Halaman

Rabu, September 22, 2010

APABILA syaitan menghasut orang menunaikan haji

SEKARANG musim hendak belayar ke tanah suci, mengerjakan umrah dan haji.  Ya, semua sedia maklum bahawa ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh muslim.  Mudahnya, jika salah satu rukun Islam tidak dapat disempurnakan oleh muslim maka belum sempurnalah dirinya sebagai muslim.  Haji hanya wajib kepada yang layak seperti punya wang belanja, sihat tubuh badan dan bebas ancaman rusuhan. Berdasarkan sunah, haji wajib sekali sahaja, Rasulullah tidak pun melaksanakan haji-haji sunat untuk kali kedua dan seterusnya.

Pernah dalam satu slot forum di kaca TV, panel membuat kesimpulan seseorang yang baru menunaikan haji kemudian berniat semula untuk menunaikan haji pada tahun-tahun akan datang kerana merasa tidak puas dengan amalan ibadah hajinya, sebenarnya dia telah dihasut oleh syaitan!  Hah, syaitan mempangaruhi orang ibadah untuk melakukan ibadah haji?


Bukan mudah untuk meyakinkan orang bahawa antara tugas syaitan dan iblis ialah menggalakkan orang menunaikan ibadah haji.  Selama ini ustaz menghuraikan kerja-kerja jahat syaitan menghasut manusia melakukan maksiat, durhaka kepada Allah seperti melakukan zina, meminum arak, berjudi, menderhakai ibu bapa, berpelisiran dan 1001 macam dosa yang pada akalnya mudah difahami. 

Lihat dahulu kenyataan dalam al-Quran mengenai syaitan. Dalam surah Fathir ayat 6 maksudnya: Sungguh syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang bernyala-nyala.

Maksud ayat 120 surah an-Nuur: (Syaitan) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka.

Apabila seseorang yang sudah menunaikan haji, kembali menunaikan haji kali kedua bermakna dia telah merampas hak seorang muslim lain yang belum kesempatan menunaikan haji.  Katakan dalam 27 ribu jamaah haji Malaysia ada satu ribu yang membuat haji kali kedua, bermakna sebanyak satu ribu bakal haji terlepas peluang mengerjakan haji tahun berkenaan. Tentulah syaitan sangat suka jika semakin banyak muslim yang tidak dapat menunaikan haji walaupun sudah mencukupi syaratnya.  Di sanalah peranan syaitan dan iblis memberi gambaran indah kepada orang-orang yang sudah berhaji untuk kembali menunaikan haji kali seterusnya.

Walaupun syaitan kerjanya menyesatkan akidah manusia, mengajak kepada kemurkaan Allah, namun caranya sangat kreatif dan kelihatan positif.  Syaitan tidak akan menghasut pak-pak haji yang sangat menjaga ibadahnya ke kelab malam atau ke sarang pelacur. Pasti gagal.  Oleh itu syaitan akan menyusupkan ideanya melalui jalan ibadah juga.  Syaitan akan mewujudkan keraguan dalam ibadah seseorang, kemudian akan mengulanginya dengan memberi janji-janji keindahan di sisi Allah.  Akhirnya manusia yang sudah diperangkap syaitan hanya menumpukan ibadah untuk dirinya sahaja. Tak puas haji dua tiga kali, pergi umrah saban tahun pula.  Bergembiralah seseorang itu dengan angan-angan yang diberikan oleh syaitan.  Orang ini akhirnya tidak perduli kepada saudara-saudaranya yang wajib ditolong kerana masalah kemiskinan, pelajaran dan keperluan asas hidup.

Kepada muslim lain yang kesempitan wang, miskin, jahil, di kelilingi hutang dan sebagainya syaitan akan menyusup pula agar mereka melakukan kejahatan atas nama membela nasib diri.  Menerima rasuah akan diertikan sebagai ganjaran dan dianggap halal pula atas nama darurat.  Manusia terus jahil tanpa kemahiran dan pemikiran yang singkat, mudah pula terdedah kepada jenayah. Jenayah itu dosa. Dosa itu ke neraka.

Demikianlah perancangan dan rantaian sempurna kerja-kerja syaitan dan iblis untuk memusnahkan manusia, yang matlamat akhirnya ialah untuk membawa manusia ke dalam azab Allah di neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan