Halaman

Selasa, Oktober 27, 2009

MENGAPA terdiam terhadap sunnah


DALAM satu perbualan basi-basi dalam kumpulan beberapa rakan, antaranya mengatakan amalan sunah nabi. Berselang-seli antara tawa dan bersahaja memberikan pandangan. Kemudian saya mencadangkan agar tidak perlu melakukan solat selepas azan pertama pada tengah hari Jumaat. Secara bersahaja, saya nyatakan bahawa menurut aturan sunah nabi itu azan Jumaat hanya sekali. Antara dua azan yang dilaungkan di masjid-masjid negara kita, azan yang kedua itulah menuruti sunah.


Saya kata duduk sajalah sekalipun banyak yang berdiri untuk melakukan solat selepas azan pertama. Dalam hal ini bukan mempersoalkan salah atau tidak solat itu, tetapi tidak melakukan solat yang tidak ada contoh daripada sunah nabi. Itu saja. Dan semua diam….


Mengapa dianggap terlalu susah untuk meninggalkan satu amalan yang jelas tidak ada petunjuk sunah. Kerana majoritinya melakukan amalan itu, dan janggal amat untuk menafikan bahawa perbuatan mereka tidak ada dalam sunah. Lalu, orang yang sedang berfikir pentingnya menuruti sunah juga seperti kebingungan.


Ada yang faham yang solat itu bukan sunah, tetapi membawa prinsip baru iaitu: Buat ibadah apa saja dan sebanyak mana, nanti Allah akan menentukan mana satu yang betul. Ya, barangkali banyak yang menggunakan prinsip ajaran ini. Namun, ini bukanlan prinsip beragama di sisi Allah. Prinsip ini boleh musnah bila-bila masa. Misalnya, siapakah yang akan melakukan ibadah haji di kampung halaman masing-masing selain pergi juga ke Makkah dengan prinsip ‘Biarlah Allah menentukan mana yang betul dan salah, kita buat saja’.


Berbalik pada solat jumaat, biarlah pentadbiran masjid melakukan azan dua kali, kerana mereka terikat dengan jabatan agama. Kita sebagai ahli jemaah sangat bebas untuk melakukan amalan sunah dan tidak ada undang-undang menyekatnya. Kelak, apabila kian banyak meninggalkan solat selepas azan pertama itu, pegawai-pegawai agama di jabatan agama pun akan berfikir untuk menuruti kehendak jemaah masjid.


Sekali lagi tidak timbul perbalahan mana yang salah atau tidak, cuma meninggalkan yang tidak perlu. Yang berkeras untuk terus solat selepas azan pertama, ya…, silakan kerana itu pendirian yang sejak sekian lama. Moga-moga terbuka untuk mencari yang terbaik di sisi sunah nabi dan pegangan Imam Syafie.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan