  engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan air (hujan) dari langit, sehingga bumi menjadi hijau? Sungguh, Allah Maha Halus, Maha Mengetahui.”

Maksud surah an-Nahl; 11 “Dengan air (hujan) itu, Dia menumbuhkan untukmu tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan.  Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir.”

Maksud surah al-Haj:5 “….Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah kami turunkan air (hujan) di atasnya, hiduplah bumi itu dan menjadi subur dan menumbuhkan pelbagai jenis pasangan tumbuhan yang indah.”

Antara yang diminta manusia (kita) berfikir ada dalam ayat ke-6 surah al-Haj “Yang demikian itu kerna sesungguhnya Allah, Dialah yang hak (benar), dan sungguh Dialah yang menghidupkan segala yang telah mati, dan sungguh Dia Maha Kuasa atas segala-galanya.”

Banyak manusia beragama percaya adanya kehidupan lain setelah kematian di dunia ini.  Ada yang percaya roh mereka akan menyatu bersama Tuhan.  Namun kepercayaan mereka tidak sama seperti yang Allah maksudkan.  Bahawa semua manusia akan dihidupkan semula seperti asalnya (kehidupan di dunia) tetapi untuk menerima pembalasan daripada apa-apa yang diusahakan selama hidup di dunia ini.  Konsep kebangkitan semula sebagai manusia yang akan menerima pembalasan inilah yang mereka tidak percaya.

Maksud surah asy-syaffat: 16-18 “Apabila kami telah mati,  menjadi tanah dan tulang-tulang, apakah benar kami akan dibangkitkan kembali?  Dan apakah nenek-moyang kami yang terdahulu (akan dibangkitkan pula)?  Katakanlah (wahai Muhammad) ‘Ya, dan kamu akan terhina.”

Demikianlah Allah memberi pengajaran atau hujah untuk manusia berfikir mengenai hujan yang diturunkan ke bumi.  Sepanjang manusia hidup entah berapa kali menyaksikan beberapa wilayah yang suatu musim menjadi kering kontang kemudian menghijau pula.  Cuma yang belum disaksikan ialah manusia yang mati dan daripada tulang-tulang yang hampir hancur itu hidup menjadi manusia biasa seperti dirinya.

Allah mengajak manusia berfikir dengan contoh yang diberikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan