Halaman

Isnin, Jun 08, 2009

KENDURI arwah (bagian 4)


Oleh: Wan Noriah Haji Daud, 1986

Berikut ini penulis nukilkan pula beberapa pendapat ulama Syafi’iyah untuk direnungi bersama, khususnya kepada orang-orang yang mengaku bermazhab Syafi,ie. Ibn Hajar Al-Haithami dalam Tuhfatul Muhtaj berkata apa yang dibiasakan oleh masyarakat sekarang [zamannya] iaitu keluarga si mati membuat makanan dan memanggil orang untuk memakannya adalah bid’ah makruhah. Juga menerima panggilan dan mendatanginya bid’ah makruhah.

Syeikh Al-Ramli dalam Nihayatul Muhtaj berkata; “Dimakruhkan keluarga si mati membuat makanan dan mengumpulkan orang untuk memakan makanan itu, baik sebelum orang mati itu dikuburkan maupun sesudahnya. Perbuatan itu adalah suatu bid’ah mengingat perkataan Jarir.....”[Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:261].

Dalam Hasyiah Al Qalyubi [1:353] disebutkan; “Telah berkata syeikh kami iaitu Syeikh Ramli: termasuk bid’ah munkarah yang dibenci melakukannya seperti yang tersebut dalam ‘Al Raudhah’, apa yang dilakukan oleh manusia yang dinamakan ‘kifarah’ dan orang yang membuat makanan untuk berkumpul-kumpul atasnya sebelum kematian atau sesudahnya dan juga dari sembelihan atas kubur”.

Syeikh Al Jamal dalam Hasyiah Syarhil Manhaj menerangkan; “Antara bid’ah munkarah ialah mengerjakan perbuatan wahsyah, jumak dan 40, yakni membuat perjamuan pada hari kematian, pada setiap Jumaat dan pada hari ke-40 [kenduri arwah]. Semua itu haram hukumnya, jika dikerjakan dengan harta yang masih boleh bertasarruf atau dari harta si mati yang mempunyai hutang atau menimbulkan kesulitan-kesulitan kerananya.”[Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:261].

Ibn’Abidin dalam kitab Raddul Muhtar berkata “diterangkan dalam Fathul Baari : dan sangat dibenci keluarga si mati mengadakan jamuan makan [ kenduri arwah] kerana yang demikian itu adalah suatu bid’ah.” [Koleksi Hadis-Hadis hukum 6:261].
Dalam kitab Al-Bazaziyah diterangkan:” Dimakruhkan kita mengadakan jamuan pada hari yang pertama kita mengadakan jamuan pada hari yang pertama [kematian], pada hari ke-3, sesudah seminggu berlalu, sebagaimana tidak disukai kita membawa makanan ke kubur pada waktu-waktu tertentu “. [Ibid, hal.262].

Dalam kitab Kasyful Lithan [ 1:83] disebutkan;” Bermula berbuat makanan yang menghimpun atasnya oleh manusia pada malam yang ditanam akan mayat itu yang dinamakan dengan 'wahsyah’ itu makruh selama tiada ia daripada harta anak yatim dan jika tiada [ yakni jika menggunakan harta yang dimiliki/dipusakai oleh anak yatim] maka haram”.

Dalam kitab Sabilul Muhtadin [2:87] disebutkan: “[Dan makruh] lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya segala manusia atas makanan dia dahulu daripada menanam dia [mayat] dan kemudian daripadanya seperti yang telah beradat [dan demikian lagi] makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diseru memperkenankan seruan itu”.


FATWA-FATWA MUFTI EMPAT MAZHAB
Seterusnya dinyatakan pula fatwa-fatwa daripada mufti-mufti 4 mazhab di Mekah sebagaimana yang tersebutkan dalam Iknatut Talibin [ 2:145-146].

Syed Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Mekah dari mazhab Syafi’i berkata ;”Ya! Apa yang diperbuat orang, iaitu berkumpul di [rumah] sisi ahli mayat dan membuat [menyediakan] makanan[untuk orang-orang yang berkumpul itu] adalah dari bid’ah munkarah yang diberi pahala [kepada] ketua negeri atas menegahnya.” [I’natut Talibin 2: 145]. Seterusnya beliau menyatakan: ”Dan tidak syak bahawa menegah manusia daripada bid’ah mungkar ini [kenduri arwah], bererti menghidupkan sunnah, mematikan bid’ah, membuka pintu kebajikan dan menutup pintu kejahatan, lantaran masyarakat terlalu memberatkan diri buat mengerjakan yang demikian, sehingga perbuatan menjadi haram”.[Ibid, hal 146].

Dalam kitab yang sama [ 2:146] juga disebutkan fatwa daripada Mufti Mazhab Hanafi sebagai berikut;”Ya! Diberi pahala ketua negeri......atas melarang manusia daripada perkara-perkara yang masuk bilangan bid’ah yang jelek di sisi jumhur”.

Seterusnya disebutkan pula;”Telah menjawab seperti dua-dua jawapan itu [ jawapan Mufti mazhab Syafi’i dan mufti Mazhab Hanafi] oleh Mufti [Mazhab] Maliki dan mufti[ Mazhab] Hanbali.”[Iknatut Talibin 2: 146].

FATWA MUFTI MESIR
[Penyalin: Al Ustaz Syied Rajab, Mufti Negara Mesir pada tahun 1947/1366 menyiarkan fatwanya di akhbar Al Ahram menerangkan bahawa sambutan kematian itu adalah bid’ah yang sangat tercela yang tidak berasas dari Islam, Siarannya di Majalah Nurul Islam keluaran Al Azhar di antara lain mengingatkan ummat Islam supaya meninggalkan adat ma’tam atau sambutan hari kematian yang sedang mencengkam jiwa ummat Islam dan agar kembali kepada pimpinan Ugama dan Syariat yang luhur.[Baca: Hashim Ghani: Urusan Jenazah Dalam Islam menurut As- Sunnah hal.75]
Kesimpulannya mengadakan kenduri arwah baik sebelum atau sesudah mayat dikebumikan sama ada membilang hari ataupun tidak hukumnya adalah berkisar di antara bid’ah makruhah [makruh], bid’ah munkarah atau pun haram; sekali-kali tidak sunat. Begitu juga hukum mendatangi [hadir] majlis kenduri tersebut. Oleh itu berhati -hati dan takutlah kepada azab Allah sebelum membela dan mengamal tradisi jahiliah ini.

Sekurang-kurangnya kenduri arwah itu bida’ah makruhah ataupun makruh hukumnya kerana perbuatan itu akan menambah kesusahan bagi keluarga si mati itu serta perbuatan itu juga merupakan peniruan atau penyerupaan perbuatan orang Jahiliah. Seringkali juga permasaman muka tidak bertegur-sapa atau perkelahian terjadi diantara ahli keluarga mayat dengan tetangganya kerana sesuatu ‘ kerenah’ ( perkara tak baik) yang timbul semasa mengadakan kenduri arwah itu. Apabila ini benar terjadi maka hukumnya tidak lagi makruh tetapi sudah menjadi haram.

Adapun yang dikatakan makruh itu adalah sekiranya makanan atau belanja untuk kenduri itu diambil dari kepunyaan orang-orang yang melakukannya sendiri, yakni tidak diambil daripada harta peniggalan si mati, terutamanya sekiranya si mati itu meninggalkan hutang ataupun anak yang mempunyai anak yang masih kecil. Juga kenduri itu tidak menimbulkan ‘ kerenah’ sebagaimana yang disebutkan di atas. Sebaliknya jika belanja atau makanan untuk kenduri arwah itu diambil daripada harta peninggalan si mati yang mempunyai hutang atau yang mempunyai anak yang masih kecil (anak yatim) atau yang masih belum dapat di dengar suaranya, atau perbuatan itu boleh menimbulkan perkara-perkara yang tidak baik atau ‘ kerenah’ seperti yang disebutkan di atas, maka dengan tidak ragu-ragu lagi perbuatan itu menjadi haram.

(sambung ke bagian lima)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan