Halaman

Isnin, November 07, 2011

ALLAH yang hebat pun berhujah kepada manusia


APABILA ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. berkenaan ‘baca’ atau iqra, maka banyak ilmuan memberi erti pentingnya ilmu dalam Islam.  Baca itulah permulaan mendalami ilmu, dan Islam adalah agama yang berteraskan ilmu.  Ilmu itu menjadi dalil atau hujah kepada sesuatu pemikiran atau tindakan seseorang.

Banyak kali kita diperdengarkan mengenai kisah penghuni gua atau pemuda-pemuda yang ditidurkan dalam gua oleh Allah selama 309 tahun.  Kisah ini Allah rakamkan sebagai wahyu dalam al-Quran selain nama surah al-Kahfi.  Pada zamannya, pemuda-pemuda ini adalah orang-orang yang beriman kepada Allah. Untuk mengelakkan diri daripada musuh, mereka pergi ke sebuah gua dan Allah tidurkan mereka di sana.  Cerita mereka ke gua menjadi cerita turun-temurun dalam masyarakatnya.  Ini umpama cerita lagenda dan mitos dalam masyarakat orang Melayu yang diwarisi oleh semua generasi seperti cerita Hang Tuah.  Tapi rencana pendek ini bukan hendak menyamakan kisah pemuda al-kahfi dengan Hang Tuah. Cerita pemuda tidur itu sentiasa dalam ingatan penduduk negeri berkenaan sehingga semua pemuda itu dijagakan  daripada tidurnya, supaya masyarakat itu dapat memahami kronologi kisah pemuda al-Kahfi.

Kemudian berlaku debat antara dua pihak dalam masyarakat mengenai wujud atau tidak kebangkitan semula manusia, maknanya adakah selepas mati di dunia ini manusia terus lenyap atau dihidupkan semula.  Takdir Allah, semua pemuda itu terjaga daripada tidurnya yang panjang (tetapi mereka hanya merasa tidur yang sebentar).  Maknanya Allah memberi ilmu atau berhujah bahawa mudah saja Allah menidurkan manusia begitu lama (seumpama mati) dan kemudian membangkitkan semula.

Allah yang menjadikan sekian banyak manusia yang diperintahkan supaya beribadah (taat) atau menjadi hamba-Nya (maksud surah as-Zariat: 56, Dan tidak Aku menjadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku).  Allah tidak membiarkan mereka hidup mencari sendiri bagaimana hendak menjadi hamba Tuhan.  Sebab itulah Allah memilih dalam kalangan mereka Rasul atau Nabi untuk menyampaikan ilmu atau berhujah mengajak manusia beriman kepada Allah (mengabdi atau menjadi hamba-Nya). 

Maksud firmah Allah dalam surah al-Isra:15 “Tidaklah Kami menyiksa (mengazab) sesiapa pun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul.”

Para rasul dan nabi akan mengajarkan akidah dan berhujah terhadap manusia. Setelah itu barulah Allah akan menilai sama ada manusia itu beriman atau menolak hujah.  Dan kepada yang menolak hujah, Allah akan memberi balasan buruk kelak!

Lihat bagaimana Nabi Ibrahim berhujah dengan kaumnya di Babylon (Iraq) mengenai ketuhanan.  Setelah didakwah berkali-kali agar tidak menyembah batu berhala yang tidak boleh berbuat apa-apa, baginda memecahkan pula berhala-berhala kecil itu, dan ditinggalkan satu berhala besar dengan kapak di sisinya.  Ini cara Nabi Ibrahim berhujah untuk memecah pemikiran jumud kaumnya.  Baginda meminta kaumnya bertanya kepada si berhala yang ada kapak itu?  Nah, semua terkesima, mengakui si berhala besar itu hanya batu yang tidak boleh berbuat apa-apa!  Itulah hujah namanya!  Tidak ada seorang pun yang selama ini mempertahankan berhala sebagai Tuhan dapat membidas semula hujah Nabi Ibrahim.  Bukankah itu pengajaran dalam beragama?

Kesimpulannya, Islam ditegakkan dengan kekuatan hujah.  Untuk mempunyai hujah yang kuat, kita diseru mencari ilmu.  Kisah debat Nabi Ibrahim dengan kaumnya menjadi iktibar supaya kita tidak menjadi seperti kaumnya yang kehabisan hujah membela pendirian salahnya, tetapi memilih untuk menghukum orang yang berhujah dengan baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan