Halaman

Rabu, Januari 27, 2010

TAUHID atau falsafah? (bahagian 1)

KALAU pembaca ingat, saya telah menulis mengenai wafatnya Kiyai Haji Ihsan yang juga mengajarkan tafsir al-Quran selama 27 tahun di masjid kampung saya. Tempatnya kini diganti seorang ustaz lain, dan saya baru mengikuti kelas pengajian tauhid daripadanya.

Saya cuba berlaku adil, cuba meletakkan diri (level pemikiran dan pemahaman) bersama khalayak lain sebagai penduduk kampung juga. Agaknya kerana itu saya terpaksa bertungkus lumus dalam usaha memahami ayat-ayat melayu klasik daripada kitab kuning selain penerangan ustaz berkenaan yang sangat susah difahami. Dalam menerangkan permulaan sifat Allah daripada kajian klasik Sifat 20 yang popular itu, kami seperti sedang belajar ilmu falsafah, bukannya ilmu tauhid! Jadi, orang-orang kampung yang tahap pendidikannya relatif rendah ini sedang belajar ilmu falsafah.


Ustaz ini mengakui sukarnya hendak memahami penerangan ilmu tauhid ketika membahas antara adanya Allah yang lawannya tiada. Pusing-pusing dia menerangkan falsafah itu. Kalau saya letakkan kembali diri saya yang mendapat pendidikan lebih tinggi sedikit berbanding generasi ayah dan abang saya di kampung pun, saya masih terkial-kial memahaminya, bagaimana mereka. Sebagai guru, saya tahu adalah mudah memahamkan cerpen karya Azizi Abdullah yang penceritaannya secara mudah berbanding memahami karya tinggi A Samad Said. Bandingannya, ustaz tadi seperti sedang mengajarkan tauhid alafalsafah seperti memahami penulisan Sasterawan A Samad Said.
Suatu yang tidak munasabah langsung apabila bab tauhid sebagai pintu masuk Islam difahami begitu rumit. Ustaz ini sendiri mengakui ada seorang mualaf Cina yang pening atau ‘bengong’ apabila mendengar penerangan konsep Allah itu ada yang lawannya tiada. Katanya, si mualaf marah dan bertanya dengan tegas, “Haji, sebenarnya Allah itu ada atau tiada?”
Ohooo, patutlah dikatakan ilmu agama itu susah dan tinggi. Maaf ini ayat salah yang menyesatkan dunia pendidikan. Akidah Islam itu sebenarnya mudah, kerana itu orang mudah masuk Islam. Kalau mengajarkan tauhid secara falsafah itulah yang susah sehingga ada yang tidak faham tapi hendak juga mempelajarinya, lalu jadilah ‘gila isim’. Pulang ke rumah, ketawa sendiri-sendiri!
Semua ini satu lagi bukti orang agama tidak kreatif dan jumud. Antara mereka tidak dapat membedakan antara teks wahyu yang kekal tak boleh diusik dengan kaedah pengajaran yang direka bersesuaian dengan kehendak semasa. Pengajaran tauhid cara Sifat 20 hanyalah satu kaedah 1000 tahun dahulu dalam usaha menghadapi pemikiran asing, teori-teori falsafah yang ada di kota Baghdad. Itu hanya metodologi, bukan teks wahyu! Metodologi wajib diubah untuk disesuaikan khalayak semasa.
Oleh kerana ada yang sangat jumud, cepat menghukum sesat dan kafir pula kepada yang menolak metodologi Sifat 20 dalam pengajaran tauhid. Tinggalkan sajalah orang seperti ini dalam kepompong pemikiran kunonya.
Ada kaedah mempelajari tauhid seperti Tauhid Rubibiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma wa-Sifat jauh lebih mudah untuk pelbagai peringkat intelek khalayaknya. Yang ini pun satu kaedah atau metodologi, yang jika khalayak susah menyebutnya maka perlu diubah juga demi pemahaman mengenal Allah dan sifat-sifat-Nya. Pendidikan, yang penting ialah pemahaman dan penerimaan isi, bukan kaedah penyampaiannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan