Halaman

Khamis, Oktober 29, 2009

DUNIA neraka muslim?


KERAP didengar apabila membicarakan kelemahan atau kemunduran orang Melayu/Islam, faktornya ialah kerana mengabaikan Islam. Orang ini mengatakan Islam itu semua ada dan menyelamatkan semua perkara. Banyak yang sudah menghafal jawaban ini sebagai hujah, dan ditambah pula dengan tuduhan kegagalan mana-mana pihak berkuasa melaksanakan Islam. Senang saja jawaban dan hujah… retorik, hanya sedap di telinga dan alasan terbaik untuk menampilkan dirinya sebagai contoh terbaik orang atau kumpulan yang berjaya di Malaysia! Yakah?


Di negara kita, lanskap pemikiran kerap diasingkan berdasarkan kandang politik. Dengan menuduh satu pihak sebagai berpikiran sempit mengenai Islam, mereka menggambarkan kumpulan musuhnya itulah penyebab umah mundur, tidak berdaya maju. Pihak tertuduh pula membalas bahawa pihak di sebelahnya itu sebagai golongan sekular yang menjadi penyebab kemalasan dan kegagalan pembangunan umah. Aduhai…, Islam juga yang didagangkan, dijadikan alasan penyebab bangsa yang mundur:


“Kamu sekular, politik suku agama suku, membangun bangsa yang merugikan Islam. Perkauman itu kesesatan, bukan jalan Islam. Kamu saki baki penjajah, kerana itulah muslim mundur!”

“Kamu pula berpikiran Islam sempit, faham Islam hanya di masjid, zikir, kopiah dan tudung kepala, tidak mahu kepada pembangunan, kerana itulah muslim mundur!”


Berpuluh-puluh tahun, mereka berdebat serta salah-menyalah atas kebodohan, kegagalan dan kemunduran umah. Tidak lain, Islam juga yang dijadikan kambing hitam, kononnya kumpulan lain yang menyalahkan pemahaman Islam. Dan orang bukan Islam tertawa besar!


Di pihak lain, bangsa-bangsa di Barat sekalipun bukan Islam, namun cara mereka hidup dan bekerja banyak yang cocok dengan Islam. Kerana kerajinan, ketelusan, berfikiran kreatif dan inovatif, bangsa Barat yang bukan Islam itu maju dalam banyak lapangan. Kita muslim hanya bangga yang guru orang Barat itu ialah tokoh Islam dari tamadun Islam silam. Sekarang kita muslim mengutip semua kemajuan teknologi orang bukan Islam dari Barat.


Sebaik-baik umah


Di negara ini yang umatnya dikatakan ‘sebaik-baik umah’ di sisi Allah, calon syurga di akhirat kelak saling berdebat tidak sudah untuk mendapat hormat siapa lebih taat perintah Allah, siapa beriman dan siapa sudah kufur! Panggil orang, buat ceramah, bentang kertas kerja, dan perah otak berfikir untuk panjangkan debat isu titik-bengik itulah…


Apa ceramah agama yang belum tuntas? Ustaz dan ulama acap kali berkata Islam mementingkan kebersihan, tapi Singapura yang 80 persen bukan Islam lebih bersih daripada Malaysia, Lihat rumah-rumah di Malaysia dan Britain. Hampir semua rumah gaya moden di negara ini dipasangnjeriji besi (grill), tetapi langka pula di negara bukan Islam itu. Ertinya di negara Islam seperti Malaysia, banyak jenayah (tindak pidana) curi, pecah rumah dan samun, tetapi kurang di negara bukan Islam Barat! Kemudian teliti cara pemanduan kenderaan di Eropah (majoriti penduduknya bukan Islam) berbanding dengan di Malaysia yang kerap sangat didengar ada ceramah Islam sebagai penyelamat dan sebaik-baik jalan hidup. Kan berbeda. Bagus lagi di Eropah.


Malu untuk maju


Kita muslim serba kalah dalam lapangan hidup kerana pemikiran kita tidak terarah kepada yang unggul. Kita suka mendengar cerita Islam itu hebat atau unggul, tetapi kita sebenarnya benci kehebatan dan keunggulan. Kita benci bangun pagi untuk berduyun-duyun ke masjid, kemudian kerja awal pagi. Kita marah apabila disuruh menekuni pengetahuan sehingga mahir, dikatakan ini semua ilmu dunia tak dibawa mati. Kita mahu senang-senang dan mahu hasilnya lumayan pula. Falsafah Islam dan Barat (pemikirannya berasaskan Islam) ialah untuk mendapatkan hasil lumayan mesti melalui jalan kesusahan.


Kemudian, kita berdalih bahawa kaum bukan Islam akan masuk neraka sekalipun mereka berjaya menguasai dunia. Sejak kecil kita diajar bahawa dunia ini syurga orang kafir, dan neraka buat muslim. Anak kecil muslim pun sudah hafal dunia ini sementara saja, cari akhirat yang abadi. Ditambah lagi, dunia tidak ada nilainya di sisi Allah, disuruh-Nya kita mendapatkan kejayaan akhirat.


Bagaimana mendapat kejayaan akhirat? Tidak sedikir orang agama memberitahu kita caranya: Banyakkan solat, zikir, puasa, yang sudah tua bangka duduk bersuluk berzikir atas sajadah. Kalau mati sewaktu solat, semasa berzikir terbayang masuk syurga. Orang bertanya: “Apakah belajar ilmu kemahiran dan bekerja bukan ladang atau bekalan ke akhirat? Kalau mati sewaktu bekerja, bakal masuk neraka?” Banyak orang terdiam!


Kerana pemikiran bahawa ibadah khusus saja sebagai bekalan untuk akhirat, maka orang tua berfikir patut anak-anak mereka belajar ilmu ibadah saja. Menjadi ulama yang pintar berceramah lebih mulia berbanding menjadi doktor, jurutera dan pakar rekacipta teknologi terbaru! Ingatkah dahulu ada sketsa puak al-arqam yang popular menggambarkan peguam, doktor dan jurutera sebagai anak-anak durhaka? “Mana anakku seorang peguam, mana anakku seorang doktor, mana…, mana…?” Sketsa itu merupakan salah satu tasawur Islam orang Melayu.


Kita muslim sebenarnya faham dunia dan isinya disediakan oleh Allah untuk kita muslim. Namun dalam pandangan orang Melayu yang mendakwa sudah beriman, “apabila menguasai kemahiran dunia, maka terlupalah ilmu ibadah kepada Allah, maka jangan kerana kerja dunia. terlepas kejayaan syurga di akhirat”. Kerana persepsi takut-bodoh itu, lebih baik tinggalkan kerja-kerja berprofil tinggi dan jangan tekun terhadap kerja-kerja dunia.


Pakaian pun menjadi hujah mulia-hinanya insan. Kalau berjubah berserban dianggap hamba Allah yang patuh, dikasihi Tuhan. Yang bertali leher itu sekular, jauh daripada rahmat Allah dan bukan ciri wali atau manusia pilihan Tuhan. Tidak percaya? Cuba pakai jubah dan serban, orang ini akan digelar ustaz, senang-senang diminta jadi imam solat. Bagus mana bacaan alqurannya, jika di masjid dalam pakaian bertali leher, dicari juga yang memakai kain pelikat untuk menjadi imam solat! Itulah budaya dan pemikiran Islam yang payah hendak diubah. Seperti lucu…


Maka muslim diseru kembali kepada ajaran Islam yang asal, alquran dan sunah. Lihat bagaimana muslim zaman Rasulullah dan generasi awal (salaf) menekuni Islam dan bergerak maju menguasai ilmu keduniaan. Ilmu akidah dan ibadah yang orang sekarang faham ilmu akhirat terjaga dengan baik, kemudian ilmu keduniaan ditekuni dengan susah payah. Itulah yang membuahkan kejayaan besar, membina tamadun yang dicontohi oleh orang yang berfikir. Orang yang berfikir itu ialah orang Barat. Kita malas berfikir, kecuali berfikir untuk membanggakan diri sebagai beriman. Cara untuk membuktikan kita beriman ialah dengan menunjukkan contoh rakan-rakan muslim kita yang dikatakan sesat dan munafik. Ohh, nampaklah bagusnya kita, kan, kan…!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan