Halaman

Isnin, September 07, 2009

DISENTAK: apa tujuan hidup?

JIKA kita bertanya kepada jurutera yang membuat sebuah kereta atau mobil mengenai tujuan pembuatannya, tentu jawabnya: Kereta sebagai alat pengangkutan. Kalaulah kereta itu pula boleh berfikir dan berbicara seperti manusia, pasti dia akan mengesahkan penciptaanya itu sebagai kenderaan pengangkutan! Para pengguna pula wajib menggunakan kereta itu berdasarkan apa yang dikehendaki oleh para jurutera pembuatnya. Jika ada orang yang ingkar dengan kehendak pembuat kereta, misalnya kereta itu digunakan sebagai reban membela ayam! Apa sudah jadi? Nah, Allah yang menciptakan manusia sehingga jumlahnya banyak sekali, ada di merata-rata dunia. Daripada sekian banyak makhluk seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan semuanya menjadi kegunaan manusia. Maka jelas makhluk bernama manusia sangat istimewa dalam dunia. Maka apakah sebenarnya tujuan Allah menciptakan manusia ini?

Saya disentak dengan pertanyaan ini pada usia 21 tahun, dalam satu diskusi bersama teman-teman. Polos dan sepontan, saya tidak dapat menjawabnya, sehingga seorang teman meminta kami membuka al-Quran surah az-Zariyat ayat 56. Kami temui ayat yang bermaksud, “Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.”

Belum sempat saya dan teman-teman lain bertanya, yang senior antara kami memberitahu bahawa maksud beribadah kepada Allah ialah patuh kepada-Nya dalam segenap ruang kehidupan. Selepas itu saya menemukan beberapa buku berkisar matlamat kehidupan manusia, untuk menambah jelas pemahaman ini. Jujur, saya tidak menemukan persoalan penting ini dalam ceramah masjid atau surau. Andaikan saja selama usia itu saya tidak menghadiri apa-apa majlis ilmu di sana. Namun saya yakin sejak mula sekolah sehingga tamat beruniform, tidak pernah diajarkan dalam subjek Pengetahuan Agama Islam mengenai matlamat kehidupan saya.

Kembali pada analogi sang jurutera membuat kereta, maka Allah mencipta manusia. Sang jurutera sangat jelas, tujuan kereta dihasilkan sebagai kenderaan, maka jelaslah manusia dicipta oleh Allah untuk mematuhi segala peraturan-Nya. Kalau kereta dijadikan reban ayam, ini tuntulah menyalahi tujuan kereta dihasilkan. Tidak salah lagi, jika manusia hidup melawan peraturan Allah, maka manusia menyalahi tujuannya dicipta di dunia ini.

Kemudian timbul persoalan, apakah semua manusia tahu bahawa mereka diwajibkan mematuhi semua peraturan Allah. Adakah semua manusia sedia tahu bahawa Allah itu adalah Tuhannya? Allah yang menciptakan manusia, maka sempurna sudah bekalan kepada manusia di bumi. Sebelum terbentuk sebagai janin, roh manusia sudah berjanji mengakui bahawa Allah adalah Tuhannya. Ini ada dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 172 bermaksud, “Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian (janji) terhadap jiwa mereka, ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka (roh manusia) menjawab, ‘Betul (Engkau Tuhan kami) dan kami menjadi saksi’ (hingga akhir ayat).”

Dalam kehidupan, antara fitrah manusia ialah mahu makan jika lapar, mahukan kasih sayang daripada yang lainan jenis dan mencari Tuhan yang menciptakannya. Lantaran itulah jika mengkaji sejarah manusia sejak zaman dahulu lagi pasti ditemui manusia dengan kepercayaan ketuhanan masing-masing. Secara fitrah, semua manusia mengakui bahawa dirinya dicipta Tuhan dan mahu mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Mereka mencari Tuhan melalui agama.

Fitrah manusia juga jelas mengakui bahawa Tuhan itu satu. Itulah Allah. Oleh kerana sebagian manusia menentukan caranya sendiri mencari Tuhan maka terdapat pelbagai jenama Tuhan dalam kehidupan manusia. Satu lagi, bahawa fitrah manusia juga mahukan perkara baik dan menolak keburukan atau kejahatan. Semua ini adalah sunatullah yang tepat dengan peraturan Allah kepada manusia. Sebagai contoh, semua manusia mahu jujur, tidak menipu. Penipuan dilakukan kerana sebab tertentu, dan penipuan ini pun bukan dapat dilakukan sepanjang hidup manusia. Apabila tidak berhadapan dengan masalah, manusia ini kembali menjalani kehidupan yang jujur.

Kembali cerita kereta. Sang jurutera pembuat kereta membekalkan buku panduan kepada pengguna supaya mudah mengendalikan keretanya. Keadilan Allah terhadap manusia, Dia membekalkan manusia wahyu-wahyu untuk manusia jadikan panduan. Wahyu terakhir kepada semua manusia ialah al-Quran. Itulah buku panduan manusia melayari kehidupan agar patuh terhadap semua peraturan Allah. Sesiapa menyeleweng daripada panduan al-Quran dia akan tersesat, Sesiapa yang tidak memandu kereta dengan betul, keretanya akan terbabas. Hubaya-hubaya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan