Halaman

Khamis, September 10, 2009

JANGAN melintasi orang solat

Pernahkah orang melintas di hadapan anda sewaktu sedang solat? Orang yang melintas di hadapan orang sedang bersolat barangkali menganggap orang sedang solat sama keadaannya dengan orang sedang menunggu bas. Walhal dalam adat dan budaya orang Melayu, seboleh-bolehnya tidak akan melintasi di hadapan orang dalam majlis. Kecuali terpaksa, itu pun dengan meminta izin serta membongkokkan badan tanda sangat menghormati orang yang dilalui itu.
Lalu apakah hukum seseorang melintas di hadapan orang sedang solat atau berjalan di hadapan saf jemaah solat? Keadaan ini kerap ditemui di Masjidil Haram, tetapi itu bukanlah satu contoh sunah, malah perbuatan orang jahil yang tercela! Di tanah air kita juga ada orang-orang jahil yang melakukan perkara yang sama. Perhatikan hadis-hadis di bawah untuk mengetahui hukum perbuatan berkenaan.

Daripada Busr bin Abu Said, menyebut Zaid bin Khalid menyuruhnya menemui Abu Juhaim untuk mengetahui hal daripada Rasulullah mengenai orang yang melintas di hadapan orang sedang solat. Abu Juhaim mengatakan yang Rasulullah bersabda: ‘Andaikata orang yang berjalan di hadapan orang sedang bersolat tahu betapa besar dosa perbuatan itu (melintas di hadapan orang solat), nescaya dia lebih suka berdiri saja selama 40 hari menanti selesainya orang yang solat itu. Hal ini dianggap lebih baik daripada melintas di hadapan orang bersolat.’
(Hadis riwayat Bukhari, nombor 474 bab orang berjalan di hadapan orang solat, jilid 1))

Bagaimana jika masih ada orang mahu melintas di hadapan orang solat? Anda boleh menghulur tangan sebagai tanda menegahnya daripada seseorang melintas atau menolaknya jika dia ingkar.

Dalam Sahih Bukhari agak panjang menceritakan Abu Said al-Khudri sedang solat terpaksa menahan orang yang mahu melintas di hadapannya. Kerananya berlaku perbalahan dengan lelaki yang cuba dihalangnya sehingga dibawa kepada Khalifah Marwan bin al Hakam. Kata Abu Said, “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda, ‘Jikalau seseorang antara kamu bersolat yang telah ada sutrah (pemisah di hadapannya), lalu masih ada orang mahu melintas di hadapannya, maka orang yang yang bersolat itu menolaknya (cara menghalangnya). Jikalau orang berkenaan masih mahu melintasinya, maka pukullah kerana itu sebenarnya syaitan’.
(Hadis riwayat Bukhari, nombor 473 bab orang solat menolak orang yang mahu melintasinya, jilid 1.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan