Halaman

Isnin, Mac 29, 2010

DR Asri berkata yang pahit

MUDAH untuk menyebut ayat: Katakanlah yang benar sekalipun pahit. Bagi orang politik memang yang digeruni ialah musuh yang mengancam kedudukannya. Bagi orang berjawatan agama juga gerun adanya ancaman sekalipun sudah membentuk tembok kukuh melalui institusi agama. Mereka tahu suara kebenaran, tetapi mahu menyembunyikannya kerana ada hal lain.
Itulah yang berlaku terhadap pemikiran Dr Mohd Asri (foto), mantan Mufti Perlis. Memang telah diduga bahawa kolumnya di Mingguan Malaysia tidak akan bertahan lama, sekalipun beliau tokoh popular yang mampu menaikkan jualan akhbar berkenaan. Baru sekali tulisannya dalam web Malaysiakini, satu kritikan pedih kepada penguasa agama.
Mahu dikatakan apa? Inilah pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan. Tajuk KUASA POLITIK DAN KUASA AGAMA ternyata sangat pahit ditelan oleh pihak yang berkepentingan. Tulisan sepenuhnya ada dalam web Dr Asri, namun diturunkan bahagian akhir untuk renungan bersama.
"Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!
Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!
Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!
Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ’sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..
Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…"

Rabu, Mac 24, 2010

APABILA TG Nik Aziz dituduh sesat

DALAM media utama MM Tuan Guru Haji Abdullah Sa’amah yang juga ulama pondok di Kelantan mendabrak Tuan Guru Menteri Besar Haji Nik Abdul Aziz. Kata Tok Guru pondok ini Tuan Guru Nik Aziz sesat kerana telah menyatakan pelajaran tauhid Sifat 20 (yang popular dalam kalangan pengajian pondok Nusantara) sebagai rekaan ahli falsafah Yunani (juga disebut Greek purba). Oleh kerana yang menyerang Tuan Guru Nik Aziz ada title ulama dan guru pondok, tambahan pula orang Melayu seperti sudah sebati dengan Sifat 20 itu, maka mudah saja semburan Tok Guru pondok sebagai betul. Oleh itu Tuan Guru Nik Aziz dilihat salah dan sesat! Seorang blogger sedang mengandaikan Pas sedang dipimpin oleh manusia sesat (ditambah ‘lagi menyesatkan’).
Kebanyakan orang kita tidak suka belajar sejarah. Daripada tidak suka mengetahui sejarah negara dan daerahnya, sampailah sejarah Islam. Sejarah kemasukan Islam ke Nusantara ini pun tidak diketahui, sehingga apabila dikatakan golongan Syiah yang terdahulu menyebarkan pengaruhnya, terus marah-marah. Itu saja!
Sifat 20 itu muncul setelah lebih 200 tahun sejak kewafatan Rasulullah. Lalu, muslim yang hidup sebelum sempurnanya Sifat 20 ini hendak digolongkan sebagai apa? Untuk tahu Sifat 20 ini pun wajib menelusuri sejarahnya. Mulakanlah dengan kerajaan Umayyah dan kemudian Abasiyyah. Selain itu pelajarilah kemunculan aliran-aliran pemikiran seperti Khawarij, Syiah, Muktazilah khasnya pada zaman Abasiyyah yang berpusat di Baghdad. Kehebatan kerajaan Abasiyyah ini kerana kecemerlangan keilmuan zaman itu.
Tidak lengkap untuk mengetahui kehebatan itu jika tidak tahu peranan Baitul Hikmah sebagai pusat keilmuan di Baghdad. Kerana peranan Baitul Hikmahlah, maka banyak buku asing khasnya dari Yunani purba seperti karya Socrates, Plato dan Aristotle diterjemah dalam bahasa Arab. Ilmuan Islam termasuk yang status mualaf dan bukan Islam ada dalam debat di Baghdad. Pengaruh falsafah Yunani banyak merebak dan menjadi sebagian landas percakapan ilmuan Islam. Pengaruh itu sudah masuk dalam pemikiran ilmuan Islam. Maka muncullah aliran Muktazilah, yang pemikirannya banyak dipengaruhi falsafah Yunani. Antara yang masak dengan Muktazilah ialah Imam Abul Hassan al-Asya’ari (837-935M) sekalipun setelah 40 tahun dalam Muktazilah akhirnya keluar dari alam itu. Sejak keluar dari alam Muktazilah itulah Imam Abul Hassan memperkenalkan 13 Sifat pada Allah (belum 20 sifat lagi). 13 Sifat ini pun sangat terpengaruh dengan metod falsafah Yunani dalam menjelaskan sifat-sifat Allah. Itulah agaknya Tuan Guru Nik Aziz (seorang pencinta sunah/salaf) mengatakan Sifat 20 ini jelmaan falsafah Yunani!
Pada Tuan Guru Nik Aziz, umat Islam perlu kembali mencontohi sunah nabi dalam berakidah dan beribadah. Oleh kerana metod pengajaran akidah pada zaman nabi itu mudah difahami (kerana bebas daripada pengaruh falsafah), maka agaknya itulah beliau menyerang pengajaran akidah yang berbau Yunani! Yang penting ialah keaslian Islam itu terpelihara, sekalipun akhirna beliau berhadapan dengan guru-guru pondok di Kelantan yang menyerang pemikiran sunahnya. Keaslian Islam itulah yang mudah difahami oleh manusia kerana yang asal itu masih suci bersih, tepat dalam peliharaan Allah.
Cuba bandingkan huraian Sifat 20 dengan kaedah sunah iaitu tauhid rububiyah, uluhiyah dan asma wa sifat dalam mempelajari ilmu tauhid. Manakah yang mudah difahami dan menepati fitrah manusia?

Sabtu, Mac 20, 2010

BACALAH: Realiti Gerakan Sufisme

WALAUPUN buku Realiti Gerakan Sufisme kecil dan hanya 76 muka surat, tetapi penulisnya Ridhuan Abdullah berjaya mendedahkan perkara-perkara yang selama ini menjadi rahsia kepada umum. Buku ini diterbitkan oleh Karya Bestari Sdn Bhd, tahun 2007. Aliran sufi nampaknya indah kerana satu usaha untuk mendekatkan diri seseorang hamba kepada Tuhannya, tetapi perbuatan itu banyak tersasar daripada kehendak wahyu Allah dan sunah Rasulullah.
Asalnya gerakan sufi ini hanya bersifat individu, namun kerana inovasi dan perkembangan pemikiran, berubah menjadi gerakan terancang. Wujudlah aliran-aliran tarekat yang dipelopori oleh pemuka-pemuka tertentu dalam aliran sufi atau tasauf. Syeikh-syeikh mereka menjadi idola sehingga dipuja seperti perhambaan kepada Allah.
Dalam muka surat 36-37 satu catatan daripada kitab Bulghat al Murid, “Serahkan segala urusan kepadanya dan jangan persoalkannya, walaupun dia dating dengan perkara-perkara berdosa, jika itu memungkinkan kamu, datanglah kepadanya seolah-olah kamu adalah mayat. Sesungguhnya dialah yang membersihkanmu daripada dosa kekotoran, jangan kamu pijakkan kakimu di atas tikarnya atau tidur di atas bantalnya.”
Dalam meyentuh hal sufi dan tasauf, tidak dapat melupakan nama Ibn ‘Arabi yang membawa fahaman wahdatul wujud. Fahaman ini menyatakan Allah wujud dalam setiap benda. Halaman 51 penulis mencatatkan, “Kesimpulannya, menurut pandangan Ibn ‘Arabi bahawa setiap benda adalah Allah. Malah, secara terang-terangan dia mengakui Allah itu adalah Abu Said al-Kharraz. Abu Said merupakan seorang sufi di Baghdad yang mati pada tahun 277H.”

Jumaat, Mac 19, 2010

TINGGALKAN sunah, cari adat

SELALU apabila menyebut masyarakat yang mengutamakan adat berbanding hukum Allah, tertuding jari terhadap orang Minangkabau. Namun pepatah, ‘biar mati anak jangan mati adat’ bukan timbul daripada masyarakat Minangkabau sahaja, malah untuk seluruh Melayu. Tanggapan adat Perpatih Minangkabau membelakangka agama kerana adat itu memihak kepada kaum perempuan sedangkan syarak memihak kepada kaum lelaki dalam pembahagian harta pusaka. Itulah yang menjadi teras tuduhan adat Perpatih menyalahi syarak!
Sebagian orang pula tidak faham manakah yang agama (hukum syarak) dengan adat (budaya bangsa). Oleh kerana dalam pentadbiran agama itu disekalikan dengan adat resam Melayu, maka banyak pula yang menganggap adat mengingat roh itu sebagai agama. Akhirnya jamuan makan kerana kematian yang asalnya adat Melayu difahami sebagai urusan agama. Maka sesiapa yang dikatakan orang agama, alim agama, ustaz, pak kiyai, lebai, anak-anak pusat tahfiz dikira wajib tahu menjadi ketua adat berkenduri arwah ini.
Walaupun mereka yakin kenduri arwah ini tidak berdasarkan sunah nabi, tetapi mereka berhujah inilah amalan turun-temurun orang Islam di Nusantara. Oleh kerana amalan adat ini sudah kelihatan seperti urusan agama, disahkan pula dari sudut pentadbiran agama, orang alim agama Melayu menjadi penggiatnya maka semakin tebal dan kebal bahawa adat pemujaan roh dalam tradisi Melayu dianggap amalan agama Islam. Hal ini seolah-olahnya ada wahyu Allah dan Nabi Muhammad serta para sahabatnya dahulu mengamalkan kenduri arwah dan tahlilan. Sungguh, ini satu kefahaman yang salah, dusta!
Adat ini lebih dahsyat diutamakan berbanding sunah nabi yang sahih. Ada satu kampung yang guru agamanya memberi fatwa supaya tidak perlu azan Isyak lagi kerana mengejar waktu untuk ke majlis kenduri arwah. Azan merupakan syariat Islam, seruan memanggil orang solat. Malah, azan juga disunatkan kepada orang yang solat sendirian. Hadis riwayat Imam Ahmad: maksud sabda Rasulullah, ‘Tuhanmu yang maha mulia suka kepada gembala kambing di gunung yang berazan sebelum solat, lalu dia solat’.
Selain itu, biasa pula orang mendatangi rumah orang mati selama tujuh malam berturut-turut dengan jumlah yang besar, sedangkan kebanyakan mereka tidak pun solat Isyak berjamaah di masjid. Apabila imam tiba dari masjid, kebanyakan mereka sudah berkumpul di rumah itu. Hal ini satu lagi bukti adat lebih diutamakan berbanding sunah besar iaitu solat berjamaah!
Maka janganlah terlalu mudah menuduh orang Minangkabau lebih mengutamakan adat berbanding agama Allah, malah di mana-mana juga orang Melayu dengan mudah saja mengutamakan adat resam berbanding sunah nabi. Bila agaknya masyarakat Melayu kita akan jujur untuk mematuhi seruan setiap sambutan Maulidur rasul: Mari kita ikuti sunah Rasulullah, Islam yang sebenar!

Ahad, Mac 14, 2010

TANGAN yang mengotori akidah

ZAMAN di Makkah, sewaktu Rasulullah berdakwah selama 13 tahun adalah saat-saat getir masyarakat muslim mempertahankan akidah mereka. Rasulullah mengajarkan akidah yang cukup mudah dan mudah pula difahami oleh masyarakat. Dalam satu sabda baginda (maksudnya): Iman itu mempunyai 60 lebih cabangnya. Cabang tertinggi adalah ucapan ‘Laa ilaaha illallaah’ (tiada Tuhan melainkan Allah). Dan cabang paling rendah ialah membuang kotoran di tengah jalan. Hadis riwayat Muslim.

Oleh kerana orang-orang Arab Quraisy faham apa erti kalimah tauhid itu: tiada Tuhan melainkan Allah, maka kebanyakan mereka menolaknya. Pelik, mereka faham tetapi menolak tauhid yang benar! Masyarakat mereka zaman itu polos, mengetahui bahawa yang menjadikan alam ini adalah Allah. Maka mereka pun biasa menyebut kalimah Allah, sehingga Gabenor Makkah Abdul Mutalib menamakan salah seorang puteranya sebagai Abdullah, ertinya hamba Allah. Saat kota Makkah akan digempur oleh Abrahah dari Yaman, dan Gabenor itu diejek oleh Abrahah, jawab Abdul Mutalib, “unta-unta ini aku yang punya dan akulah yang menjaganya. Kaabah itu Allah yang punya, maka Allah yang menjaganya.” Namun rekod sejarah, Abdul Mutalib tidak menjadi pengikut cucunya Muhammad Rasulullah. Dan banyak orang Arab sepanjang 13 tahun dakwah Rasulullah di Makkah, mereka menolak ajakan tauhid malah mencari jalan menghapuskan Islam dan Rasulullah.
Mengapa jadi begitu? Allah menjawab hal ini dalam al-Quran, surah al-An’am ayat 82, “Orang-orang yang beriman tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” Maka dapatlah jawabannya bahawa masyarakat Arab Makkah zaman nabi tidak bersedia menerima Allah sebagai satu-satunya Tuhan. Mereka mahu menerima Allah sebagai Tuhan, tetapi masih mahu percaya batu-batu berhala, dukun-dukun, ahli-ahli ramal, tingkah laku haiwan dan macam-macam lagi sebagai mempunyai kuasa-kuasa yang membawa baik dan buruk!
Masyarakat Melayu kita apa? Tidak ada jaminan Allah bahawa yang bangsanya Melayu maka terjamin akidah dan iman kepada Allah. Sekalipun di atas kertas Perlembagaan Persekutuan, Perkara 160 menyatakan yang berbangsa Melayu itu orang Islam, akidah dan iman itu bukan dijamin oleh undang-undang. Dalam dunia nyata, pendustaan terhadap kalimah tauhid: Tiada Tuhan melainkan Allah berlaku dalam aman dan tawa-tawa. Pulang dari masjid, dan mendapati barang berharganya hilang dengan segera ada yang ke rumah dukun untuk mendapatkan petunjuk di manakah barang kasayanganya itu. Mereka percaya dan berkeliaranlah dengan klu-klu sang dukun mencari barang itu. Apa hasilnya? Tauhidnya gugur (oh, dia tidak tahu) dan barang tidak diketemukan.
Satu keadaan patuh hak Allah menentukan waktu haji dan solat fardu, pada waktu yang lain membikin tambahan amal ibadah tetapi dikatakan pula darpada Allah dan rasulnya. Lihatlah Allah menyatakan segala amal pahala dan dosa adalah hak sendiri-sendiri (surah Yaasin:54), "Maka pada hari itu (kiamat), tidak seorangpun akan dirugikan, dan kamu tidak akan dibalas, melainkan apa yang kamu sendiri telah kerjakan.” Dalam dunia Melayu ada yang berani membikin cara-cara ibadah yang katanya pahala itu dapat dipindahkan kepada orang-orang mati, walhal wahyu Allah jelas ‘kita tidak dibalas melainkan daripada kerja-kerja sendiri’.
Sungguh, tanpa disedari membikin syariat agama sendiri merupakan pengambilan hak Allah. Surah al-Baqarah: 79, sekalipun ayat itu ditujukan kepada Ahli Kitab tetapi jelas jika kita kaum muslim berperangai seperti mereka, ayat itu tertuju kepada kita juga. “Maka kecelakaan yang besar bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakan: Ini daripada Allah (dengan maksud untuk memperoleh keuntungan). Maka celaka besarlah bagi mereka akibat daripada yang ditulis tangannya dan celaka besarlah daripada apa yang mereka kerjakan.”

Khamis, Mac 04, 2010

APA lagi untuk Kartika Sari?

SAYA mengikuti perjalanan kes Kartika Sari yang dijatuhi hukuman sebat enam kali kerana melanggar undang-undang syariah di negeri Pahang. Sampai hari ini, setelah melalui rentetan peristiwa sehingga menjadikan dirinya terkenal (lebih terkenal berbanding sewaktu menjadi model), hasrat jujur beliau untuk menerima hukuman ini masih dalam imaginasi. Semua ini mendedahkan satu keadaan yang pelaksanaan undang-undang yang ‘kacau’.
Pada saat isu Kartika Sari belum habis, muncul khabar tiga wanita di Wilayah Persekutuan disebat kerana kesalahan zina. Boleh pun disebat dan tak pecah badan, tak pengsan! Setelah kes sebat di KL ini tampak pelaksana undang-undang syariah di Pahang jadi gabra. Detik Kartika Sari yang terakhir seperti membawa mesej hukuman yang diredai oleh wanita ini tidak dilaksanakan.
Jika hukuman ini tidak dikenakan kepada Kartika sedangkan beliau tidak pun memohon rayuan, maka tampak seperti ada masalah besar untuk melaksanakan undang-undang yang sudah sah di Pahang. Orang bertanya: Apa hal?
Jika selepas ini ada pesalah syariah di Pahang yang betul-betul disebat sedangkan Kartika tidak disebat, pasti mengundang pertanyaan: Apa hal?

Berikut rentetan daripada media yang sempat saya tempelkan di sini.

Kartika Sari, 33, ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan pada 20 Julai tahun lalu. (Berita Harian Online)
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah memberi kebenaran kepada Jabatan Penjara untuk menjalankan hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno. (mstar)
Hukuman ini ditangguhkan hingga selepas hari raya aidil Fitri pada 20 September 2009. Kementerian Dalam Negeri Malaysia menyatakan tidak ada tukang sebat di Penjara Kajang. Oleh itu Kartika terpaksa dihantar pulang semula. Kemudian laporan menyatakan 'tukang sebat' telah disediakan untuk melaksanakan hukuman sebat tersebut. (wikepedia)
IPOH 17 Feb. - Bekas model sambilan yang didapati bersalah kerana meminum arak, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, pelik mendapat tahu tiga wanita telah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu kerana melakukan kesalahan syariah tersebut. (mstar)
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah Sultan Pahang sebagai Ketua Agama Islam negeri mempunyai kuasa memberi pengampunan mengikut Seksyen 133 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002. (Berita Harian Online)
"Mengikut enakmen berkenaan, Tuanku Sultan (Pahang) mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan walaupun Kartika tidak minta diampunkan (atau membuat rayuan). (Berita Harian Online)

Isnin, Mac 01, 2010

BAGAIMANA penyembah berhala percaya Allah?

ADA orang yang dikira berpendidikan dalam agama mencerca dan menghina pihak yang mengatakan orang musyrik sebenarnya percayakan Allah. Oleh kerana yang melafaz ayat ‘na’uzubillah min zalik’ ialah orang berkupiah, maka masyarakat awam pun mudah percayakan bantahan dan cercaannya. Secara kasarnya, kelihatan orang yang menyembah berhala di kuil dan tokong itu tidak mengerti apa-apa ilmu tauhid. Daripada pendapat ini timbul tanggapan kuat bahawa kaum musyrik ini terlalu sukar hendak menerima tauhid iaitu mengesakan Allah. Isunya ialah: adakah orang-orang musyrik berkenaan memang tidak ada kepercayaan terhadap Allah sebagai Tuhan?


Adakah sifat kemanusiaan kita sebagai muslim sangat berbeda dengan apa yang dimiliki oleh mereka yang bukan muslim? Adakah fitrah beragama yang ada pada muslim, tidak ada pada yang bukan muslim? Adakah naluri mencari dan mengakui kewujudan Tuhan itu hanya ada pada kaum muslim dan tidak ada pada yang bukan muslim? Bagaimanakah sejarah manusia sebanyak enam billion ini mempunyai kepercayaan beragama, kemudian daripadanya ada 1.5 bilion menerima tauhid mengesakan Allah dan menerima Muhammad sebagai Rasulullah.

Untuk menjawab, adakah manusia musyrik yang menyembah berhala ini percayakan Allah, baiklah disorot daripada sumber yang sahih. Bahawa yang memberitahu penyembah berhala itu percayakan Allah sebagai Tuhan ada dalam al-Quran surah az-Zukhruf (maksudnya): Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka: ‘Siapakah yang menciptakan mereka’ nescaya mereka menjawab, ‘Allah’.

Perhatikan juga ayat 84-89 surah al-Mukminun ini: Katakanlah: "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak ingat?" Katakanlah: "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?"

Bahasa Arab adalah bahasa dalam al-Quran, dan kalimah Allah digunakan oleh Allah untuk menjelaskan kepercayaan kaum penyembah berhala itu. Mungkin saja pada zaman ini kaum penyembah berhala tidak menggunakan kalimah ‘Allah’ terhadap Tuhan yang diakui sebagai pencipta dan penguasa, namun ciri-ciri kepercayaan ini tetap sama. Manusia sejak zaman Nabi Adam, Qabil dan Habil sehingga zaman Obama dan Osama ini tetap mempunyai fitrah yang sama.

Sekalipun mereka menyembah berhala namun kepercayaan hakikinya adalah satu Tuhan yang berkuasa dan pencipta (The great creator). Inilah yang diistilahkan sebagai Tauhid Rububiyah untuk memudahkan pemelajaran tauhid. Persamaan tauhid ini untuk semua manusia setiap zaman sebenarnya suatu yang memudahkan tugas para pendakwah untuk menyeru tauhid mengesakan Allah. Sekiranya pendakwah sendiri sudah tidak mempercayai bahawa ada persamaan Tauhid Rububiyah ini, persepsi yang kuat ialah kaum musyrik sangat sukar diberi kefahaman mengenai keesaan Tuhan. Maka mereka diasingkan daripada hala tuju dakwah.

Dasar inilah yang diberi kefahaman oleh Allah kepada semua nabi dalam dakwah mereka. Para nabi menyeru tauhid mengesakan Allah dan menyembah (mengabdi) kepada-Nya. Hal ini terakam dalam surah al-Anbia ayat 25: Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu,melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawasanya tidak ada Tuhan selain Aku (Allah), maka sembahlah sekalian akan Aku”.

Perkara yang menyebabkan perbedaan antara muslim dengan bukan muslim ialah syirik dan cara penyembahan kepada Allah. Dalam bertauhid, muslim diseru mengakui Tiada Tuhan Melainkan Allah, membebaskan diri daripada percaya benda-benda lain mempunyai unsur ketuhanan. Kemudian cara beribadah kepada Allah bagi muslim benar-benar berdasarkan sunah Nabi Muhammad iaitu Rasulullah. Semua ini untuk mengelak diri melakukan bid’ah dalam ibadah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum musyrik, penganut Yahudi dan Nasrani.