Halaman

Selasa, Februari 09, 2010

YANG kulihat Umno dan Pas

APABILA Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (Pas) begitu marah kepada Umno, para pemimpin Umno mengatakan sepatutnya Pas dan Umno berdialog untuk kepentingan umah. Tidak kurang pemimpin Umno yang menyatakan kesediaan bertemu dengan pemimpin Pas untuk membincang masalah umah. Sekarang, sewaktu MB Kelantan itu menyuarakan hasrat barunya untuk berdamai dan berunding dengan Umno demi kepentingan umah, para pemimpin Umno pula mencurigai niat itu, sebagai tanda tidak sudi hendak bertemu!
Rakyat sebagai pengundi sebenarnya tidak ada apa-apa kepentingan kuasa. Apa yang rakyat marhean mahukan ialah kebajikan, hak-hak ekonomi dan sosial mereka terjaga sepanjang kehidupan. Rakyat yang pemikirannya terlalu polos, tidak perduli apa-apa niat baik dan buruk para pemimpin politik. Oleh itu, rakyat sedang memandang orang-orang politik ini sebagai pelakon-pelakon drama. Sama seperti cerita kartun Tom dan Jerry!
Apa masalahnya Pas dan Umno hendak duduk semeja dari berbasi-basi saja kepada soal kepentingan umah? Berbeda sangatkan antara Umno dan Pas sehingga tidak ada ruang untuk bertemu. Malah jika salah satu pihak mahu bertemu, satu pihak lain akan buat jual mahal. Politik ‘jual mahal’ ini telah bersilih-ganti, dan patutkan ini menjadi satu cara berpolitik orang Melayu Islam.
Manusia-manusia politik ini bukanlah majoriti dalam masyarakat, mereka minoriti. Namun kerana kedudukan ahli politik lebih tinggi dalam hieraki masyarakat, menyebabkan rakyat majoriti, yang tidak ada kepentingan perebutan kuasa telah diusik emosi dan pemikirannya sepanjang masa. Dalam banyak perkara berkaitan dengan politik antara Pas dan Umno, tindakan pemimpin kedua-dua parti bukanlah suara sebenar masyarakat Melayu. Masyarakat dipaksa menerima hujahan politik, sedangkan masyarakat bosan dengan pertikaian politik sepanjang masa.
Sama ada Umno atau Pas, kedua-duanya bebas mendakwa sebagai parti yang membawa Islam dalam kehidupan masyarakat. Pas mendakwa berteraskan al-Quran dan Sunah, manakala Umno mengaku memperjuangkan Islam. Dalam ceramahnya, Pas dikatakan sanggup berkorban untuk laksanakan Islam. Dalam mana-mana ucapan pemimpin Umno kerap juga mengatakan supaya kehidupan berlandaskan al-Quran dan Sunah nabi. Kalau sudah begitu idea dan kehendak kedua-dua parti ini, apa masalahnya lagi?
Orang-orang Umno dan Pas, semuanya berasal dari lubuk dan budaya yang sama. Mereka bersekolah dan belajar agama daripada satu sistem dan mazhab yang sama. Kedua-dua parti ini juga sudah diberi hak memerintah negara dan negeri. Jika rakyat melihat Umno ada kelemahan, rakyat juga tahu apa kelemahan Pas. Jika masyarakat memuji kebaikan dan kesungguhan Umno, hal yang sama diberikan kepada Pas.
Perbedaan antara Umno dan Pas hanya dalam kandang politik masing-masing, tetapi tidak dikongsi secara jujur terutama dalam kalangan masyarakat. Kerana berseteru, segala keburukan lawan dibesar-besarkan sedangkan hal yang sama dilakukan oleh ahli partinya. Hal ini ada dalam Umno dan Pas.
Janganlah membuat masyarakat meluat dan benci dengan akhlak ahli-ahli politik. Persepsi rakyat untuk memberi gelar penipu setakat ini ialah: Pertama, para peniaga dan kedua ahli-ahli politik. Sekarang, di tangan mereka persepsi ini digalas, sama ada hendak diteruskan atau dihapuskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan