Halaman

Jumaat, Ogos 19, 2011

HARI merdeka: kembali kepada sejarah negara


PROKLAMASI kemerdekaan Indonesia kali ke-66 sudah dilangsungkan pada 17 Ogos yang lalu. Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-54 akan dilaksanakan pada 31 Ogos 2011 nanti.  Semua rakyat Malaysia melalui pendidikan sejarahnya, bahawa dalam pembentukan Persekutuan Malaysia tahun 1963 mengalami konrfontasi dengan Indonesia antara tahun 1963-1965.  Pendidikan sejaraah amat perlu untuk semua rakyat mengisi kemerdekaan negara.


Bulan Kemerdekaan di Malaysia dirayakan selama sebulan, bermula 16 Ogos hingga 16 September saban tahun.  Sewaktu usaha pembentukan Malaysia dahulu, sudah diupayakan agar permasyhuran Malaysia dilaksanakan pada 31 Ogos 1963 agar Hari Malaysia menyamai Hari Kemerdekaan.  Namun halangan-halangan yang tidak selesai menyebabkan tanggal 16 september 1963 terpilih sebagai tanggal pemasyhuran pembentukan Persekutuan Malaysia yang meliputi Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.  Rakyat Malaysia juga diajar menerima hakikat Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada 15 Ogos 1965 atas sebab-sebab ancaman perkauman yang mengancam asas pembentukan negara.

Hanya pendidikan sejarah yang membolehkan setiap warganya memahami pengalaman penjajahan dan kemerdekaan.  Hakikatnya juga, semakin lama perjalanan negara semakin tipis pengetahuan dan sensitiviti terhadap persejarahan negara.  Akan lebih banyak orang tidak tahu apa erti penjajahan dan kemerdekaan.  Jika dahulu semua rakyat memahami bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) merupakan pengganas yang mahu memaksakan ideologi komunisme terhadap negara, hari ini kian bertambah pula rakyat yang membuat persepsi lain terhadap komunisme dan PKM.  Malahan, nama Chen Peng selaku kepala PKM yang dahulu sangat dikehendaki hidup atau matinya, ada sebagian generasi muda hari ini yang tidak segan silu meletakkan nama Chen Peng sebagai sebagian pahlawan negara.

Lantaran itu, setelah lebih setengah kurun negara merdeka, jurang pendapat dan pemikiran antara generasi tua dan muda tampak kian ketara.  Generasi tua tampaknya masih terikat dengan sejarah lama, termasuk sejarah yang menyebabkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia sedemikian rupa.  Generasi muda pula yang kebanyakan lahir pada zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang hari ini menikmati arus social dan ekonomi yang jauh berbeda dengan generasi tua.  Situasi generasi muda yang hidup di bawah langit terbuka inilah yang menyebabkan persepsi mengenai sejarah kenegaraan mula berbeda.

Apapun, tidak ada negara yang mahu melupakan sejarah pembentukan negaranya sekalipun maju atau modennya negara itu.  Sejarah itu sebenarnya yang menemukan diri rakyat sesebuah negara.  Tanpa mengetahui sejarahnya, semua bagai tidak ada nilai.  Maka sesiapa yang merasakan indah dan betah tinggal di Malaysia sekalipun mungkin ada perbedaan gaya hidup dengan Eropah dan Amerika, jelaslah bahawa mereka mengetahui sejarah negara.  Sekurang-kurangnya mereka faham apa ertinya “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan