Halaman

Rabu, Januari 20, 2010

BACALAH di masjid

PADA zaman ini tiada masjid dijadikan tempat bermesyuarat untuk pentadbiran negara atau sebagai pusat pengurusan ekonomi. Pada zaman Rasulullah mentadbir negara Madinah, kerana keadaan masih mudah maka kebanyakan pengurusan negara dan pengadilan, selain ibadah dilakukan di masjid. Lantaran contoh itulah banyak pihak mengakui peranan masjid sangat luas. Hal itu hanya tinggal kenangan kerana perubahan masa.


Lalu fungsi masjid pada hari ini hanya sebagai urusan ibadah khusus dan pusat keilmuan. Pusat keilmuan juga telah disempitkan kepada hanya ilmu-ilmu akidah dan ibadah. Sebagai pusat ibadah umah, ya masjid tidak lepas daripada peranannya. Bagaimanapun dalam hal menyediakan tempat mencari ilmu, didapati banyak masjid hanya mengatur ruang untuk penceramah dalam masjid.
Sekalipun wahyu pertama kepada Rasulullah dahulu ialah seruan membaca, sangat sedikit pengurusan masjid peka dan menyediakan tempat pembacaan yang kondusif dan mesra pelanggan.
Berdasarkan pengalaman menggunakan beberapa buah masjid, antara masjid yang menyediakan ruang bacaan di tempat yang sangat strategik kepada pengguna masjid ialah Masjid Makmuriah Sg Besar Selangor dan Masjid Sultan Hishamudin pekan Sabak Bernam Selangor. Masjid di pekan Bestari Jaya juga mempunyai rak buku di tempat terbuka.

Selain itu masjid-masjid yang saya temui hanya menyediakan koleksi al-Quran dan surah-surah Yasin. Masjid di kampung saya mempunyai rak buku yang mewah dan eksklusif tetapi tidak digunakan oleh pengunjung masjid. Bukannya orang tidak mahu membaca terjemahan al-Quran dan koleksi hadis sebelum solat Jumaat, tetapi kedudukannya dilihat mewah itulah yang menyebabkan ada kitab yang belum dibuka oleh sesiapa saja.
Sekali lagi kita memerlukan daya pemikiran kritis dan kreatif dalam pengurusan, apa lagi pengurusan masjid. Zaman berubah dan orang kerap bercakap mengenai Islam yang syumul, namun masjid masih perlahan mengikuti perubahan ini.

1 ulasan: