Halaman

Sabtu, Februari 06, 2010

JANGAN sedekah barang buruk!

ANJURAN bersedekah atau memberi sesuatu kepada pihak lain memang kerja kebajikan yang mulia. Terlalu banyak konsep dan prinsip berinfak atau membelanjakan harta di jalan Allah diceramahkan agar sesama umat saling beri-memberi. Misalnya berilah wang, pakaian dan bahan makanan kepada keluarga miskin yang banyak ahli keluarganya. Alangkah senang dan syukurnya orang-orang yang serba kesempitan dalam hidup menerima pemberian itu, walhal mereka pula bukanlah pihak yang meminta-minta daripada orang ramai.
Allah telah memberi satu jaminan yang boleh difahami dengan mudah seperti dalam surah al-Baqarah ayat 261 (maksudnya), “perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti dengan sebutir benih yang tumbuh (dan membesar) menjadi tujuh tangkai yang pada setiap tangkai itu terdapat 100 biji benih pula. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah maha luas kurnia-Nya lagi maha mengetahui.”
Sekalipun begitu besar ganjaran kerana bersedekah atau menolong seseorang, namun ada perkara lain yang wajib diperhatikan. Sesungguhnya al-Quran ini petunjuk yang lengkap. Ada sedekah yang dilarang oleh Allah. Perhatikan dalam ayat 267 surah yang sama (maksudnya), “Hai orang-orang beriman, nafkahkanlah sebagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian daripada yang Kami dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata (tidak mahu melihat-tiada nilai) terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah maha kaya lagi terpuji.”
Daripada ayat berkenaan jelas Allah menyuruh muslim bersedekah dengan barang yang ada nilai kepada pemberi sedekah itu sendiri. Contoh yang bernilai ialah wang, yang pastinya si pemberi tidak akan membuang wang berkenaan kerana sangat berguna dalam kehidupan sekalipun nilainya sedikit.
Selain itu jelas Allah melarang muslim memberi sedekah barang yang baginya sudah tidak ada nilai, atau layak dibuang ke tong sampah. Contoh sesuatu yang dianggap tidak ada nilai ialah barangan, bukannya wang. Hal ini sangat subjektif kerana nilaian sesuatu barang kepada seseorang sangat berbeza berdasarkan keperluan, minat atau penggunaan. Sehelai kain sarung berharga RM20.00 dikira bernilai kepada seorang lelaki berpendapatan kecil dan sederhana, tetapi kain yang sama sangat kecil nilainya kepada seorang jutawan.
Oleh kerana nilaian sesuatu barangan begitu subjektif, maka Islam menganjurkan barang yang hendak disedekahkan mestilah mengikut nilaian si pemberi, bukan penerima. Prinsip pemberian kepada seseorang untuk diertikan sebagai sedekah merupakan pengorbanan daripada si pemberi. Jika nilaian sedekah berdasarkan pihak yang menerima, tentulah pemberi akan memberikan barangan yang tidak bernilai kepada dirinya tetapi bernilai tinggi kepada si penerima. Hal ini berlawanan dengan larangan Allah supaya tidak memberikan sesuatu yang pemberi sendiri tidak memerlukannya lagi.
Sedekah ini benar-benar bahan uji pengorbanan yang diperhatikan Allah. Erti pengorbanan itu ialah si pemberi pasti merasa ‘kerugian’ kerana hak yang ada padanya telah diserahkan kepada orang lain. Semua itu atas kehendak dan keikhlasannya, bukan kerana terpaksa atau untuk membina imej dalam masyarakat. Dapatlah difahami bahawa sedekah juga satu perjuangan dalam diri untuk mengikis sifat tamak dan bakhil. Memang sukar menjalankan perjuangan dan pengorbaban, namun itulah satu kaedah Allah melihat keikhlasan hamba-hamba-Nya memberi nafkah sesama manusia.
Keadaan ini terakam dalam ayat 92 surah Ali Imran (maksudnya), “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
Perkara lain yang penting untuk dijaga ialah memastikan pahala berinfak itu kekal sehingga akhir hayat muslim. Keikhlasan yang berlaku pada hari ini mungkin menjadi cabaran besar pada masa akan datang. Misalnya, seorang telah memberi pertolongan kepada jirannya dalam bentuk nasihat dan wang ringgit dan dia benar-benar melakukannya kerana hendak menolong. Kerana bantuan itu pihak jiran telah keluar daripada masalah hidup.
Suatu waktu yang lama kemudian Allah menguji keikhlasan si pemberi bantuan tadi dengan perubahan sikap jirannya pula. Mungkin saja pihak jiran yang dibantu telah mengatasi keilmuan dan kekayaannya, kemudian menjadi kurang mesra kepada orang yang pernah membantunya dahulu. Jika si pemberi bantuan tadi mengungkit apa yang telah diberinya beberapa tahun dahulu, maka putuslah keikhlasan yang sekian lama dijaga. Hilanglah pahala yang selama ini dipertahankan dan kosonglah pahala hasil bantuan nasihat dan wang kepada jirannya dahulu.
Keadaan ini diperjelaskan oleh Allah dalam al-quran, ayat 264 surah al-Baqarah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerimanya. (Keadaan ini) seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah, dan hari akhirat. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”
Demikianlah Allah menetapkan amalan berinfak atau bersedekah sebagai tanda menguji tahap pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran seseorang. Selain itu dapatlah difahami bahawa bersedekah juga mempunyai prinsip tersendiri sekalipun amal bersedekah itu sangat mudah dilakukan oleh sesiapa juga.
Semua ini pengajaran daripada al-Quran mengenai sedekah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan