Halaman

Isnin, April 13, 2009

HANYA rutin ke masjid....

TELAH beberapa bulan saya perhatikan banyaknya anak-anak asrama sekolah ke masjid waktu subuh. Tentulah seronok kerana pada usia remaja mereka telah memilih masjid sebagai salah satu destinasi, tambahhan pula waktunya yang sangat getir! Bayangkan kalau mengharap orang dewasa hanya kira-kira 30 orang waktu subuh, tetapi dengan kehadiran anak-anak asrama sekolah menjadi kira-kira 200 orang jemaah subuh!

Setelah diamati, anak-anak ini memang hadir dengan terpaksa. Sebaik saja sampai ke masjid setelah solat sunat kerna masuk masjid, mereka duduk dan terlena. Kemudian apabila waktu solat, bangun dan lena lagi selepas salam menunggu imam wirid dan berdoa. Begitulah hari-hari, namun sekurang-kurangnya mereka sudah selesai solat berjemaah.

Apakah keadaan ini hanya dialami oleh anak-anak yang masih mentah, tidak oleh orang dewasa? Jawabnya, sama saja. Anak-anak akan remaja dengan hanya memahami ibadah sebagai acara yang diwarisi daripada ibu bapa. Kemudian mereka membesar, menjadi dewasa dan tua tanpa ada apa-apa perubahan pemahaman terhadap yang dinamakan ibadah. Sejak remaja, semua ayat alquran dan doa dalam solat dihafal tanpa difahami ertinya. Kebanyakan orang ke masjid kerana rutinnya begitu sebagai orang lelaki muslim.

Kalaulah tidak kerana paksaan penguasa asrama, tidak ada anak-anak sekolah yang dengan suka rela bangun jam 5.30 pagi dan bergegas ke masjid setiap hari. Untuk mendapatkan 150 anak sekolah secara suka rela ke masjid setiap subuh adalah suatu yang mustahil! Percayalah, mustahil!

Orang dewasa yang dikatakan sudah matang dan sadar kian hampir lubang kubur pun majoritinya tidak perduli solat berjemah subuh di masjid. Tuan-tuan haji pun sama, sekalipun semasa di Makkah dahulu tidak pernah cuai solat berjemaah.

Mengapa jadi begini? Bagi para ustaz, jawabnya ialah kerana lemahnya iman. Bagi orang awam, hendak membedakan antara iman yang kuat dan lemah pun payah. Malah sebenarnya kebanyakan tidak tahu apa itu iman. Sungguh, pergilah tanya orang di mana-mana, “Encik, Puan…, apa itu iman?” Kalau ditanya “Fahamkah kehendak tauhid rububiyyah dan uluhiyyah dalam hidup?” lagi mereka tidak dapat menjawabnya.

Inilah antara punca rasa rendah pemilikan nilai dalam beribadah kepada Allah. Kemudian, apabila nilai ibadah sudah rendah, jadilah ibadah itu hanya upacara ritual, mengikut sahaja arus yang membawanya. Oleh itu kalau dikaji mengapa orang Melayu yang beragama Islam yang tauhidnya dikatakan betul di sisi Allah, yang kerap berdoa agar dimasukkan dalam syurga masih gagal dalam banyak hal, itulah sebabnya. Ilmunya dalam hal yang sangat wajib mereka tahu sangat tipis, lalu apalah diharap dengan ketipisan ilmu dan imannya.

1 ulasan:

  1. Saya setuju dengan pendapat anda yang mengatakan punca ibadah menjadi rutin harian semata ialah kerana lemahnya iman. Tapi bagaimanakah caranya untuk meningkatkan iman? Seorang ustaz berkata, cara untuk meningkatkan iman ialah dengan banyak melakukan ibadat. Bagi saya, bagaimana nak banyakkan ibadat kalau iman lemah? Apa syor anda agar iman semakin meningkat hingga mencapai martabat ihsan.

    BalasPadam