Pergilah ke mana-mana pekan-pekan kecil atau desa akan kelihatan beberapa penunggang motorsikal tidak memakai topi keledar tetapi memakai serban. Ada pemboncengnya memakai topi keledar tetapi penunggang hadapan berserban saja. Kalau sudah begitu, memang si penunggang di hadapan tahu kesalahan tidak memakai topi keledar, sebaliknya berselindung di balik lilitan kain serban. Orang-orang seperti ini samalah seperti hujah Ahmad Nasir Darus menunggang motorsikal dengan lilitan serban tidak salah kerana mengikut pakaian cara Rasulullah. Kepada orang seperti ini undang-undang jalan raya wajib memberi hak muslim berserban.
Ada dua versi pemahaman Islam atau sunah nabi di sini. Pertama puak seperti Ahmad Nasir Darus yang secara total mendakwa berserban adalah sunah nabi setaraf dengan solat-solat sunat umpama solat sunat tarawih. Kalau orang tidak mahu tinggalkan solat sunat tarawih maka golongan ini pun tidak mahu tanggalkan serban kerana topi keledar. Bagi mereka berserban (mungkin berjubah sekali) seperti ibadah khusus yang tidak berubah sehingga kiamat. Ke mana-mana pun berserban, dan yakin berpahala besar. Maknanya mereka berpendapat kalau bertopi keledar tidak ikut sunah, tidak ada pahala. Sia-sia saja.
Puak kedua berfahaman topi keledar adalah sebagian daripada syarat wajib menunggang motorsikal. Undang-undang mewajibkan penggunaan topi keledar ini semata-mata untuk mengurangkan risiko cedera di kepala. Ertinya topi keledar lebih kuat, lebih afdal berbanding lilitan kain serban. Kalau dibuat kajian masukkan buah tembikai dalam topi keledar dan sebiji lagi buah tembikai lilit dengan kain serban: Ketuklah kedua-duanya dengan tukul besi. Hasilnya dengan mudah buah tembikai yang dililit serban pecah.
Puak kedua faham bahawa serban adalah pakaian yang termasuk hal keduniaan. Hal keduniaan ini akan mengalami perubahan kerana ilmu, iklim dan geografi. Dengan mengakui bahawa serban merupakan salah satu fesyen pakaian Rasulullah, tidak pula menjadikan satu masalah untuk meninggalkannya jika bertembung dengan kehendak semasa, misalnya memakai topi keledar. Golongan kedua faham menjaga keselamatan adalah wajib dalam Islam. Berjaga-jaga mengenai bahaya dan kerugian juga adalah sunah nabi. Ingat tak cerita seorang sahabat nabi membiarkan saja untanya tidak ditambat, kemudian dia bertawakal kepada Allah. Lalu ditegur oleh Rasulullah supaya menambat untanya dahulu barulah bertawakal kepada Allah. Betulah begitu, berusaha dulu pakai topi keledar kemudian bertawakal. Kalau dah nasib nak cedera di kepala juga, hati reda sebab sudah berikhtiar yang terbaik.
Soalnya adakah sunah nabi dalam berpakaian tidak ada kompromi dengan perubahan zaman dan teknologi semasa? Adakah Islam (baca sunah nabi) begitu kolot sehingga dikatakan: Biar bahaya kepala pecah dengan mudah tidak apa asalkan serban mesti dipakai! Misalnya jika ditakdirkan motorsikal sudah wujud pada zaman nabi, maka nabi kita pasti tidak memakai topi keledar sebaliknya berserban saja. Atau nabi tidak akan mencadangkan apa-apa teknik terbaik dalam urusan keselamatan kepala, sekalipun baginda tahu ada kaedah lain untuk lebih selamat bagi menggantikan serban.
Saya berterus terang bahawa memakai topi keledar ketika menungang motorsikal adalah memenuhi ajaran Islam. Pakailah topi keledar kerana jelas kebaikannya. Patuh undang-undang ulil amri ini juga ada pahala kerana Allah telah memberi iktiraf kepada ulil amri untuk ditaati. Islam bukan retorik, sebaliknya sangat praktikal dan responsif dengan tuntutan zaman.
TG Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz setuju topi keledar, bukan serban. sila klik http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_mutakhir/20090122204931&sec=mstar_mutakhir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan