Halaman

Jumaat, April 10, 2009

MENCARI sekolah yang menyelamatkan jiwa

SATU tulisan saya sebelum ini mendedahkan kegagalan pelajar-pelajar sekolah berorientasikan agama Islam dalam persaingan sukan. Sebenarnya ada lagi bukti kekalahan sekolah-sekolah agama itu dalam akademik jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah menengah harian biasa. Saya tidak mahu mendedahkan lebih banyak, memalukan saja.

Memang situasi ini tidak enak, tetapi pengharapan orang terlalu tinggi terhadap sistem pendidikan Islam untuk menangani masalah kebejatan sosial. Kalau kita rajin bertanya kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat-pusat tahfiz, sekolah agama menengah dan sekolah pondok (sekalipun sangat daif fizikalnya), jawaban mereka ialah mahu memberi pendidikan agama Islam kerana banyak penghujah memberikan faktor kurangnya pendidikan agama menjadikan anak-anak bejat sosialnya.

Surat Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) kepada Majalah I (April 2009) secara jelas mahukan sistem pendidikan Islam yang holitistik. Gamis telah menghujah kegagalan pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah sehingga pelajar sekolah (tentunya sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan) sudah terjebak dalam kebejatan sosal. Sebagaimana orang dewasa menerima hujah miskinnya ilmu agama dan iman, maka Gamis juga sependapat dengan ibu bapa itu.

Dalam dunia moden dan maklumat sudah terdedah dengan sebanyak-banyaknya, ibu bapa sebenarnya seakan buntu menghadapi masalah sosial remaja. Hendak menghantar anak ke sekolah-sekolah agama negeri, masalah prestasi akademik dan kokurikulumnya tidaklah membanggakan. Malah sering sekolah-sekolah agama ini kalah dengan sekolah-sekolah menengah biasa. Hendak terus menghantar ke sekolah menengah biasa, dikatakan pendidikan agamanya sedikit dan tidak mampu menjadi benteng kepada anak-anak mereka.

Jika kita mahu terus berpegang kepada pendapat bahawa pendidikan agama sahaja yang mampu mengawal kemerosotan akhlak remaja, maka para pemikir Islam mestilah melihat semua sistem persekolahan agama dengan adil. Bagaimana mahu menjadikan pendidikan berorientasikan Islam sebenarnya benar-benar menjadi bukti keunggulan pelajar dalam semua bidang. Ada kes (mungkin terpencil) pusat tahfiz alquran hanya menyediakan dua orang guru yang tidak terlatih (jika dibanding dengan guru sekolah Kementerian Pelajaran) untuk mengajar semua subjek dalam Penilaian Menengah Rendah – PMR. Yang begini adalah satu penyakit dalam pendidikan yang menjadi harapan umah.

Sesunguhnya yang sedang ditunggu-tunggu ialah apakah model sebenar sistem pendidikan Islam yang holistik menepati kehendak dunia dan akhirat. Orang bercakap mudah, laksanakan seluruh ajaran Islam. Lebih baik dirincikan apakah modelnya dan bagaimana hendak dilaksanakan di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran. Barulah kita keluar daripada retorik.

Mungkin ada yang memberikan beberapa contoh sekolah integrasi yang dilaksanakan oleh jabatan agama Islam negeri, atau sekolah-sekolah Islam swasta yang dilaksanakan oleh NGO. Untuk menghidupkan sistem, bolehkan sistem itu dilaksanakan di sekolah biasa yang muridnya pelbagai kaum dan agama. Kita kerap mendengar Islam sesuai untuk semua kaum kerana Islam itu menyelamatkan atau mensejahterakan. Malangnya belum ada satu contoh hakiki sekolah yang dikatakan berorientasikan Islam digunapakai untuk pelbagai murid (Islam dan bukan Islam).

Setelah dikatakan sekolah kerajaan tidak Islam dan salah, maka cari sekolah lain yangideal itu. Adakah sekolah swasta milik NGO berorientasikan Islam yang menampung sehingga 40 peratus murid bukan Islam? Kemudian apa produk orang yang terhasil dari sekolah itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan