Halaman

Isnin, Mac 01, 2010

BAGAIMANA penyembah berhala percaya Allah?

ADA orang yang dikira berpendidikan dalam agama mencerca dan menghina pihak yang mengatakan orang musyrik sebenarnya percayakan Allah. Oleh kerana yang melafaz ayat ‘na’uzubillah min zalik’ ialah orang berkupiah, maka masyarakat awam pun mudah percayakan bantahan dan cercaannya. Secara kasarnya, kelihatan orang yang menyembah berhala di kuil dan tokong itu tidak mengerti apa-apa ilmu tauhid. Daripada pendapat ini timbul tanggapan kuat bahawa kaum musyrik ini terlalu sukar hendak menerima tauhid iaitu mengesakan Allah. Isunya ialah: adakah orang-orang musyrik berkenaan memang tidak ada kepercayaan terhadap Allah sebagai Tuhan?


Adakah sifat kemanusiaan kita sebagai muslim sangat berbeda dengan apa yang dimiliki oleh mereka yang bukan muslim? Adakah fitrah beragama yang ada pada muslim, tidak ada pada yang bukan muslim? Adakah naluri mencari dan mengakui kewujudan Tuhan itu hanya ada pada kaum muslim dan tidak ada pada yang bukan muslim? Bagaimanakah sejarah manusia sebanyak enam billion ini mempunyai kepercayaan beragama, kemudian daripadanya ada 1.5 bilion menerima tauhid mengesakan Allah dan menerima Muhammad sebagai Rasulullah.

Untuk menjawab, adakah manusia musyrik yang menyembah berhala ini percayakan Allah, baiklah disorot daripada sumber yang sahih. Bahawa yang memberitahu penyembah berhala itu percayakan Allah sebagai Tuhan ada dalam al-Quran surah az-Zukhruf (maksudnya): Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka: ‘Siapakah yang menciptakan mereka’ nescaya mereka menjawab, ‘Allah’.

Perhatikan juga ayat 84-89 surah al-Mukminun ini: Katakanlah: "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak ingat?" Katakanlah: "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?"

Bahasa Arab adalah bahasa dalam al-Quran, dan kalimah Allah digunakan oleh Allah untuk menjelaskan kepercayaan kaum penyembah berhala itu. Mungkin saja pada zaman ini kaum penyembah berhala tidak menggunakan kalimah ‘Allah’ terhadap Tuhan yang diakui sebagai pencipta dan penguasa, namun ciri-ciri kepercayaan ini tetap sama. Manusia sejak zaman Nabi Adam, Qabil dan Habil sehingga zaman Obama dan Osama ini tetap mempunyai fitrah yang sama.

Sekalipun mereka menyembah berhala namun kepercayaan hakikinya adalah satu Tuhan yang berkuasa dan pencipta (The great creator). Inilah yang diistilahkan sebagai Tauhid Rububiyah untuk memudahkan pemelajaran tauhid. Persamaan tauhid ini untuk semua manusia setiap zaman sebenarnya suatu yang memudahkan tugas para pendakwah untuk menyeru tauhid mengesakan Allah. Sekiranya pendakwah sendiri sudah tidak mempercayai bahawa ada persamaan Tauhid Rububiyah ini, persepsi yang kuat ialah kaum musyrik sangat sukar diberi kefahaman mengenai keesaan Tuhan. Maka mereka diasingkan daripada hala tuju dakwah.

Dasar inilah yang diberi kefahaman oleh Allah kepada semua nabi dalam dakwah mereka. Para nabi menyeru tauhid mengesakan Allah dan menyembah (mengabdi) kepada-Nya. Hal ini terakam dalam surah al-Anbia ayat 25: Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu,melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawasanya tidak ada Tuhan selain Aku (Allah), maka sembahlah sekalian akan Aku”.

Perkara yang menyebabkan perbedaan antara muslim dengan bukan muslim ialah syirik dan cara penyembahan kepada Allah. Dalam bertauhid, muslim diseru mengakui Tiada Tuhan Melainkan Allah, membebaskan diri daripada percaya benda-benda lain mempunyai unsur ketuhanan. Kemudian cara beribadah kepada Allah bagi muslim benar-benar berdasarkan sunah Nabi Muhammad iaitu Rasulullah. Semua ini untuk mengelak diri melakukan bid’ah dalam ibadah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum musyrik, penganut Yahudi dan Nasrani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan