Halaman

Rabu, Januari 21, 2009

LINA Joy lagi....

PADA bulan Disember tahun lepas saya masih mendapat SMS mengenai Lina Joy yang dikatakan menang kes dalam permohonannya untuk diisytiharkan sebagai seorang penganut Kristian. SMS karut ini masih melayang-layang dan diterima sebagai benar kerana emosi bukan disebabkan fakta sebenar. Fakta sebenar ialah Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan akhir dan muktamad bahawa Lina Joy gagal dalam permohonannya. Siapa yang faham undang-undang, kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan merupakan episod terakhir perjalanan kes, kecuali kes hukuman mati.

Benar, orang-orang yang ditarafkan sebagai intelektual termasuk yang bergelar ustaz pun masih percaya bahawa Lina Joy telah menang kes di Mahkamah Persekutuan. Apabila saya katakan kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan bagi Lina Joy sudah berakhir. Oh, ada yang membawa fakta baru kononnya Lina Joy telah membuat rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan menerima pula permohonan asal wanita Melayu ini.

Untuk menambah hebat cerita mengenai hal-hal Islam yang dikatakan tercabar dimasukkan pula cerita pelajar sekolah pondok yang berserban dan sampai ke mahkamah di Kelantan. Oh, dengan cepat cerita dikukuhkan bahawa pelajar ini didapati tidak bersalah! Saya terhenti membuat anggapan kerana tidak menemui apa-apa fakta daripada media. Itu cerita sebelum 20 Januari 2009.

Nah, akhbar 20 Januari 2009 memberi fakta yang sahih! Berita Harian menulis tajuknya ‘Pelajar pondok pilih penjara’. Pelajar pondok berkenaan, Ahmad Nasir Darus yang didakwa memakai serban ketika menunggang motorsikal telah didapati bersalah oleh Majistret Tengku Amalin A’Ishah Puteri Sultan Ismail Petra. Ahmad Nasir memilih penjara dua hari kerana tidak mahu membayar denda RM90.00.

Moral cerita yang saya dengar dan kutip ialah isu-isu berkaitan ‘Islam yang tercabar’ sangat laku sekalipun hanya dongeng. Pembawa cerita-cerita dongeng ini nampaknya bukan sahaja dilakukan oleh budak-budak tidak habis sekolah, tetapi oleh mereka yang dipandang tinggi statusnya.

Cerita kepala babi diletakkan di masjid atau di kawasan umat Islam juga sangat menarik minat telinga. Ya, mungkin asalnya memang benar-benar berlaku sebagaimana kes-kes di pantai negeri Melaka. Oleh kerana ini isu sensitif dan orang Islam memang tercabar emosinya, maka apa berita baru berkenaan kepala-kepala babi selepas ini sangat mengujakan dan pasti buat mulut melongo!

Jangan bimbang, kita masih ada hak untuk tidak percaya selagi tiada fakta yang benar. Sebab itu jangan mudah dengar khabar angin…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan