Halaman

Khamis, Disember 17, 2009

MENGAPA saf masih longgar?



Saya sempat merakam aksi solat berjemaah di sebuah masjid di Lambor Kiri Perak.  Kedudukan antara ahli jemaah sangat longgar, seekor kambing pun boleh lolos melaluinya.

Sebenarnya di banyak masjid ditemui ahli jemaah solat yang tidak merapatkan saf solatnya.  Jika yang tidak rapat safnya itu yang hadir seminggu sekali (hari Jumaat) itu tidak menghairankan kerana mereka bukan pengamal solat wajib berjemaah.  Yang tidak rapat ialah di saf belakang imam, yang sanggup hadir ke masjid waktu subuh kerana mahu merebut pahala yang banyak seperti anjuran sunnah nabi.  Dan kita yakin mereka akan berhujah bahawa solat berjemaah sekalipun subuh yang hujan adalah memenuhi sunnah!

Pengalaman saya juga tidak mudah dilupakan.  Seorang dalam saf pertama mengatakan masjid masih luas, lalu dia tidak merapatkan diri dengan teman saf solatnya.  Yang berkali-kali saya lihat seseorang masbuk dan berdiri terpisah daripada ahli saf ialah seorang Ahli Jawatan Kuasa Fatwa sebuah negeri bergelar Datuk dan mantan seorang Guru Besar Sekolah Agama Rendah!  Ada seorang kiyai mengajar agama di kampungnya juga menyebabkan saya kaget beruk kerana sengaja berdiri seperti orang sebelah kiri foto di atas! Mereka bukan orang biasa, tapi orang ada-ada (pinjam istilah dalam filem Bujang Lapok).

Mesejnya ialah beribadah bukan berdasarkan sangkaan, tetapi ilmu.  Ilmu mungkin boleh hilang, dan wajiblah diambil semula berkali-kali, jika kerap lupa. Yang berpangkat dalam agama, bukan bererti tiada kesilapan lagi, malah setiap gerak-gerinya sentiasa diperhatikan orang.



 Dan belum ditemui seorang imam solat akan menegaskan jemaahnya wajib rapat antara mereka pada bahu dan kakinya sebagaimana yang dicontohkan oleh para sahabat Rasulullah. 

Seorang sahabat, An-Nukman r.a. berkata, “dahulu Rasulullah berdiri menghadap orang seraya berkata ‘dirikanlah (luruskanlah) saf-saf (baginda mengulang sebanyak tiga kali), demi Allah kalian meluruskan saf-saf kalian atau Allah akan mencerai-beraikan hati kalian’”.  An-Nukman berkata, “lantas aku melihat seorang merapatkan bahunya dengan bahu temannya, merapatkan mata kakinya dengan mata kakinya yang lain. (riwayat Bukhari, Abu Dawud, Ibn Hibban, Ahmad dan al-Daulabi)

Jangan sampai ada yang berkata, “alah, sikit-sikit hadis, sikit-sikit sunah macam wahabi.”

1 ulasan:

  1. Bukan tak nak rapat tapi takut kena himpit masa duduk tahiyyat akhir nanti.

    BalasPadam