SEORANG kolumnis dalam sebuah portal berita mencatat beberapa pengalaman indah diberi bantuan secara sukarela oleh insan-insan berhati mulia dalam beberapa hari saja. Baginya inilah antara keindahan dalam hidup apabila dirinya yang tidak mengenali insan yang membantunya, tetapi mereka dengan susah payah membantunya! Beliau juga mencadangkan agar membanyakkan cerita-cerita keindahan dalam hidup seperti sikap saling tolong-menolong, berkorban untuk kebaikan orang lain atau gambaran suasana ceria dan bahagia dalam media.
Apa yang dicatat oleh kolumnis itu betul, tapi tidak kepada pengamal media yang mencari jutaan pembaca. Peristiwa ada nilai beritanya tersendiri. Melalui nilai berita ini, pasaran medianya menjulang tinggi. Kepada yang pernah terlibat dalam kewartawanan mesti telah diajar mengenali berita yang boleh menjadi tarikan pembaca. Analoginya mudah: anjing yang menggigit orang bukan berita tetapi orang menggigit anjing adalah berita.
Berita-berita orang memberi senyuman, mengucapkan salam, membantu seseorang di tepi jalan merupakan berita anjing menggigit orang yang dianggap tidak ada pembacanya lagi. Itu berita basi, kata mereka. Oleh itu berita kemalangan ngeri, pembunuhan ngeri, penculikan, pembuangan bayi, pemerkosaan dan lain-lain yang mengejutkan adalah berita, sama seperti orang menggigit anjing.
Dengan itu difahami bahawa kebanyakan berita di muka hadapan akhbar ialah orang menggigit anjing! Kalau ada yang bersifat anjing menggigit orang, berita itu lahir daripada orang penting dalam negara seperti Perdana Menteri.
Itulah prinsip pemberitaan dalam media yang hari-hari kita hadapi. Fitrah manusia sendiri yang mudah bosan dengan perkara-perkara berulang, tambahan jika yang tidak menyentap emosi. Kerana memenuhi parasan emosi khalayak, maka berita-berita yang dipaparkan adalah yang membakar emosi, bukan yang menyantuhi minda dan emosi.
Masalah lain pula muncul apabila saban hari dipaparkan berita-berita yang menyentap emosi, sebagai manusia akan terpengaruh juga dengan pembawaan berita. Kajian-kajian psikologi terhadap perkembangan tingkah laku anak-anak atau remaja sangat dipengaruhi oleh sekitaran termasuk maklumat dariada media. Oleh kerana media sangat mencuri pandangan dan minda anak-anak dan remaja, berita atau maklumat media telah jauh membina peribadi manusia.
Jangan kagetlah jika nilai murni yang ibu bapa ajarkan kepada anak-anak susah diamalkan, kerana perkara itu kurang menyentap emosi dan bagai berita anjing menggigit orang. Hendak membaca al-Quran pun sudah bosan kerana itulah saja susunan ayatnya ya? Hendak memahami kandungan al-Quran pun sudah kerap sangat, begitu sajalah ceritanya. Cerita nabi Musa dengan Fir’aun dalam al-quran tidak pernah berubah, kecuali cara kita mengambil iktibarnya.
Bab-bab agama memang dirasakan membosankan, tidak menyentap perasaan kecuali para guru yang mengajarkan dan menyampaikannya membuat teknik-tekni baru yang menyegarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan