Halaman

Jumaat, Jun 12, 2009

KENDURI arwah (bagian 5/ akhir)

Oleh: Wan Noriah Haji Daud, 1986

“Kaum kerabat, tetangga, sahabat handai-taulan dari ahli mayat hendaklah memberi makan kepada keluaga [ahli] mayat, kerana keadaan, mereka sedang dalam kekalutan belum sempat mengurus makanan mereka sendiri. Sabda Rasulullah s.aw maksudnya, Daripada Abdullah bin Ja’afar katanya: Tatkala datang khabar meninggalnya Ja’far ketika terbunuh. Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Buatkanlah olehmu makanan untuk keluarga Ja’far, kerana mereka sedang menderita kesusahan [kekalutan]” Riwayat lima orang ahli hadis terkecuali Nasai.

Inilah yang disyariatkan dalam agama Islam, bukan sebagaimana yang biasa dilakukan di Indonesia [Malaysia], semua tetangga, sahabat yang dekat atau yang jauh, keluarga, teman dan orang sekampung, semua itu, datang beramai-ramai berkumpul di rumah ahli mayat, untuk makan-makan dan ahli mayat terpaksa menyediakan makanan yang bermacam-macam, biarpun sampai menghabiskan harta peninggalan si mayat. Malahan kalau kurang, hartanya sendiri di habiskan pula.

Orang-orang yang datang di tempat kematian itu, sepanjang hari tidak perlu berbelanja lagi, sudah cukup keperluannya di tanggung oleh yang kematian yang sedang bersedihan dan berduka-cita kehilangan anak atau bapak yang di cintainya: bahkan yang datang itupun beratus-ratus pula. Selain dari perayaan di hari matinya itu, diadakan pula ramai-ramai untuk makan-makan di hari ketiga dari hari meninggalnya, hari ke tujuh, ke sepuluh, empat puluh, seratus dan seterusnya. Kesedihan itu selalu di baharui [ dibangkit-bangkit ] dan kerugian selalu di tambah-tambah. Semua itu hukumnya haram, tidak diiizinkan oleh agama Islam yang maha suci, lebih-lebih kalau ahli mayat itu ada yang belum sampai umur [belum baligh].

Sabda Rasulullah s.a.w: maksudnya,
Dari Jarir bin “Abdullah Al-Bajali katanya: “Berkumpul-kumpul pada ahli mayat serta membikin makanan-makanan sesudah mayat dikuburkan, kami anggap sebahagian dari meratap [sama hukumnya dengan meratap, iaitu haram]”. Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah.

Memang kalau kita renungkan lebih jauh serta kita pikirkan dengan pikiran yang sihat dan tenang tidak dipengaruhi oleh apapun juga, alangkah sedihnya ahli mayat, sesudah ia kehilangan anak, buah jantungnya atau kehilangan bapak pemegang kemudi hidup dan penghidupannya, hartanya di habiskan pula. Kalau tidak di ikutinya kehendak adat yang semacam itu, ia tercela di mata kaum adat yang berfikiran tidak sihat itu.” [Baca: H. Sulaiman Rasjid; Fiqih Islam hal.186-187,Attahiriyah Jakarta. Cet.ke 18].

Firman Allah bermaksud: maksudnya, “Dan apabila dikatakan kepada mereka ikutlah apa yang diturunkan oleh Allah: Mereka berkata, bahkan kami mengikut apa yang kami dapati datuk nenek kami.[Apakah mereka akan ikut] walaupun datuk nenek mereka itu tidak berakal sedikit pun dan tidak mendapat pertunjuk ? [Al-Baqarah: 170].

”Kita ketahui juga bahawa masyarakat kita masih ramai membaca Al- Fatihah atau ayat-ayat Al Quran yang lain serta tahlil untuk dihadiahkan pahalanya kepada arwah si mati. Amalan ini sebenarnya tidak terdapat di dalam Al Quran dan Assunnah.

“Kenduri Arwah dan doa serta tahlil yang dilakukan dalam masyarakat kita hari ini, juga kenduri arwah si mati pada hari kematian, kenduri tujuh hari selepas kematian, kenduri empat puluh hari dan seratus hari selepas kematian, adalah tiada diambil dari keterangan atau dari ajaran Islam yang sebenar. Tetapi amalan ini adalah campuran dengan pengaruh ajaran Hindu atau ajaran Budha yang kita warisi daripada datuk nenek kita sejak turun temurun dengan secara bertaqlid amalan mereka sahaja tanpa melihat dengan sumber ajaran Islam sebenar.” [Baca: Ahmad Yusuf Amin: TAQLID dan kesan-kesannya terhadap perkembangan fikiran dan Ilmu Pengetahuan. Hal. 63-64].

Oleh itu umat Islam yang meninggalkan amalan ini adalah umat Islam yang alim bukan jahil, bukan kedekut malah menghidup sunnah dan mematikan bid’ah. Umat Islam ini menurut amalan Nabi s.a.w, para sahabat, para Imam Mazhab dan semua pendapat ulama yang kembali kepada Al Quran dan Sunnah.

Hujah golongan ini jelas dan jujur berpandu Al Quran dan Hadis, ijma sahabat dan pendapat ulama semua mazhab ahlul sunnah wal jamaah . Manakala golongan sebaliknya cuba mencari dalil yang diada-adakan sama ada yang dhaif, salah kutip, kata ulama serta dalil fikiran untuk mempertahan tradisi ‘kenduri arwah’ yang menguntungkan perut. Al Quran dan Hadis Sahih ditakwil supaya sesuai dengan amalan. Fatwa ulama yang jelas, tegas dan jujur disembunyikan demi menyunatkan (memberi hukum sunat. peny.) amalan kenduri arwah. Ulama yang berani membenteras amalan kenduri arwah dilabel dan diberi gelaran Kaum Muda, Wahabbi dan Mutazilah.

(tamat)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan